Wednesday, July 24, 2024
HomeArtikelWanita Dan Emosi : Kenali Punca Dan Langkah Untuk Emosi Yang Lebih...

Wanita Dan Emosi : Kenali Punca Dan Langkah Untuk Emosi Yang Lebih Sihat

Emosi adalah perasaan yang kuat dan juga merujuk kepada reaksi terhadap seseorang atau sesuatu seperti marah, sedih, gembira, takut dan lain-lain. Jika dikaitkan dengan emosi, wanita diidentitikan sebagai makhluk yang mengedepankan emosi dalam menghadapi pelbagai situasi.  

Hal ini kerana wanita kebiasaannya lebih mudah meluahkan perasaan yang dirasakannya berbanding lelaki sama ada melalui lisan, penggayaan bahasa tubuh atau juga riak wajah.

Jangan pelik jika ramai yang menyatakan bahawa kebanyakan wanita tidak mudah untuk meluahkan perasaan mereka melalui lisan, akan tetapi mereka mengungkapkannya melalui perbuatan langsung.

Sebagai contoh, ketika seorang wanita itu berada dalam kesedihan, mereka akan menangis kerana itu adalah salah satu cara untuk melepaskan kesedihannya. Begitu juga jika mereka merasa bahagia atau senang dengan keadaan sekelilingnya, mereka akan mengungkapkan rasa itu dengan senyuman lebar dan berseri.

Mengikut beberapa pemerhatian, wanita memiliki satu keunikan iaitu lebih mudah mengetahui dan memahami perasaan orang lain terutama sesiapa sahaja yang rapat dengan mereka sama ada sedang sedih, marah atau gembira.

Salah satu alasannya kerana wanita lebih sensitif terhadap emosi orang lain kerana adanya interaksi secara fizikal dan psikologi yang lebih istimewa berbanding lelaki. Jadi, jika ada sesuatu yang tidak menyenangkan dalam perhubungan mereka, wanita akan lebih cepat peka dan merasakan ketidakselesaan tersebut.

Tidak dinafikan, lelaki juga boleh menjadi lebih beremosi berbanding wanita. Namun, cara mereka mencurahkannya itu berbeza. Perbezaan pada lelaki dan wanita itu dapat dilihat pada reaksi terhadap emosi negatif.

Terdapat kajian dari pelbagai budaya dan negara menunjukkan bahawa wanita lebih cenderung untuk merasakan emosi negatif seperti cepat rasa bersalah, rasa takut, malu, sedih dan sebagainya.

Tahukah anda bahawa emosi yang tidak diurus dengan baik boleh mendorong kepada tekanan perasaan dan juga stress. Ternyata masih ramai yang tidak menyedari pengurusan emosi itu sangat penting untuk menjaga kesihatan mental dan juga fizikal seseorang individu.

Malah, penjagaan emosi yang tidak betul menyebabkan seseorang itu lebih cenderung untuk memendam perasaan mereka dari berkongsi dengan orang lain. Salah satu informasi yang diambil dari keratan akhbar menyatakan bahawa golongan wanita dalam lingkungan usia di antara 17 hingga 22 tahun, cenderung mengalami masalah kesihatan mental disebabkan mereka lebih suka memendam perasaan berbanding lelaki yang bersifat lebih terbuka.

Jika emosi tidak dikawal dengan betul, ia boleh mendatangkan kesan yang sangat buruk sehingga menimbulkan pemikiran untuk bunuh diri. Maka sangat penting untuk kita mengetahui punca atau penyebab yang menyumbang kepada ketidakstabilan emosi, antaranya:

1.    Masalah Kesihatan

Perubahan emosi ini berkemungkinan besar disebabkan oleh masalah kesihatan. Seseorang yang menghidap penyakit kronik yang boleh mempengaruhi fungsi otak seperti demensia atau nyanyuk, gangguan sklerosis, tiroid dan penyakit Parkinson menyumbang kepada perubahan mood seseorang seperti mudah marah, sedih dan tersinggung.

2.    Faktor Hormon

Faktor ini merupakan penyumbang terbesar dalam menyebabkan ketidakstabilan emosi. Kebanyakan wanita yang mengalami sindrom premenstrual (PMS) atau sedang hamil adalah golongan yang sering mengalami ketidakseimbangan hormon sehingga ia berpengaruh besar pada emosi mereka.

Wanita yang menopause juga tidak terkecuali untuk mengalami masalah yang sama kerana rembesan hormon dalam badan mereka menyebabkan kecelaruan emosi berlaku, malah menjadi lebih teruk jika tidak dikawal dengan betul.

3.    Tidak Cukup Tidur

Tidur juga memainkan peranan penting dalam menjaga kestabilan emosi. Mereka yang mempunyai masalah kurang tidur berpotensi mengalami emosi yang tidak stabil.

Tidur yang tidak mencukupi menyebabkan seseorang itu sukar untuk mengawal emosinya sehingga mudah merasa tersinggung dan marah walaupun terhadap perkara yang remeh, serta boleh menjejaskan selera makan.

Kurang tidur yang berterusan bukan sahaja mendatangkan masalah terhadap mental, malah fizikal juga akan turut terjejas. Amat penting sebenarnya untuk badan kita mendapat rehat yang cukup dengan memastikan tidur yang berkualiti.

4.    Mengalami Kemurungan

Wanita yang mengalami kemurungan sememangnya memiliki hati yang tidak cukup kuat. Mereka sangat mudah untuk mengeluarkan pelbagai emosi negatif seperti cepat tersinggung, marah, sedih dan kadangkala mempunyai perasaan bahawa diri mereka tidak berharga.

Seseorang yang depresi atau kemurungan ini biasanya sukar untuk menjalani aktiviti harian mereka dengan baik serta sering mengalami gangguan waktu tidur. Keadaan ini juga boleh menyebabkan mereka sukar untuk melakukan sebarang keputusan untuk kehidupan mereka malah lebih teruk lagi jika tidak ditangani, ia akan mendatangkan pemikiran untuk membunuh diri.

Mereka yang mengalami depresi ini memang sukar untuk menguruskan emosi mereka dengan baik jika tidak bertemu dengan pakar yang betul.

5.    Trauma Yang Selalu Mengganggu

Tidak dinafikan, seseorang itu pasti memiliki traumanya yang tersendiri. Ada yang trauma dengan kejadian masa lalu yang sangat berbekas sehingga mengganggu masa sekarang. Ada yang trauma apabila melihat sesuatu di media atau di mana-mana sahaja.

Keadaan ini sebenarnya biasa sahaja, namun menjadi teruk apabila trauma itu kerap muncul sehingga boleh mengganggu kestabilan emosi. Trauma ini boleh dirawat dengan terapi atau boleh berusaha untuk melawan rasa takut itu.

Hal ini kerana jika trauma tersebut dibiarkan berterusan, ia akan membuatkan seseorang itu tidak aman dan sering berada dalam ketakutan selama-lamanya. Keadaan ini sangat bahaya untuk kesihatan mental dan penjagaan emosi yang baik.

Setelah mengenal pasti semua punca utama yang boleh mempengaruhi emosi, jadi wajarlah untuk kita semua mengetahui langkah yang perlu diambil untuk mengatasi emosi yang tidak stabil antaranya:

1.     Buang fikiran yang buruk

Ketika seseorang itu menghadapi masalah, pelbagai tekanan yang akan dirasai pada waktu itu. Saat itu amat penting untuk membuang segala pemikiran yang buruk kerana ia akan mendatangkan perasaan dan emosi yang negatif kerana bermula dari fikiran yang buruk itulah akan menjejaskan emosi dan mental pada waktu itu dan juga pada masa akan datang sehingga boleh menyebabkan seseorang bertindak luar kawalan.

2.     Tidur yang cukup

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, tidur merupakan perkara yang amat penting yang boleh mempengaruhi emosi. Jika badan mendapat tidur yang cukup, maka lebih mudah untuk mengawal dan menguruskan emosi dengan baik.

3.     Melakukan perkara yang digemari

Setiap orang disarankan untuk memiliki hobi yang membuatkan kita rasa gembira apabila melakukannya. Perkara ini agak kecil dan tidak penting bagi sesetengah orang, namun sebenarnya ia memberikan impak yang cukup besar apabila dikaitkan dengan pengurusan emosi.

Melakukan hobi juga membantu untuk mengelakkan diri dari sentiasa berada dalam tekanan sehingga boleh menjejaskan mood seharian.

4.     Berbual dengan orang terdekat

Cuba cari seseorang yang boleh diajak berbual dari hati ke hati. Pilih dalam kalangan sahabat, pasangan, keluarga atau sesiapa sahaja yang boleh dipercayai untuk meluahkan perasaan dan masalah yang dihadapi.

Bukan sahaja hanya berkongsi masalah, boleh juga mengajak mereka untuk melakukan hal-hal yang kecil bersama. Hal ini kerana dari hal-hal yang kecil itu mampu untuk membuatkan emosi positif lebih banyak daripada emosi negatif.

Perkara ini untuk mengelakkan daripada memendam perasaan berseorangan kerana ia boleh menghasilkan reaksi dan tindakan yang tidak terkawal apabila emosi tidak terurus. Jika perlu, boleh terus berkomunikasi dengan mana-mana pakar atau doktor untuk mendapatkan jalan penyelesaian yang tepat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

5.     Biblioterapi

Biblioterapi adalah kaedah terapi yang menggunakan buku atau apa sahaja bahan bacaan. Kaedah ini amat sinonim dengan masalah berkaitan jiwa. Melalui kaedah pembacaan ini, pembaca akan menjiwai watak dalam buku tersebut serta mengaitkan dirinya dengan masalah yang dihadapi.

Kaedah ini bukan sahaja sesuai untuk wanita sahaja bahkan untuk semua golongan. Sedikit sebanyak, isi kandungan yang terdapat dalam bahan bacaan tersebut mampu membantu untuk mengajar seseorang untuk mengurus serta mengawal emosi dengan sebaiknya.

Setelah mengetahui punca dan langkah untuk mendapatkan emosi yang stabil, lebih mudah untuk kita mengenali diri supaya lebih senang untuk menguruskan emosi pada masa akan datang.

Penjagaan emosi ini amatlah penting terhadap semua golongan dan bukan wanita sahaja kerana kesihatan fizikal akan dipengaruhi oleh kesihatan mental, dan kesihatan mental dapat dijaga dengan baik dengan adanya pengurusan emosi yang betul.

Penulis; Hasni Najihah Binti Che Hasan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular