Israk Mikraj merupakan salah satu peristiwa agung dalam sejarah Islam yang membawa pelbagai iktibar dan pengajaran besar kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa ini bukan sahaja memperlihatkan keagungan Allah SWT tetapi juga menegaskan kepentingan solat dalam kehidupan seorang Muslim.
Bersempena dengan sambutan Israk Mikraj pada tahun ini, marilah sama-sama kita pengambil pengajaran daripada peristiwa Israk Mijrak agar dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Maksud Israk dan Mikraj
Israk dan mikraj merupakan istilah bahasa arab yang digunakan juga dalam bahasa Melayu.
Maksud Israk
Israk merujuk kepada perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.
Perjalanan ini berlaku dengan izin Allah SWT dan dipandu oleh Malaikat Jibril dengan menaiki Buraq, seekor makhluk yang luar biasa pantas.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’ ayat 1:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Maksud Mikraj
Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Aqsa naik ke Sidratul Muntaha untuk bertemu Allah SWT. Dalam perjalanan ini, baginda menyaksikan pelbagai peristiwa di setiap lapisan langit, bertemu para nabi terdahulu, dan akhirnya menerima perintah solat.
Tarikh Peristiwa Israk Mikraj
Peristiwa Israk Mikraj berlaku pada 27 Rejab tahun ke-10 kerasulan Nabi Muhammad SAW, bersamaan dengan tahun 621 Masihi.
Tahun ini dikenali sebagai Tahun Dukacita kerana baginda kehilangan dua individu yang sangat disayangi, iaitu isteri baginda, Saidatina Khadijah, dan bapa saudaranya, Abu Talib.
Kehilangan ini memberikan tamparan hebat kepada Rasulullah SAW, namun peristiwa Israk Mikraj menjadi penguat semangat baginda untuk terus menyebarkan dakwah Islam.
Ringkasan Peristiwa Israk Mikraj
1. Peristiwa Israk
- Rasulullah SAW memulakan perjalanan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa pada malam hari dengan menaiki Buraq.
- Di Masjid al-Aqsa, baginda mengimamkan solat bersama para nabi terdahulu, menandakan kedudukan baginda sebagai penghulu para nabi.
2. Peristiwa Mikraj
- Dari Masjid al-Aqsa, Nabi Muhammad SAW diangkat ke langit melalui lapisan-lapisan langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Di setiap lapisan langit, baginda bertemu para nabi:
- Langit Pertama: Nabi Adam AS.
- Langit Kedua: Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.
- Langit Ketiga: Nabi Yusuf AS.
- Langit Keempat: Nabi Idris AS.
- Langit Kelima: Nabi Harun AS.
- Langit Keenam: Nabi Musa AS.
- Langit Ketujuh: Nabi Ibrahim AS.
- Di Sidratul Muntaha, Rasulullah SAW menerima perintah solat sebanyak 50 waktu sehari. Atas nasihat Nabi Musa AS, baginda memohon kepada Allah SWT untuk meringankan bilangan waktu solat sehingga menjadi 5 waktu sehari, yang kekal sehingga hari ini.
Hikmah dan Pengajaran Israk Mikraj
- Pensyariatan Solat
Solat merupakan ibadah yang diwajibkan secara langsung oleh Allah SWT tanpa perantaraan, menandakan betapa pentingnya solat dalam kehidupan umat Islam. - Penghargaan terhadap Rasulullah SAW
Peristiwa ini mengukuhkan keimanan dan keyakinan umat terhadap kerasulan baginda serta menegaskan peranan baginda sebagai pemimpin umat. - Keutamaan Masjid al-Aqsa
Perjalanan ke Masjid al-Aqsa memperingatkan umat Islam tentang pentingnya tempat suci ini dan tanggungjawab untuk mempertahankannya. - Keutamaan Para Nabi
Pertemuan Rasulullah SAW dengan para nabi terdahulu memperlihatkan kesinambungan risalah tauhid sejak Nabi Adam AS sehingga Nabi Muhammad SAW.
7 Peristiwa Luar Biasa yang Diperlihatkan kepada Rasulullah SAW dalam Israk Mikraj
- Balasan kepada mereka yang suka mengumpat
Rasulullah SAW diperlihatkan balasan terhadap golongan yang suka mengumpat. - Haruman kubur Masyitah
Rasulullah SAW tercium haruman yang berasal dari kubur Masyitah, seorang wanita mulia yang mati syahid kerana mempertahankan keimanan. - Melihat Dajjal dalam rupa paras asalnya
Rasulullah SAW melihat bagaimana rupa Dajjal yang sebenar, yang akan menjadi fitnah terbesar di akhir zaman. - Balasan kepada mereka yang meninggalkan solat
Rasulullah SAW diperlihatkan balasan terhadap golongan yang lalai dan meninggalkan solat. - Mendengar telapak kaki Bilal di syurga
Rasulullah SAW mendengar bunyi telapak kaki Bilal bin Rabah di dalam syurga, sebagai ganjaran atas keikhlasannya dalam beribadah. - Melihat Nabi-Nabi dan umat masing-masing
Rasulullah SAW menyaksikan para nabi terdahulu bersama umat mereka. - Balasan kepada pendakwah yang tidak beramal dengan apa yang dikatakan
Rasulullah SAW diperlihatkan balasan terhadap pendakwah yang tidak mengamalkan ajaran yang disampaikan kepada orang lain.
Ibrah dan Pengajaran Penting Daripada Peristiwa Israk dan Mikraj
- Tiada yang mustahil bagi Allah SWT bagi setiap yang berlaku.
- Perkara ghaib yang wajib diyakini dan dipercayai sebagai umat Islam.
- Ketinggian darjat Nabi Muhammad SAW di sisi Allah SWT yang tidak pernah berlaku oleh sesiapa pun selain baginda.
- Betapa pentingnya ibadah solat lima waktu yang telah diperintahkan Allah SWT secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW.
- Kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya dengan mengurangkan jumlah 50 waktu solat sehari semalam kepada 5 waktu sahaja tetapi tetap mengekalkan ganjarannya.
- Baitul Maqdis adalah harta umat Islam.
- Menjauhi perkara mungkar, maksiat dan segala perkara yang dilarang.
- Kesedihan terhadap dunia, pengubat rindunya adalah Allah SWT.
- Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia.
- Amalan memberi salam, ini kerana sepanjang Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada para rasul yang Baginda temui.
Peristiwa Israk Mikraj bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga satu mukjizat yang membawa banyak pengajaran dan peringatan. Umat Islam diseru untuk memperkukuhkan keimanan dan menjadikan solat sebagai asas kehidupan.
Semoga peristiwa ini terus diingati dan menjadi inspirasi untuk kita meningkatkan hubungan dengan Allah SWT.
Lihat juga:
– Kisah Hijrah Rasulullah SAW: Fakta dan Sejarah (Infografik JAKIM)