Pada era kepesatan industri dan teknologi, masyarakat Islam di bandar semakin jauh dalam mengamalkan sunnah dan ajaran Rasulullah s.a.w untuk dijadikan panduan hidup. Hal ini kerana masyarakat Islam sekarang sibuk dengan urusan duniawi dari segi pekerjaan, keluarga, pakaian, makanan, media sosial, permainan video dan lain-lain.
Masyarakat Islam kini lebih kerap memikirkan hal duniawi demi menjaga jawatan, status, kewangan, pengaruh dari melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan yang mengingatkan kita tentang Allah SWT sebagai Tuhan semesta alam.
Daripada Abdullah bin Abbas RA, dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِي عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِي فَلَهُ أَجْرُ مِائَةِ شَهِيدٍ
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku ketika umatku di dalam kerosakan maka baginya ganjaran 100 orang yang syahid”. (Lihat: al-Zuhud al-Kabir, no. Hadith 207, 118/1).
Amatlah besar ganjaran bagi orang-orang yang mengamalkan sunah Rasulullah di akhir zaman kerana sebahagian besar manusia telah melupakan betapa hikmah dan pentingnya sunah Rasulullah dalam kehidupan seharian mereka.
Oleh itu, walaupun kita sebagai insan yang sibuk dan sering lalai dalam mengingati Allah dan Rasul dalam kehidupan, namun kita perlulah tahu serba sedikit dan mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah walaupun sedikit tetapi berterusan. Sesungguhnya Allah SWT sangatlah suka akan amalan sedikit tetapi berterusan seperti mana yang diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.” (HR. Bukhari, no. 6465).
Sudah terang lagi bersuluh seperti yang dibicarakan hadis sahih di atas, melakukan amalan yang ringan dan sedikit lebih dicintai Allah jika dilakukan berterusan berbanding amalan yang berat tetapi senang ditinggalkan.
Merangkumi segala ulasan di atas, terdapat 5 sunnah Rasulullah SAW yang senang dan mudah diamalkan dalam kehidupan harian kita agar hidup kita menjadi lebih berkat dan dikasihi Allah dan Rasul. Walaupun mungkin kebanyakan daripada kita sudah tahu akan sunanh-sunnah yang mudah ini tetapi marilah kita berazam dalam melakukannya secara istiqamah serta ikhlas dan tidak memandang remeh akan sekecil-kecil sunnah.
1. Solat dengan menggunakan sutrah
Sutrah merupakan pembatas solat yang kita jadiakan sebagai penghadang atau penghalang untuk mengelakkan orang melintas di tempat sujud kita sewaktu kita solat. Antara sutrah yang boleh kita gunakan pada zaman sekarang ialah kerusi, tiang, dinding, tembok, lembing ataupun orang. Sabda Nabi s.a.w;
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ إِلَى سُتْرَةٍ فَلْيَدْنُ مِنْهَا لَا يَقْطَعْ الشَّيْطَانُ عَلَيْهِ صَلَاتَهُ
“Jika seseorang dari kalian melakukan solat menghadap sutrah, maka hendaklah dia dekat kepadanya, jangan sampai syaitan membatalkan solatnya. (Sahih. Riwayat Abu Dawud)
Panjang jarak ukuran sutrah dan tempat sujud ibarat seukuran laluan kambing, sutrah juga diukur melalui ketinggiannya bukan lebarnya untuk memastikan orang sekeliling sedar dan perasan kewujudan orang yang sedang solat.
Seperti yang diriwayatkan dari Ibnu Umar R.A.; Jika Rasulullah berangkat pada hari raya, baginda perintahkan supaya tombak dipacakkan di hadapannya. Baginda solat menghadapnya bersama makmum dibelakangnya, Baginda turut melakukan seperti ini semasa safar, lalu dijadikan tuntutan para khalifah apabila baginda tiada.
Pada masa kini kita umat Islam boleh menggunakan barang yang tinggi untuk dijadikan sutrah seperti tiang , kipas berdiri, tempat penggantung baju, almari dan lain-lain. Sutrah merupakan sunnah yang sangat digalakkan dan dituntut ketika kita solat agar kita dapat solat dengan lebih khusyuk dan tawadu’ tanpa gangguan orang.
Hal ini kerana bagi menjaga kehormatan orang yang sedang beribadah terhadap penciptanya Allah SWT. Sutrah memastikan ruang dan tempat untuk kita solat, supaya tidak diganggu oleh orang lain. Ada hadis larangan lalu di depan orang yang solat.
لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَا ذَا عَلَيْهِ، لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِيْنَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ
“Seandainya orang yang lalu di depan orang yang solat mengetahui besarnya dosa yang ditanggungnya, nescaya ia akan memilih berhenti selama 40, itu lebih baik baginya dari lalu di depan orang yang shalat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Maksud 40 itu tidak dijelaskan di dalam hadis. Perawi hadis ini tidak mengetahui apakah yang dimaksudkan adalah 40 hari, 40 bulan, atau 40 tahun. Dalam musnad Al-Bazzar mengatakan 40 tahun. Imam Al-Syaukani di dalam Nailul Authar membahaskan bahawa yang diertikan dengan 40 itu menggambarkan betapa besarnya dosa.
Maknanya sutrah ini bukan perkara main-main atau suka-suka. Hadis sahih di atas menunjukkan betapa pentingnya sutrah dalam solat kerana dapat menghindarkan seseorang melintas di hadapan orang yang sedang solat.dan melakukan dosa yang sangat besar.
Oleh itu umat Islam perlulah menjaga kesempurnaan solat dengan meletakkan sutrah dihadapan mereka agar solat mereka tidak terganggu serta mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Janganlah kita mengambil sikap lewa solat kita tanpa menghiraukan orang melintas ketika kita sedang solat kerana beribadah kepada Allah merupakan amalan paling suci untuk dilakukan agar ibadah kita diterima dan dirahmati Allah.
Jika seseorang masih bertegas untuk lalu dihadapan orang yang sudah ada sutrah, maka hendaklah kita tegah mereka dengan menggunakan isyarat tangan untuk menghalang mereka dari melintas. Hal ini kerana bagi menjaga kesucian orang yang sedang solat dan tidak menganggu orang yang sedang solat.
Oleh yang demikian, sangatlah dituntut dalam mengamalkan sunnah Rasulullah yang sering ditinggalkan kita dengan mengadakan sutrah ketika kita solat.
2. Solat Sunat Di rumah
Pada masa kini, ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak tahu sunnah solat sunat di rumah berbanding di Masjid. Bukanlah kerana mereka tidak tahu mereka boleh solat sunnat di rumah, tetapi tidak sedar bahawa keafdalan solat sunat di rumah berbanding masjid. Daripada Zaid bin Thabit RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ فِي مَسْجِدِي هَذَا، إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ
Maksudnya: “Solat seseorang itu di rumahnya lebih afdhal (lebih baik) berbanding solatnya di masjidku (masjid Nabawi) ini melainkan solat yang wajib (solat fardhu).” [Riwayat Abu Daud (1044)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih].
Apa yang boleh kita amalkan daripada hadis di atas ialah setelah selesai solat berjemaah di masjid, sebaiknya kita pulang terlebih dahulu ke rumah kita untuk menunaikan solat sunat di rumah berbanding di masjid. Hal ini mungkin dipandang sangat melecehkan, meremehkan dan membuang masa bagi sesetengah umat Islam tetapi janganlah kita jadikan rumah kita seperti tanah perkuburan kerana tidak mendirikan sebarang ibadah sunat.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar r.a.h, Nabi s.a.w. bersabda: “Lakukanlah sebahagian dari solat kamu di rumah , dan jangan kamu jadikan rumah kamu sebagai kubur”. Jelaslah daripada hadis di atas merungkaikan keafdalan solat di rumah berbanding di masjid.
Janganlah kita malas mendirikan solat sunat di rumah kerana ia akan menghidupkan suasana yang lebih tenang, selesa serta khusyuk ketika kita solat bersendirian tanpa dilihat orang serta melimpahkan rahmat dan berkat ke tempat kita beribadah kepada Allah SWT.
Menurut Imam an-Nawawi dalam syarah Muslim 3/326-327, Rasulullah menunaikan solat di rumah kerana solat di rumah lebih tersembunyi dan jauh dari sifat riyak. Melalui solat di rumah juga, amalan solat kita lebih terjaga dari segala faktor penghapus amal, serta untuk mencari keberkatan di rumah melalui solat sunat.
Solat sunat di rumah lebih utama selain yang wajib, kerana kita dapat melindung diri kita dari sifat riyak dan takjub. Sebagai contoh, jika kita solat di rumah, tidak ada orang yang akan melihat kita selain dari kita dan ahli keluarga.
Sebaliknya jika di masjid, kita akan lebih terdedah untuk dilihat orang ketika solat dan mungkin akan menimbulkan perasaan riyak. Solat di rumah kita membawa hikmah yang besar dengan secara tidak langsung mendidik penghuni rumah untuk turut solat. Jika kita mempunyai anak yang kecil yang berusia 2, 3 tahun, mereka akan mengikut atau mengetahui cara kita solat walaupun kita masih tidak mendidik mereka solat lagi.
3. Mendoakan Orang Yang Bersin
Bersin merupakan rutin harian bagi kita dan kita tidak akan terlepas daripadanya sama ada jika kita bersin disebabkan habuk ataupun penyakit atau mendengar orang bersin di sekeliling kita. Dari sudut kesihatan, bersin merupakan satu perlindungan atau pertahanan dalam tubuh kita untuk melawan bakteria.
Ketika partikel asing memasuki hidung, ia dapat berinteraksi dengan rambut-rambut kecil dan kulit halus yang melapisi saluran hidung. Partikel dan kontaminan ini berkisar dari asap, polusi, dan parfum hingga bakteri, jamur, dan bulu.
Ketika lapisan halus hidung mengalami semburat pertama dari zat asing, itu mengirimkan sinyal listrik ke otak. Sinyal ini memberi tahu otak bahawa hidung perlu membersihkan dirinya sendiri. Oleh sebab demikian kita bersin untuk menghilangkan segala kotoran dalam hidung yang berfungsi untuk mengelakkan penyakit.
Kita hendaklah bersyukur kepada Allah dengan ciptaanNya yang sempurna dan teratur dengan penciptaan manusia kerana dengan bersin sahaja kita dapat menjaga kesihatan kita. Sebagai tanda syukur kepada Allah, Nabi s.a.w telah mengajarkan zikir dan lafaz bagi orang yang bersin dan orang yang berada sekitarnya. Nabi s.a.w telah bersabda:
إِذَا عَطَسَ أَحَدُكُمْ فَلْيَقُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ. وَلْيَقُلْ لَهُ أَخُوهُ أَوْ صَاحِبُهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَإِذَا قَالَ لَهُ يَرْحَمُكَ اللَّهُ. فَلْيَقُلْ يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu bersin, maka hendaklah ia menyebut Alhamdulillah. Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya yarhamkallah. Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) Yarhamkallah maka hendaklah menyebut Yahdikumullah wa Yuslih baalakum.(Riwayat al-Bukhari (6224)).
Apabila kita bersin hendaklah kita mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda syukur kepada Allah, jika terdapat seseorang yang mendengar ucapan tersebut maka hendaklah kita mendoakannya atau menjawabnya dengan lafaz Yarhamukallah, maka dengan itu orang yang bersin yang mendengarkan lafaz tersebut dari sahabatnya hendaklah membalas dengan ucapan Yahdikumullahi wa yuslihubalakum.
Ramai di antara kita yang mungkin mengetahui ucapan Alhamdulillah setelah bersin tetapi ramai yang tidak tahu untuk mendoakan saudara kita yang bersin tersebut. Sebagai umat Islam yang mukmin dan sejati hendaklah kita mengasihi saudara kita seperti mana kita mengasihi diri kita sendiri.
Mendoakan saudara seIslam kita merupakan perkara yang sangat mulia dalam Islam, oleh itu hendaklah kita beristiqamah mengamalkan sunnah Rasulullah untuk mendoakan orang yang bersin dengan lafaz yang telah diajar oleh Rasulullah. Secara tidak langsung, hal ini dapat merapatkan ukhwah, kemesraan dan hubungan silaturrahim yang lebih utuh sesama saudara seIslam kita walaupun pada mulanya kita tidak pernah kenal atau bertegur sapa sesama mereka.
