Thursday, July 25, 2024
HomeArtikelPeningkatan Bunuh Diri: Punca & Langkah Dalam Menyelesaikan Masalah Ini

Peningkatan Bunuh Diri: Punca & Langkah Dalam Menyelesaikan Masalah Ini

Kini, kita berada dalam dunia yang mempunyai perbezaan dalam status sosioekonomi. Pandemik yang datang telah membuatkan jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin semakin meluas.

Ini telah menyebabkan ramai orang yang berada dalam kesempitan sama ada dari segi fizikal atau mental telah mengambil langkah untuk membunuh diri sebagai jalan penyelesaian. Apakah tindakan yang dilakukan adalah bersesuaian sebagai jalan penyelesaian bagi permasalahan yang ditimpa?

Jika tidak, apa yang sepatutnya dilaksanakan oleh kerajaan atau kita sebagai masyarakat yang prihatin berkenaan kejadian ini.

Bunuh diri adalah perbuatan menamatkan atau mengambil nyawa diri sendiri. Perbuatan ini dilakukan dengan pelbagai cara dan disebabkan oleh pelbagai punca. Bunuh diri adalah suatu perbuatan yang dianggap tidak beretika dan bermoral.

Namun, mengapakah masih ramai yang mengambil langkah ini sebagai salah satu jalan terakhir mereka dalam menghadapi masalah yang tidak dapat ditangani.

Terdapat banyak alasan yang dapat menjurus seseorang kepada binasa bunuh diri ini, namun antara alasan yang sering kali didengari dan diketahui adalah berkenaan kemurungan, sakit jiwa, atau kesukaran kewangan dalam hidup seseorang itu pada sesuatu masa. Namun, ia merupakan keadaan yang sementara dan dapat diatasi melalui terapi dan perubahan gaya hidup.

Satu pepatah umum dalam huraian terhadap pencegahan bunuh diri menyimpul pandangan bahawa tindakan bunuh diri ialah penyelesaian tetap untuk masalah sementara. Oleh itu, tindakan yang tidak bermoral ini hendaklah difikirkan, apakah ia dapat memberikan jalan penyelesaian yang sesuai kepada apa yang kita tinggalkan seperti seorang bapa yang membunuh diri atas dasar kesempitan hidup dalam menanggung keluarga.

Namun akan ada anaknya yang memiliki kekosongan kasih sayang tanpa seorang ayah atau seorang isteri yang kehilangan suaminya menjadi janda.

Banyak masalah yang akan mula timbul sebagai akibat oleh perbuatan bunuh diri, mengukuhkan lagi kenyataan yang menyatakan bahawa tindakan ini adalah bukan keputusan yang baik dan muktamad kepada permasalahan. 

Statistik dan Punca Bunuh Diri

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, mengikut pecahan, kes bunuh diri yang dicatatkan pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 kes manakala 631 kes bagi tahun 2020.

Manakala bagi tempoh 5 bulan pertama, Januari hingga Mei bagi tahun 2021 pula mencatatkan sebanyak 468 kes bunuh diri telah direkodkan. Ini jelaslah menunjukkan purata sebanyak dua kes bunuh diri berlaku setiap hari antara tahun 2019 hingga Mei 2021.

Beliau juga turut menyatakan bahawa kebanyakan mangsa yang terlibat adalah mangsa yang berumur 15 hingga 18 tahun iaitu 872 orang, manakala seramai 668 orang yang terlibat berada dalam lingkungan usia 19 hingga 40 tahun.

Tambahan pula, berdasarkan siasatan polis yang dijalankan, tiga punca utama yang menyebabkan kejadian bunuh diri iaitu masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

Jelasnya, berdasarkan trend kejadian bunuh diri yang berlaku, semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya masyarakat harus memainkan peranan penting bagi membendung gejala ini.

Kesempitan yang dihadapi oleh masyarakat kini terutama pada rakyat yang berpendapatan rendah B40, yang berpunca khususnya bagi ketua keluarga kurang upaya dan isi rumah yang diketuai wanita di bandar mengalami kesan lebih teruk selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020.

Perkara ini menjadi lebih sukar dan teruk apabila semakin kurangnya pendapatan apabila ada yang di antara mereka telah dibuang kerja dengan keadaan ekonomi kini yang tidak stabil dengan pelaksanaan sesuai PKP ini.

Namun, adakah anda tahu, apa yang dimaksudkan dengan kumpulan pendapatan B40, M40 dan T40? Pada golongan tahap kumpulan pendapatan manakah kita berada?

Menurut hasil penyelidikan Kaji Selidik Kemudahan Asas dan Pendapatan Isi Rumah 2019 dari JSM, kumpulan T20 mempunyai pendapatan isi rumah median yang sekurang-kurangnya RM15,021, dan median untuk kumpulan M40 dan B40 telah meningkat sehingga RM7,093 dan RM3,166, masing-masing.

Dalam laporan ini juga dinyatakan bahawa median pendapatan isi rumah untuk kumpulan T20, M40 dan B40 menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (KPTK) lebih daripada 4.6%.

