Saturday, May 4, 2024
HomeArtikelPembaziran Makanan: Ramadan Perspektif Dan Solidariti Global

Pembaziran Makanan: Ramadan Perspektif Dan Solidariti Global

Masalah sisa makanan yang meningkat telah menjadi salah satu kebimbangan kerana ia melambangkan pembaziran makanan yang berlaku di Malaysia. Setiap hari, negara membuang 17,000 tan makanan yang boleh disimpan untuk hidangan seterusnya dengan mengurangkan penggunaan bahan mentah. Makanan telah menjadi masalah yang sentiasa dibangkitkan dalam negara seperti Afghanistan, Syria, dan lain-lain tetapi negara yang hangat diperkatakan pada masa ini ialah Palestin yang sedang kehilangan akses kepada sumber makanan dan berada dalam kelaparan.

Namun begitu, rakyat Malaysia masih lagi selesa dengan pembaziran makanan yang sering menjadi isu lazim. Isu ini amat membimbangkan terutamanya semasa bulan Ramadan kerana ramai peniaga di Bazar Ramadan cenderung menjual makanan secara berlebihan untuk memenuhi keinginan pelanggan (atau patut saya katakan keinginan pelanggan untuk membeli).

Kebanyakan agama menekankan kepentingan makanan sebagai sumber utama energi  dan hidangan untuk menyambut peristiwa penting. Selain itu, kepercayaan agama yang melarang pengambilan makanan terlalu banyak menunjukkan pencegahan pembaziran makanan. Terdapat juga pola pengambilan makanan yang unik sepanjang bulan Ramadan yang membezakan umat Islam daripada bukan Islam.

Selain memastikan makanan diambil secara sederhana sepanjang Ramadan, mengelakkan penyediaan makanan yang berlebihan juga penting semasa penyediaan makanan berbuka puasa dan sahur. Menurut Dawn Chan (2023), yang menyifatkan sekiranya tiada tindakan diambil untuk meminimumkan pembaziran, tambahan 75,000 tan makanan akan dibazirkan sepanjang Ramadan di Malaysia. Dianggarkan jumlah sisa makanan di seluruh negara mungkin mencecah 19,228 tan sehari sepanjang Ramadan, mewakili peningkatan sebanyak 15% bersamaan sebanyak 2,508 tan sehari semasa Ramadan, dibandingkan 16,720 tan pada hari biasa.

Justeru, pembaziran makanan perlu dielakkan bagi mengelakkan pembaziran yang meningkat pada bulan Ramadan walaupun hanya terdapat dua waktu makan iaitu sahur dan berbuka puasa. Terdapat beberapa cara penyelesaian untuk mengelakkan perbelanjaan yang berlebihan semasa Ramadan dengan menggalakkan perancangan makanan yang berhemah semasa berbuka puasa dan sahur. Antaranya, fikirkan dengan teliti tentang perancangan makanan, guna semula sisa makanan dengan cara inventif dan menguruskan penyimpanan bahan mudah rosak dengan baik di dalam peti sejuk. Selain itu, berkongsi makanan kepada jiran atau menderma makanan lebihan kepada mereka yang memerlukan. Tidak dilupakan sepanjang bulan mulia ini, jualan bazar akan sentiasa dipenuhi orang ramai membeli juadah berbuka, tetapi ketika jualan tidak habis peniaga lebih cenderung untuk membuang lebihan makanan tersebut. Ini kerana makanan yang hendak dijual mestilah dimasak setiap hari bagi menjaga kualiti makanan dan mengelakkan keracunan makanan.

Oleh itu, masalah ini mesti diselesaikan dengan mengumpul lebihan makanan dan menderma. Sebagai contoh, dengan kerjasama Pertubuhan Belia GEMA Malaysia, SWCorp Cawangan Nilai, Negeri Sembilan telah melancarkan Program “My Save Food” sempena Ramadan 2023. Program ini merupakan satu usaha untuk meminimumkan pembaziran makanan di lokasi Bazar Ramadan, di mana lebihan makanan yang dipasarkan oleh peniaga yang tidak dapat dijual akan disimpan dan diagihkan kepada mereka yang memerlukan. Program ini juga telah dianjurkan pada tahun ini, Ramadan 2024.

Selain itu, inisiatif dan infrastruktur komuniti adalah penting dalam menyelesaikan masalah sisa makanan. Contohnya, platform perkongsian makanan dengan menyediakan tempat untuk berkongsi makanan dengan mereka yang memerlukan. Ini dapat membantu orang yang suka memasak secara berlebihan tidak membazirkan makanan di samping dapat melakukan kebaikan kepada orang lain.

Seterusnya, program pembelajaran adalah cara yang baik untuk memberi kesedaran kepada masyarakat seperti bengkel tentang cara menyimpan makanan yang betul, pengawetan dan cara inventif untuk menggunakan sisa makanan. Tambahan pula, kempen kesedaran juga boleh dilancarkan, supaya masyarakat diberi pendedahan tentang langkah-langkah sewajarnya diambil apabila lebihan makanan dimasak.

Pada masa yang sama, isu global yang sering diperkatakan di media sosial perlu diketengahkan sebagai kepentingan kemanusiaan dalam kehidupan kita iaitu pertempuran di Palestin. Sehubungan dengan itu, makanan boleh dikaitkan dengan keadaan semasa di Palestin sekarang kerana mereka kini berada dalam keadaan kekurangan makanan dan sangat memerlukan bantuan makanan dari luar.

Jadi, adalah penting untuk solidariti global dari segi makanan walaupun  bukanlah satu tugas yang mudah untuk dilakukan sebagai komuniti global bersama-sama menghulurkan bantuan dengan menderma kepada organisasi yang membangunkan dana bantuan makanan untuk Palestin.

Terdapat beberapa cara untuk mengurangkan pembaziran makanan dan mengumpul wang untuk Palestin, antaranya ialah dengan merancang “potluck” komuniti atau makan malam amal di mana para hadirin membawa sumbangan makanan dan wang tunai. Kemudian, untuk memastikan strategi yang mantap, bekerjasama dengan kedai makan atau kedai runcit berdekatan untuk mengagihkan makanan tambahan kepada mereka yang memerlukan. Sebagai contoh, gunakan sumber dalam talian dan media sosial untuk mengumpul wang dengan memfokuskan kesedaran masyarakat.

Tambahan pula, pembaziran makanan juga telah diketengahkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari PBB (SDG) menekankan bahawa menjelang 2030, lebih 600 juta orang akan kelaparan di seluruh dunia. Maka, pembaziran makanan perlu dielakkan dalam merealisasikan objektif SDG kerana ia mempunyai isu yang saling berkaitan yang boleh menyumbang kepada pengurangan yang lain.

Sumber yang digunakan dalam pengeluaran makanan, seperti tanah, air, dan tenaga, juga dibazirkan apabila makanan dibazirkan. Mengurangkan sisa makanan membolehkan lebih banyak sumber digunakan dalam pengeluaran makanan untuk golongan kurang berkemampuan, membantu dalam memerangi kelaparan. SDG yang berkaitan secara langsung dengan sisa makanan dan kelaparan ialah SDG 2, sifar kelaparan yang menyasarkan untuk menamatkan kelaparan, dan SDG 12, penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab yang bertujuan untuk mengekalkan keseimbangan penggunaan dan pengeluaran termasuk sisa makanan.

Kesimpulannya, jumlah sisa makanan yang tinggi di Malaysia amat membimbangkan kerana orang ramai suka berbelanja besar untuk makanan, terutama pada bulan Ramadan dalam memenuhi nafsu masing-masing. Perpaduan global diperlukan supaya jumlah makanan yang dibuang dapat dikurangkan dengan mengikuti kaedah pencegahan sisa makanan di atas. Oleh itu, individu, komuniti dan kerajaan perlu bekerjasama dalam merealisasikan objektif mengurangkan sisa makanan.

Penulis:  Nur Safirah Aina Binti Hashim, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
RELATED ARTICLES

Most Popular