4. Mendahulukan Sebelah Kanan Semasa Memakai Selipar dan Sebelah Kiri Semasa Membukanya
Memakai selipar, kasut, sandal dan sengkatan dengannya merupakan adat harian dalam kehidupan kita sewaktu kita hendak keluar rumah mengerjakan sesuatu urusan. Adab memakai selipar juga telah disebut oleh Rasulullah dalam hadis dengan mendahulukan kaki kanan ketika hendak memakainnya dan mendahulukan kaki kira ketika hendak menanggalkannya. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
إِذَا انْتَعَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِالْيُمْنَى، وَإِذَا خَلَعَ فَلْيَبْدَأْ بِالشِّمَالِ، وَلْيُنْعِلْهُمَا جَمِيعًا، أَوْ لِيَخْلَعْهُمَا جَمِيعًا
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin memakai selipar maka mulakanlah dengan kaki kanan. Manakala, apabila kamu ingin membuangnya maka mulakanlah dengan kaki kiri atau pakailah keduanya serentak atau membuangnya secara serentak”. [Riwayat Muslim (2097)].
Hanya dengan memakai selipar yang didahului dengan kaki kanan sahaja sudah mengikut sunnah Rasulullah, hakikatnya begitu dekatlah kita dalam melakukan sunnah Rasulullah dalam amalan harian kita jika kita mengetahuinya.
Oleh itu sebagai umat Islam yang mukmin, biasakanlah diri dengan melakukan sunnah yang ringan tetapi berterusan agar amalan harian kita tidak terputus dengan ibadah pahala walaupun amalan kita kecil kerana sesungguhnya Allah sangatlah adil menghitung amalan manusia walaupun sekecil-kecil zarah.
Bukan dengan mendahulukan kaki kanan ketika memakai selipar sahaja, tetapi Rasulullah banyak mendahulukan yang kanan terlebih dahulu dalam kehidupan beliau seperti menyisir rambut, bersuci dan dalam semua perkara. Imam an-Nawawi memaparkan dalam Syarah Muslim 2/163. Kaedah ini diguna pakai dalam syariat untuk semua perkara termasuk dalam bab penghormatan.
Sebagai contoh, Rasulullah menduhulukan perkara kanan ketika memakai pakaian, kasut, masuk ke masjid, berwudu’ masuk ke masjid atau rumah, mencukur misai, mencukur kepala rambut, mengucapkan salam pada akhir solat, keluar dari bilik air dan sebagainya.
Begitu juga kontranya seperti, keluar dari masjid membuka baju, seluar dan kasut, membuang hingus dan istinja’ dan perbuatan seumpamanya hendaklah didahulukan dengan sebelah kiri. Sesungguhnya sangatlah mudah dan senanglah kita untuk melakukan amalan sunnah dalam rutin harian kita tetapi sebahagian besar dari kita sudah lupa dengan ajaran Nabi s.a.w dan tidak lagi diamalkan oleh umat Islam.
Hal ini sangatlah rugi bagi kita sebagai umat Islam kerana mensia-siakan amalan pahala yang boleh kita dapat daripada rutin harian kita dengan begitu mudah. Seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al-Asr, ayat kedua, yang bermaksud; sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Tetapi Allah mengecualikan manusia golongan tersebut dengan ayat seterusnya yang bermaksud; “Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Oleh itu marilah kita menjadi golongan yang untung di dunia dan di akhirat dengan beramal dengan sunnah Rasulullah dalam rutin harian kita agar setiap saat dan masa kita hidup di dunia ini menjadi bekalan untuk kita berjaya di akhirat kelak.
5. Mempertahankan Maruah Saudara Seislam
Dunia moden pada masa kini yang dilengkapi dengan alat teknologi yang serba canggih untuk menghubungkan manusia pada bila-bila masa dan tempat telah banyak diguna pakai pada masa kini yang dipanggil media sosial seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan sebagainnya. Namun ramai dalam kalangan umat Islam yang menyalahgunakan media sosial untuk mengumpat, mencaci maki, memfitnah sesama saudara seislam kita sendiri.
Hal ini sangatlah ditegah oleh Rasulullah SAW kerana membuka aib saudara kita merupakan satu dosa besar dan sangat dibenci oleh Allah SWT. Kesan daripada mengumpat, memfitnah, mencaci maki atau menzalimi saudara Seislam kita akan menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam yang menimbulkan banyak salah faham, menjatuhkan martabat seseorang dan ahli keluarga mereka serta secara tidak langsung akan tercetusnya perasaan benci, dendam dan sifat-sifat mazmumah antara umat Islam.
Bagi mengelakkan kucar kacir ini, hendaklah kita berlandaskan sunnah Rasulullah dalam pergaulan sesama Islam dengan mempertahankan dan menjaga maruah saudara kita dari dizalimi orang lain. Hadis daripada Abu Darda’ RA, Nabi SAW bersabda : “Sesiapa yang mempertahankan maruah saudaranya ketika ketiadaannya nescaya Allah akan memelihara wajahnya daripada api neraka pada hari kiamat”.
Begitu besarlah maruah saudara seIslam kita sehingga Allah akan menjaga wajah hambanya dari api neraka jika mereka mempertahankan maruah seorang Muslim. Hadis ini mengajar kita supaya mempertahankan maruah umat Islam kerana orang Islam adalah saudara orang Islam yang lain. Oleh itu, sangatlah ditegah untuk kita menzalimi atau dibiarkan saudara kita dizalimi dalam keadaan tertindas dan dihina maruahnnya.
Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang tidak mahu menolong seorang yang mukmin yang sedang dihina orang di sisinya padahal dia mampu menolongnya nescaya akan dihinakan oleh Allah di tengah-tengah khalayak ramai pada hari kiamat. Sebaliknya pula, orang yang menolong saudaranya dengan cara yang tersembunyi dalam perkara yang dia dapat menolongnya , nescaya Allah akan menolongnya di dunia dan di akhirat.”.
Sudah menjadi kewajipan sebagai orang Islam dalam menjaga aib saudara seIslam mereka misalnya aib seorang perempuan yang melakukan perkara sumbang dengan seorang lelaki sehingga ditangkap basah ataupun aib seseorang yang menghidap penyakit kusta yang sehingga baunya merebak dengan sangat busuk dan memalukannya, maka hal-hal yang demikian tidak perlulah kita mengheboh-hebohkannya atau dibesar-besarkan.
Cendikiawan Islam Dr Aid Abdullah al-Qarni pernah berkata; “Maka apabila seseorang Muslim mendengar kesalahan dan pelanggaran atas kehormatan saudaranya dalam suatu majlis, dia berhak untuk membela dan menjawabnya serta menjelaskan bahawa ini adalah salah dan memberitahu kebaikan-kebaikan saudaranya itu, jika dia mengetahui kebaikan yang ada pada dirinya.”
Namun begitu, umat Islam pada masa kini senang sahaja melakukan dosa dengan mencaci maki, mengutuk, memfitnah saudara semuslim mereka tanpa rasa malu dan bersalah. Hal ini akan menyebabkan malapetaka yang buruk dalam pergaulan sesama Muslim yang mampu memecah belahkan umat Islam kerana mereka dengan rasa gembiranya terang-terangan melakukan dosa serta membawa pengaruh kepada orang sekeliling mereka untuk turut serta melakukan dosa.
Jika benarlah saudara semuslim kita melakukan perkara yang terkutuk, seharusnya kita terlebih dahulu bertanya pada saudara kita sendiri untuk memastikan kebenarannya dan jika perkara itu benar, sewajibnya kita sebagai seorang mukmin perlu tegurlah salah silap mereka dengan cara yang berhikmah dengan penuh tauladan.
Bukanlah dengan cara mengumpat, mencela dan memaki hamun dapat menyelesaikan masalah perbuatan mazmumah saudara kita tetapi akan membawa kepada fitnah, salah faham, pergaduhan, kebencian dan dendam sesama umat Islam.
Umat Islam perlulah mencari cara untuk menegah kemungkaran dalam kalangan umat Islam tetapi bukanlah dengan menyusuli kemungkaran dengan kemungkaran seperti menyebarkan berita yang buruk yang boleh mengaibkan saudara kita.
Islam mengajar saudara kita untuk mengasihi saudara kita yang lain seperti mana kita kasihi diri kita sendiri kerana saudara seislam kita juga boleh diibaratkan seperti darah daging kita sendiri. Sayangilah saudara kita seperti mana kita malu akan aib kita diketahui orang ramai dengan berbuat-baiklah pada mereka, mengajak kepada kebaikan, tegah mereka pada kemungkaran agar hidup kita dipenuhi rahmat dan hikmah bersama orang Islam di sekeliling kita.
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah dan petunjuk kepada kita akan kita tidak lari dari jalan yang benar yang diredhai Allah dan Rasul.
Penulis; Muhammad Faris Haziq bin Fairos, Mahasiswa tahun 3, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.