Baru-baru ini, berakhir sudah sesi persekolahan bagi pelajar-pelajar tingkatan 5 apabila kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah tamat pada tanggal 7 Mac. Mereka kini akan mula menapak ke alam yang lebih mencabar dan akan menjadi harapan kepada masa hadapan negara. Akan tetapi, realiti yang patut kita fikirkan, adakah remaja kini dapat diberi kepercayaan sepenuhnya oleh masyarakat?
Sebelum ini, banyak isu-isu semasa dan penularan video-video di media sosial yang melibatkan tahap moral remaja yang semakin menjunam. Kita dikejutkan dengan isu pornografi ringan dalam media sosial, pelakon pornografi disanjung di aplikasi X dan Instagram, rokok elektronik yang mengandungi nikotin telah tersebar di sekolah, dan pergaduhan dalam media sosial atau dikenali “keyboard warrior”. Semua isu ini telah melibatkan remaja kita sebagai pelaku dan pengguna.
Sememangnya tidak dinafikan masih ada segelintir rakyat Malaysia khususnya di kalangan remaja yang mampu menjadi contoh kepada orang lain seperti Abdul Qawiy Aro . Namun, perkara ini boleh merebak ke masyarakat malah mempengaruh remaja yang lain untuk cenderung ke isu ini jika tidak dibanteras. Terdapat beberapa kesan negatif yang boleh membarah dalam masyarakat seperti kelahiran generasi muda lemah dan tahap intelektual rakyat Malaysia merudum.
Kelahiran generasi muda yang lemah tidak dapat dibendung sekiranya rakyat Malaysia sendiri khususnya remaja tidak membina jati diri yang kuat. Sepatutnya, remaja menjadi harapan kepada masyarakat untuk berjasa kepada komuniti tetapi tanggungjawab itu diabaikan berpunca kehidupan senang-lenang dan budaya hedonisme telah diterapkan dalam diri mereka.
Pengaruh kehidupan ini menjadi punca dari golongan ibu bapa sendiri yang terlalu memanjakan anak-anak di rumah sehingga berlakunya isu anak-anak bersikap kasar dengan guru-guru dan ibu bapa mereka. Selain itu, pendedahan kepada gajet dan media sosial yang tiada kawalan menjadi punca kepada keruntuhan moral remaja. Semenjak Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), keperluan gajet bagi pelajar sekolah menjadi satu keutamaan untuk belajar secara atas talian. Manakan tidak, setiap pembelajaran mesti menggunakan aplikasi Google Meet dan kerja rumah dihantar melalui Whatsapp dan Google Classroom.
Namun, cara ini terbukti akan membuka peluang kepada remaja untuk mengakses internet tanpa batas. Sumber-sumber maklumat yang dikongsi dalam internet ini bersumberkan dari semua negara di mana pelakunya ada yang bersikap baik dan sebaliknya. Jika tidak dibendung, ini akan menjadi punca kepada pengaksesan video lucah dan komen negatif sehingga “body shamming” orang lain. Lihatlah, penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya menyekat 4240 laman lucah di internet dari tahun 2020 sehingga bulan Februari tahun 2023 menurut Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin di dalam laman portal sinar harian.
Tujuan penubuhan suruhanjaya antaranya bagi mengehadkan laman web web haram yang terkandung video berkonten dewasa dan komen-komen negatif berbaur perkauman, namun isu di peringkat masyarakat yang tidak heboh di media sosial tidak dapat dikesan oleh suruhanjaya tersebut. Perkara ini mampu dinormalisasikan oleh segelintir remaja dengan sebab-sebab untuk membenarkan perbuatan mereka.
Apabila remaja sekarang telah kemaruk dengan perkara-perkara tersebut, tidak asing bagi kita untuk mendengar berita pergaduhan sesama kaum di Malaysia sering tercetus dek kehilangan sikap toleransi dan isu pembuangan bayi merata tempat disebabkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Memetik kata-kata Salahuddin al-Ayubi “Jika kamu ingin menghancurkan suatu bangsa tanpa peperangan, maka jadikanlah zina dan ketelanjangan merebak di kalangan pemuda.” Maka adakah pemuda-pemudi di Malaysia bersedia untuk membentuk haluan negara jika jati diri dan sahsiah mereka tidak seperti para pahlawan pada zaman dahulu? Adakah mampu remaja kini melahirkan generasi yang lebih bertamadun jika masyarakat masih hidup dalam kemewahan dan budaya hedonisme?
Kesan negatif yang dapat dilihat dalam masyarakat ialah tahap intelektual masyarakat yang semakin merudum. Setelah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghapuskan sistem ujian penilaian sijil rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Pendidikan Malaysia menjadi terumbang-ambing oleh kerana kemasukan pelajar ke sekolah bagi tingkatan satu dan empat hilang identiti masing-masing.
Turut berserta kaedah pemilihan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak dapat ditapis bagi pelajar yang ditemuduga dek kerana penilaian pelajar hanya berdasarkan guru kelas masing-masing. Pelajar juga tidak mengetahui tahap mereka sebelum memilih aliran akademik masing-masing sama ada mereka lebih cenderung ke arah sains atau bukan sains.
Ini boleh menyebabkan mereka berputus asa dari belajar dan memilih untuk bekerja sendiri sama ada menjadi selebriti, agamawan dan ahli perniagaan. Keputusan ini akan mengurangkan jumlah pelajar yang berpotensi untuk menyambung pelajaran dalam bidang sains di universiti dan mengakibatkan kurangnya graduan jurutera, doktor dan saintis. Para graduan yang berjaya menamatkan pembelajaran juga banyak memilih untuk bekerja di luar negara atas sebab kos sara yang tinggi di Malaysia dan gaji yang berbaloi di luar.
Melihatkan aspek yang lain, ketagihan rokok dan rokok elektronik yang berjaya mempengaruh sebahagian pelajar-pelajar sekolah menengah di Malaysia menjadi satu isu berat yang patut diberi perhatian. Mereka telah cenderung untuk menghisap vape bagi melepaskan stress yang dihadapi oleh mereka di sekolah. Ini merupakan kegiatan tidak bermoral yang beleh mengganggu perbelanjaan malah pemikiran mereka apabila mula ketagihan. Tidak ketinggalan isu penyeludupan dadah di kawasan kampung secara senyap di mana pelajar-pelajar lebih bebas dan nakal sehingga ada yang terdedah untuk menghisap dadah di kawasan kelapa sawit.
Seandainya masyarakat masih hidup dalam kesenangan dan selesa dengan isu-isu berbangkit, maka dengan jelas masa hadapan negara tidak terjamin disebabkan pemuda-pemudi negara hanya menjadi beban masyarakat yang tidak boleh diharap. Apabila rakyat Malaysia melaungkan rasa tidak puas hati dengan isu kemanusiaan di Palestin, tetapi negara sendiri juga dibiarkan bermasalah dengan kegiatan sosial yang masih berlaku di hadapan mata kita. Adakah kita ingin membiarkan “sampah masyarakat” ini kekal dengan gelaran mereka atau kita sebagai rakyat yang prihatin perlu bermula dengan diri sendiri untuk menjadi insan yang terbaik. Seterusnya, kita dapat melanjutkan ke peringkat seterusnya dengan membina sistem kekeluargaan yang baik untuk diteladani masyarakat. Maka, hasilnya remaja yang dibesarkan dalam keluarga dapat menyumbang kemajuan negara.
Penulis: Khalil Danish Naufal bin Khiruddin, pelajar Perubatan di Universiti Sains Islam Malaysia.