Meskipun demikian, haruslah diingatkan bahawa definisi kumpulan pendapatan ini tidak tetap dan istilah B40, M40 dan T20 sebenarnya mewakili peratus populasi negara bagi 40% terbawah, 40% tengah dan 20% teratas, masing-masing.

Nilai ini mungkin naik atau turun dari tahun ke tahun, bergantung kepada penyata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Itulah sebabnya, mengapa pendapatan isi rumah median digunakan sebagai penentu. 

Langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah ini, melalui portal rasmi Kementerian Kewangan Malaysia pada 28 Jun 2021, rakyat Malaysia daripada golongan miskin tegar, B40, M40 dan T20 hari ini menerima perkhabaran gembira dengan pengumuman pelbagai bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM 150 billion.

Ia merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 billion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik COVID-19 melanda negara awal tahun lepas.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika membuat pengumuman khas menerusi siaran stesen televisyen tempatan berkata PEMULIH menumpukan tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi.

Di samping itu, Perdana Menteri juga mengumumkan mengenai bantuan tunai secara langsung kepada rakyat yang berjumlah RM10 bilion merangkumi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang bernilai RM 4.9 bilion sehingga hujung tahun.

Selain itu, pemberian Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah dan golongan bujang dan Bantuan Kehilangan Pendapatan juga turut diberikan sebagai cara kerajaan dalam memahami permasalahan yang ditimpa rakyat dengan masalah kewangan pada masa pandemik Covid-19 ini. “Secara keseluruhan, pemberian khas BKC ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran melibatkan moratorium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menangguhkan bayaran balik Pinjaman Pelajaran Persekutuan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima Biasiswa Persekutuan sehingga enam bulan.

Selain itu, bayaran balik Pinjaman Pelajaran MARA juga ditangguhkan untuk tempoh tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan ansuran bulanan serendah RM100 selama 12 bulan, dan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditangguhkan selama tiga bulan dapat mengurangkan beban rakyat yang memerlukan seumur hidupnya dalam membayar hutang yang dibelenggu.

Langkah yang diambil oleh kerajaan apabila menyedari kepentingan barangan keperluan asas rakyat dan mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, Muhyiddin berkata RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing. Sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.

Tambahan pula, menurut Sinar Harian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menempatkan 200 kaunselor di seluruh negara di klinik kesihatan dan hospital kerajaan dalam menangani masalah kesihatan mental rakyat yang semakin hari membimbangkan.

Timbalan Kementerian Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata di sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), berkenaan menerima hampir 500,000 kes yang membabitkan individu dewasa kemurungan dan 400,000 lebih kanak-kanak yang menghadapi masalah mental.

Beliau juga memberitahu bahawa Talian Bantuan Sokongan Psikososial telah diwujudkan agar orang ramai dapat mendapatkan sokongan moral dan nasihat dalam menangani gejala tekanan  yang dihadapi.

Salah satu cara yang akan diperkenalkan oleh kerajaan dalam meringankan beban kewangan ahli yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu dengan kemudahan pengeluaran baharu i-Citra.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra seramai 12.6 juta ahli KWSP dapat membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan.

Keputusan mengenai penyelesaian menggunakan i-Citra adalah sukar namun ia mengambil jalan tengah antara keperluan mendesak hari ini dan pulangan yang wajar bagi ahli KWSP yang tidak memerlukan pengeluaran.

Kesimpulannya, langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti menempatkan kaunselor dan pelaksanaan i-Citra, sekurangnya dapat mengurangkan beban yang dialami rakyat dalam waktu pandemik dan PKP ini, dan mendorong rakyat agar tidak terus menjurus kepada jalan penyelesaian yang mudah dengan membunuh diri.

Apabila menghadapi waktu yang sukar, pergilah mencari orang yang sesuai dan dapat mendengar keluhan hati  kita, daripada terus memendam dan menyelesaikannya seorang diri dan menyebabkan hidup dalam depresi dan tekanan.

Perkara yang sering dipendam seorang diri tanpa menyelesaikannya dapat membuatkan kita berfikiran yang tidak masuk akal dalam melakukan perkara yang menjadi punca kepada perlakuan yang di luar jangkaan atau  mungkin akan menjurus dalam melakukan tindakan yang tidak beretika seperti bunuh diri.

Di sini kita dapat melihat, apabila seseorang itu mula hilang pertimbangan, dan ditambah lagi dengan mempunyai kesempitan hidup ketika menghadapi pandemik ini, tindakan bunuh diri sering dianggap jalan penyelesaian yang terbaik dalam menyelesaikan masalah.

Namun alangkah lebih baik jika ia dapat diselesaikan tanpa perlu meragut nyawa diri sendiri dan menyebabkan kesedihan dan kekecewaan bagi banyak pihak. Persoalan pada hari ini adalah, apakah langkah yang akan anda lakukan sebagai seorang rakyat yang prihatin jika mengetahui ada orang yang di sekeliling anda yang berfikiran untuk membunuh diri?

Apakah yang patut dilakukan seseorang dalam mencegah daripada kes bunuh diri di negara ini berkurangan?

Fikirlah sejenak berkenaan masalah ini.   

Penulis; Nor Nadiatul Nadhirah binti Zainurin, pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular