Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelTransit Kerajaan Dalam Menyatupadukan Kaum Melalui Amalan Rumah Terbuka

Transit Kerajaan Dalam Menyatupadukan Kaum Melalui Amalan Rumah Terbuka

Adakah amalan rumah terbuka dapat mengekalkan perpaduan etnik di Malaysia?

Sering kita dengar perkataan perpaduan biasanya dilontarkan oleh tokoh negara kita ketika sambutan perayaan yang bertujuan untuk melahirkan sebuah negara yang berdaulat. Namun, kepelbagaian etnik dalam masyarakat merupakan satu perkara yang sering menjadi isu di negara Malaysia.

Usaha-usaha yang telah diambil untuk mengukuhkan lagi hubungan sosial pelbagai etnik di negara ini bagi melahirkan masyarakat yang lebih adil dari segi struktur sosial dan ekonomi secara holistik amatlah mencabar disebabkan gagasan yang simbolik semata-mata hanyalah menghasilkan impak yang kurang efektif.

Justeru itu, semenjak zaman menikmati arus kemerdekaan, penganjuran rumah terbuka telah menjadi satu lumrah yang telah diamalkan semenjak zaman datuk dan nenek moyang kita.

Lazimnya, rumah terbuka ini diadakan bagi menyambut sesuatu perayaan bertujuan untuk memperingati peristiwa penting berdasarkan amalan agama yang dianuti serta bertujuan untuk memupuk perpaduan di kalangan etnik di Malaysia.

Oleh hal yang demikian, tidak kira acara rumah terbuka yang diadakan kecil atau besar semua lapisan masyarakat dijemput hadir bagi mengukuhkan lagi perpaduan antara masyarakat di Malaysia yang berbilang etnik ini.

Tanpa perpaduan yang kukuh negara kita akan porak peranda. Keharmonian, ekonomi, politik dan sistem Pendidikan akan turut terjejas.

Seperti yang kita sedia maklum, kerajaan Malaysia pada tahun 2000 telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan tahun baru Cina dianggap sebagai perayaan utama di negara yang akan diraikan pada peringkat kebangsaan yang merupakan salah satu inisiatif kerajaan ke arah integrasi antara komuniti. 

Kesungguhan kerajaan menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional ini telah menjadikannya sebuah acara yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia secara amnya.

Tidak dapat dinafikan, kebahagian dan kebaikan yang diperolehi oleh setiap lapisan masyarakat ini menjadikan amalan rumah terbuka tidak pernah lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Persoalannya di sini, mengapakah pihak kerajaan begitu mementingkan penganjuran acara sambutan rumah terbuka seumpama ini diadakan sehingga melibatkan pelbagai etnik menghadirinya padahal perayaan Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam? 

Oleh yang demikian, kita sepatutnya berterima kasih kepada pihak kerajaan yang telah menganjurkan majlis rumah terbuka yang dapat dihadiri oleh setiap multietnik ini. Sebenarnya, matlamat utama pihak kerajaan menganjurkan rumah terbuka ini adalah untuk mengeratkan lagi perpaduan dalam kalangan multietnik di Malaysia.

Dengan kehadiran masyarakat sejagat yang berbilang etnik di acara ini, ikatan perpaduan antara mereka secara tidak langsung turut dapat diperkukuhkan. Hal ini kerana mereka akan merayakan sesebuah perayaan itu bersama-sama dengan penuh kegembiraan walaupun asalnya berbeza latar belakang, agama dan budaya. Dengan ini, masyarakat di Malaysia dapat menyelami budaya sesuatu etnik untuk mengenali adat resam dan kepercayaan suku etnik antara satu sama lain yang mana pada masa yang sama dapat menimbulkan rasa hormat terhadap amalan bangsa yang lain. Hal ini sekaligus dapat merapatkan jurang antara multietnik ini manakala tembok perbezaan dapat dirobohkan.

Saya memiliki banyak pengalaman  menghadiri  acara  rumah terbuka. Malah saya turut pernah menghadiri acara rumah terbuka sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang dikendalikan oleh Pihak UM pada empat tahun lepas. Sambutan acara gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohamad Najib bin Tun Abdul Razak yang secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan antara pemimpin dan masyarakat sejagat.

