Friday, July 26, 2024
HomeArtikelPengurusan Kewangan Yang Bijak Untuk Pelajar

Pengurusan Kewangan Yang Bijak Untuk Pelajar

Pada masa kini, isu kewangan telah menjadi salah satu masalah yang kerap dihadapi oleh pelajar-pelajar di Malaysia khususnya pelajar universiti. Pelajar universiti perlu menampung pelbagai kos sara hidup yang tinggi seperti kos yuran pembelajaran, kos sewa rumah, kos pengangkutan dan juga kos makan dan minum.

Masalah kewangan dalam kalangan pelajar memberikan impak kepada kesihatan mental dan fizikal pelajar. Tekanan yang berterusan akibat masalah kewangan ini boleh membuatkan pelajar mengalami kemurungan. Bukan itu sahaja, hal ini boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal mereka apabila kerap membeli makanan segera yang jauh lebih murah atas sebab ingin menjimatkan duit. Masalah kewangan ini dapat dibanteras dan dicegah dengan pengurusan wang yang bijak.

Sumber kewangan utama seseorang pelajar adalah daripada ibubapa, pinjaman pelajaran atau biasiswa. Sumber kewangan ini adalah terhad dan memerlukan pengurusan kewangan yang bijak untuk menampung kos sara hidup yang tinggi. Terdapat beberapa cara pengurusan kewangan yang bijak yang bersesuaian dengan pelajar iaitu penggunaan konsep menabung yang betul,  penjanaan pendapatan sampingan dan pengurangan hutang.

Penggunaan konsep menabung yang betul adalah berdasarkan konsep bajet 50, 30, dan 20. Konsep bajet 50, 30 dan 20 ini adalah pembahagian tabung yang menunjukkan peratusan tabung untuk keperluan, keinginan dan juga simpanan. 50% daripada sumber kewangan pelajar akan digunakan untuk membayar perkara keperluan sahaja seperti makan, minum, yuran pembelajaran, kediaman dan pengangkutan. Manakala, 30% daripada sumber kewangan pelajar akan digunakan untuk membeli barang atau perkara yang diinginkan sebagai tanda ‘self-reward’ dan sebagainya. Seterusnya, 20% daripada sumber kewangan pelajar perlu dijadikan simpanan. Simpanan duit ini sangat penting untuk digunakan jika berlaku kecemasan ataupun untuk kegunaan masa hadapan.

Namun begitu, konsep menabung atau menyimpan ini tidak cukup untuk mengumpul duit yang banyak dalam masa yang singkat. Oleh itu, pelajar boleh mencari pendapatan sampingan untuk menambah duit simpanan yang ada. Terdapat banyak cara untuk mencari pendapatan sampingan iaitu dengan membuat kerja sambilan, membuat perniagaan kecil, menyimpan duit dalam bank yang memberi dividen tahunan dan melabur duit.

Pelajar universiti boleh mencari kerja sambilan untuk menambah sumber kewangan. Bagi pelajar yang risau tentang pembelajarannya atau takut terlalu penat, kerja sambilan ini boleh dilakukan pada waktu cuti semester yang agak panjang untuk mengelakkan gangguan waktu belajar.  Pada zaman yang serba canggih ini pelajar boleh membuat kerja sambilan di alam maya seperti menjadi ‘dropship’ untuk produk-produk di aplikasi Shopee, Tiktok, Instagram dan lain-lain. Bukan itu sahaja, pelajar juga boleh membuat perniagaan kecil daripada hasil hobi. Contohnya, jika ada kemahiran melukis atau mengait, pelajar boleh menjual hasil tersebut untuk menjana pendapatan sampingan.

Selain itu, jika pelajar ingin membuat simpanan duit, amatlah digalakkan untuk menyimpan duit di dalam institusi kewangan yang mempunyai dividen tahunan seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji untuk menambah duit simpanan. Pelajar juga boleh mempelajari ilmu pelaburan duit untuk menjana pendapatan sampingan.

Terdapat pelbagai bentuk pelaburan duit yang pelajar boleh lakukan antaranya ialah menjual beli saham syarikat dan membeli emas.  Pelajar perlu mempunyai ilmu pelaburan yang baik kerana pelaburan duit berisiko tinggi untuk mengalami kerugian. Pelajar yang beragama Islam perlu cakna tentang penjualan dan pembelian saham yang mematuhi syariah agar memperoleh sumber kewangan yang halal. Manakala, pembelian emas pula merupakan pelaburan duit untuk jangka masa yang panjang kerana kadar kenaikan harga emas setiap tahun tidak terlalu banyak tetapi tetap memberikan untung.

Amalan boros pelajar harus dielakkan kerana hal ini menjurus pelajar untuk berhutang. Ada waktu pelajar ingin membeli barang-barang yang berjenama untuk kepuasan diri sebagai contoh membeli gajet elektronik seperti telefon pintar, komputer riba dan lain-lain. Namun, pelajar haruslah ukur baju di badan sendiri. Jika tidak mampu membeli sesuatu barang yang diinginkan, pelajar harus mengelakkan diri daripada berhutang semata-mata untuk memiliki barang itu.

Pelajar seharusnya bijak dalam menggunakan kad kredit atau membuat hutang persendirian dengan bank untuk membeli barang keperluan yang tidak mampu milik. Sebagai contoh, pelajar memerlukan kenderaan untuk memudahkan perjalanan pelajar ke kampus dan ingin membuat hutang persendirian dengan bank untuk membeli kenderaan tersebut.  Kebanyakan orang yang boros sering menggunakan kad kredit untuk membeli barang yang mereka inginkan untuk kepuasan diri semata-mata. Pelajar haruslah menjaga diri daripada amalan boros ini.

Kesimpulannya, masalah kewangan dalam kalangan pelajar boleh dicegah melalui amalan menabung dengan betul, menambah sumber kewangan dengan pendapatan sampingan dan kurangkan berhutang. Pelajar akan menjalani hidup yang lebih tenang dan aman jika mengamalkan pengurusan kewangan yang baik.

Pada zaman kini, terlalu banyak perkara yang menjadi ‘trend’ yang membuatkan generasi muda berebut untuk mencapai dan memiliki sehingga sanggup membazir dan berhutang. Amalan ini perlu dielakkan kerana memberi impak yang besar kepada pengurusan kewangan pelajar. Penyimpanan duit untuk masa hadapan jauh lebih penting daripada mengikut ‘trend’ yang tiada faedahnya. Pelajar boleh membeli rumah dan mendirikan rumah tangga pada masa hadapan dengan duit simpanan yang ada.

Pengurusan kewangan yang baik perlu diasah dari sekarang supaya dapat memudahkan urusan pada masa hadapan. Hal ini kerana pengurusan kewangan apabila sudah berkeluarga jauh lebih rumit berbanding zaman belajar. Seseorang boleh menjadi bankrap apabila tidak berjaya menguruskan kewangan dengan baik. Masalah kewangan ini telah menjadi salah satu punca rakyat Malaysia mengalami kemurungan yang teruk. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pengurusan kewangan yang baik untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi krisis kos sara hidup yang tinggi. Pengurusan kewangan yang bijak menjamin masa hadapan yang cerah.

Penulis: Fadhilatul Hikmah binti Fakhrul Adabi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) , Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular