BULAN KE-9 dalam kalendar Islam iaitu bulan Ramadan adalah waktu yang paling dinantikan oleh seluruh umat Islam khususnya mereka yang beriman, lantaran pelbagai keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.
Bagi umat Islam di Malaysia, Ramadan diraikan dengan cukup meriah ditambah lagi dengan kewujudan bazar Ramadan. Bazar Ramadan menjanjikan pelbagai pilihan juadah untuk berbuka termasuklah lauk-pauk, manisan, pelbagai jenis air serta kuih-muih tradisional yang sukar didapati.
Lazimnya, umat Islam akan membanjiri bazar Ramadan pada waktu petang untuk mencari juadah untuk berbuka puasa. Masyarakat bukan Islam juga turut memeriahkan bazar Ramadan dengan membeli juadah untuk makan malam.
Walau bagaimanapun, kenikmatan dan kemeriahan bulan mulia ini disia-siakan apabila terdapat segelintir pembeli dan peniaga yang melakukan pembaziran makanan. Amalan pembaziran ini sangat bertentangan ajaran Islam seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang melakukan pembaziran ialah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk sangat kufur kepada Tuhannya.”(Surah al-Isra’: Ayat 27).
Bagi mengelakkan perkara buruk ini terjadi, pelbagai langkah pencegahan perlu dipikul oleh semua pihak. Berikut adalah tindakan yang boleh diambil oleh anda sebagai rakyat Malaysia untuk membantu meminimumkan pembaziran makanan:
- Merancang juadah yang hendak dimasak. Tindakan ini membantu anda membeli hanya benda yang diperlukan dan mengelakkan pembelian mengikut hawa nafsu.
- Menyenaraikan barangan keperluan sebelum membeli-belah. Sebelum pergi ke kedai runcit, senaraikan barang yang hendak dibeli secara terperinci berdasarkan hidangan yang anda rancang. Berpegang pada senarai untuk mengelakkan membeli barangan yang tidak diperlukan.
- Waspada dengan tarikh luput. Anda perlu cakna akan tarikh luput pada bahan makanan dan cuba makan sebelum barangan tersebut luput. Susun makanan di peti sejuk anda supaya makanan dengan tarikh luput lebih awal lebih mudah digunakan.
- Menerapkan amalan kaedah FIFO di dapur. Menggunakan bahan-bahan lama dahulu untuk memastikan tidak berlaku pembaziran. Anda perlu menyimpan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan betul untuk mengekalkan tempoh kesegarannya. Sesetengah barangan lebih baik disimpan di dalam peti sejuk, manakala yang lain lebih baik pada suhu bilik. Anda mesti cakna dengan keperluan penyimpanan untuk setiap item.
- Menyimpan lebihan makanan. Anda boleh mengamalakan ‘Rules of 3’ iaitu meletakkan lebihan makanan 3 jam pada suhu bilik, 3 hari di ruang sejuk dan 3 bulan di ruang beku. Hal ini dapat memastikan lebihan makanan tidak basi dan boleh di makan lagi.
- Menderma. Kita sebagai umat Islam digalakkan untuk menderma dan berkongsi lagi-lagi di bulan Ramadan yang mulia ini. Anda boleh berkongsi kepada bank makanan tempatan atau berkongsi lebihan makanan dengan jiran atau rakan.
- Membuat kompos. Dengan cara ini, mereka boleh menyumbang sisa makanan kepada pengayaan tanah dan bukannya berakhir di tapak pelupusan. Faedahnya, tanah akan menjadi lebih subur untuk tanaman.
Apabila menerapkan amalan ini, anda boleh menyumbang untuk mengurangkan sisa makanan dan memberi kesan positif kepada alam sekitar dan belanjawan anda.
Selain usaha daripada pihak pembeli, peniaga juga perlu bijak dalam menguruskan masalah kritikal ini. Hal ini pasti dapat diatasi sekiranya peniaga melakukan beberapa strategi ini. Antaranya ialah:
- Melaksanakan sistem pengurusan inventori yang cekap. Perkara ini penting untuk menjejak tarikh tamat tempoh dan mengutamakan penjualan produk yang menghampiri hadnya.
- Menderma. Peniaga juga boleh bekerjasama dengan bank makanan tempatan atau badan amal untuk menderma lebihan makanan.
- Menawarkan diskaun atau promosi pada produk yang menghampiri tarikh tamat tempoh. Perkara ini boleh membantu memindahkan inventori sebelum produk tersebut tidak dapat digunakan.
Ini semua tentang mencari cara kreatif untuk memastikan makanan sampai ke tangan pengguna dan bukannya berakhir di tong sampah.
Dalam pada itu, pihak berkuasa juga berupaya untuk mengatasi masalah pembaziran makanan yang berlaku dalam kalangan masyarakat dengan melakukan kaedah seperti
- Menjalankan kempen pendidikan sifar sisa makanan yang berterusan di seluruh negara. Tujuan kempen ini untuk mendidik orang ramai dan penjual makanan mengenai pembaziran makanan dan implikasinya. Perkara ini juga perlu dilaksanakan di semua sekolah bagi menyemai kesedaran kepada golongan muda. Sebagai contoh, Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
- Menyusun dasar dan peraturan yang menggalakkan pengurusan sisa makanan di peringkat perniagaan dan komuniti. Mereka boleh memberikan insentif kepada perniagaan yang menerapkan amalan pengurusan sisa makanan yang baik, atau mengenakan penalti kepada mereka yang tidak mematuhi standard tertentu.
- Menyokong projek-projek seperti pengumpulan dan pengagihan makanan kepada yang memerlukan dan membangunkan sistem penukaran sisa makanan kepada kompos, Hal ini boleh membantu mengurangkan jumlah makanan yang terbuang.
Oleh itu, betapa pentingnya kerjasama antara sektor awam, perniagaan, dan masyarakat untuk mencapai matlamat mengurangkan pembaziran makanan.
Oleh itu, jika diteliti dengan lebih mendalam, berhemah dalam berbelanja untuk makanan bukan sahaja boleh menyumbang kepada penjimatan belanja harian isi rumah, malah sikap ini juga boleh membantu negara dalam usaha untuk mengurangkan perbelanjaan untuk memproses sisa pepejal.
Di samping itu, tindakan ini juga dapat membantu dalam usaha kita mengurangkan impak negatif yang boleh terhasil daripada pembaziran makanan kepada alam sekitar. Diharapkan bulan Ramadan yang mendatang ini dapat meneruskan usaha kita untuk mengurangkan pembaziran makanan. Sambutlah Ramadan dalam kesederhanaan, manakala perancangan dan kawalan perbelanjaan perlu dijadikan norma baharu supaya sikap boros berbelanja dan pembaziran makanan dapat dielakkan.
Penulis: Siti Nur Khuzaifah binti Majid, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