Acara ini, menjadikan saya lebih yakin dan teruja terutamanya dalam aspek integrasi komuniti kerana sepanjang pengalaman saya menghadiri acara rumah terbuka ini, tidak ada satu pun peristiwa penindasan etnik yang berlaku meskipun memiliki latar belakang yang berbeza. Lebih-lebih lagi para etnik lain sangat menghormati  kami yang  beretnik Melayu ini.

Mereka juga sangat seronok berkongsi pelbagai pengalaman bersama tanpa ragu ragu dan mengira asal usul mereka. Daripada realiti ini, tidak dapat disangkal lagi bahawa rumah terbuka merupakan salah satu medium yang dapat menyatukan setiap lapisan masyarakat di Malaysia yang berlainan bangsa seperti Melayu, Cina, India, Iban dan sebagainya.

Ianya sekaligus meningkatkan integrasi nasional dan menunjukkan bahawa setiap lapisan masyarakat di Malaysia hidup di bawah satu naungan dan bumbung yang harmoni dengan penuh kegembiraan.

Perpaduan yang terjalin terutamanya dalam kalangan mahasiswa juga sangat memudahkan negara bagi mencapai misi dan visinya dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa pada masa yang akan datang.

Tegasnya, amalan seperti ini sewajarnya diteruskan pada masa yang akan datang bagi menyemai perasaan muhibah dan sayang dalam setiap diri masyarakat di negara ini. Bukan itu sahaja, kerana dari perspektif yang lain, amalan rumah terbuka yang dianjurkan oleh setiap pihak ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat di Malaysia memahami budaya kaum kerana amalan rumah terbuka ini membolehkan setiap multietnik mengenali juadah etnik yang lain kerana juadah yang disajikan ketika hari terbuka ini turut mencerminkan kebudayaan sesuatu etnik.

Tuntasnya, bukan sahaja budaya dan adat resam etnik lain dapat dipelajari melalui amalan rumah terbuka ini malah setiap lapisan masyarakat juga dapat mengamalkan budaya sihat dan hidup aman sentosa tanpa pergaduhan antara satu sama lain.

Justeru itu, sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berasa amat berbangga kerana tinggal di bumi Malaysia yang memiliki pelbagai etnik ini kerana saya dapat mempelajari pelbagai budaya dan cara hidup yang unik dan tersendiri setiap etnik secara tidak langsung. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta.

Sebagai kesimpulannya, jelaslah bahawa transit Kerajaan dalam menyatupadukan kaum melalui amalan rumah terbuka sangat berkesan dan penting serta perlu dihayati oleh setiap lapisan masyarakat di Malaysia.

Terdapat pelbagai faedah dan manfaat yang dapat kita lihat dengan mengamalkan amalan mengadakan rumah terbuka secara meluas terutamanya dalam mengekalkan perpaduan etnik di Malaysia. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah sentiasa bermuafakat dalam melaksanakan sesuatu perkara tidak kira siapa atau di mana.

Jelaslah bahawa semua pihak sama ada pihak kerajaan, pihak swasta atau orang perseorangan perlulah berganding bahu bak aur dengan tebing untuk menjayakan acara-acara yang dapat mengukuhkan perpaduan antara multietnik seperti mengadakan rumah terbuka ini.

Saya yakin, kesepaduan masyarakat Malaysia pasti lebih terserlah apabila acara-acara seumpama ini diadakan. Hal ini kerana apabila amalan murni ini dapat diamal dan dibudayakan, ianya pasti dapat melahirkan generasi yang dapat menjadi pelapis di masa hadapan yang mana mampu berperanan di tengah-tengah gelombang kemodenan dan arus globalisasi yang kian mencabar kerana memiliki keperibadian yang unggul seperti pemupukkan nilai-nilai agama, moral dan etika.

Hal ini secara tidak langsung dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk menyatu padukan masyarakat majmuk. Jadi, sudah terang lagi bersuluh bahawa hasrat negara untuk mencapai Gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya sekadar angan-angan Mat Jenin lagi walaupun negara Malaysia merupakan satu titik kecil dalam peta dunia.

Akhir kata, tidak dapat dinafikan amalan rumah terbuka ini sangat perlu diadakan lebih kerap dan diperluas ke seluruh pelusuk dunia.

Penulis; Sharifah Aleya Ayunie Syed Abd Rahman Alzawawi, Pelajar Tahun Satu Sarjana Muda Teknolgi Industri Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular