Tidak asing lagi bahawa Ramadan merupakan bulan yang menyaksikan jutaan manusia berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan meningkatkan ibadah seharian berbanding kebiasaan. Di kesibukan komitmen rohani ini, sebahagian besar menganggap aktiviti bersukan merupakan perkara yang kurang relevan dan tidak sesuai untuk dilakukan.
Hakikatnya, seharusnya bulan Ramadan menjadi pendorong besar untuk kita melibatkan diri dalam apa jua aktiviti bersukan. Oleh itu, artikel ini akan membahaskan kenapa sukan di bulan Ramadan adalah aktiviti yang penting dari rutin harian kita dalam bulan suci ini.
Menjaga Kesihatan Jasmani
Tidak asing lagi bahawa bersukan merupakah salah satu aktiviti bagi mengekalkan tubuh badan yang sihat. Tambahan pula, menjaga kesihatan adalah salah satu tuntutan dalam Islam. Memetik petikan hadith riwayat Abu Hurairah RA “orang mu’min yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah SWT berbanding mu’min yang lemah” riwayat muslim (2664).
Dalam konteks Ramadan, berpuasa dapat mengekalkan metabolisme badan kita, yang mana penting untuk tubuh kita supaya sentiasa aktif dan bertenaga sepanjang aktiviti harian. Dengan bersukan, ia dapat membantu untuk menguatkan otot dan fleksibiliti otot yang boleh membantu kita untuk menjalani ibadah di bulan suci ramadan ini tanpa sebarang penyakit.
Melalui aktiviti bersukan, ia akan meningkatkan kekuatan kardiovaskular dan otot jantung. Ini amat penting kerana ia akan melancarkan kita untuk melakukan aktiviti harian semasa ramadan seperti solat, membaca al-Quran ataupun melakukan kerja rumah tanpa sebarang masalah kesihatan.
Menguruskan Stres Dan Meningkatkan Kekuatan Mental
Selain menahan diri daripada makan dan minum ketika bulan Ramadan, ia juga berfokuskan dalam meningkatkan refleksi, kebersihan spiritual, dan penekanan kepada kebaikan. Dengan itu, aktiviti bersukan adalah salah satu cara yang terbaik dalam mengurangkan stres dan tekanan dalam aktiviti seharian serta meningkatkan keadaan mental yang positif.
Menurut kajian saintifik, apabila kita bersukan, tubuh kita akan merembeskan hormon endorfin ke seluruh badan. Hormon endorfin dapat memberi ‘mood’ yang baik dan memberi kita kekuatan mental yang utuh dalam menjalani ujian seharian sepanjang bulan suci Ramadan.
Dengan mempunyai rutin harian yang melibatkan aktiviti sukan, kita dapat mengurangkan rasa kelesuan atau ketidak selesaan yang datang akibat berubahnya pola makan dan tidur semasa di bulan puasa.
Membina Kebersamaan Dan Solidariti
Sukan sering menjadi asbab dan platform untuk sesebuah masyarakat atau komuniti berkumpul, sama ada atas tujuan bermain mahupun sekadar menyokong pihak tertentu. Dalam kesibukan bekerja, masa yang kita luangkan lebih berfokus kepada kerja berbanding bersosial dengan masyarakat di kejiranan.
Oleh itu, dengan bersukan kita dapat luangkan masa bersama masyarakat setempat lebih lebih lagi di kawasan kejiranan bersesuaian dengan adat melayu ketika di bulan Ramadan yang menekankan hubungan kejiranan dan solidariti masyarakat. Antara aktiviti sukan bersama yang boleh dilakukan adalah permainan bolak sepak antara jemaah masjid atau surau atau senaman bersama. Justeru, aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat menjaga tubuh badan yang sihat, malah dapat memperkuatkan ikatan dan hubungan dalam masyarakat.
Ketika melakukan aktiviti sukan bersama, secara tidak langsung ia akan menimbulkan sifat kepercayaan terhadap satu sama lain. Hal ini amat penting dalam kehidupan bermasyarakat kerana ia akan mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain.
Menyuburkan Sifat Disiplin Dan Tabah
Tidak asing lagi ketika bulan ramadan untuk diuji mengenai disiplin dan ketabahan. Hal ini melibatkan menahan diri dari godaan hawa nafsu yang timbul sepanjang siang hari. Dalam bersukan juga, ia memerlukan disiplin dan ketabahan yang tinggi. Oleh itu, dengan menggabungkan kedua-dua aspek ini, kita dapat memperkuatkan sifat-sifat ini dalam diri kita serta dapat memperkukuh keyakinan dan keteguhan hati kita untuk menghadapi ujian apa pun yang mendatang
Dengan bersukan, kita dapat mengasah kemahiran kendiri yang diperlukan untuk mengatasi cabaran seharian. Hal ini termasuk juga cara mengatur waktu dengan bijak, mengawal tenaga dengan efektif, dan menangani rasa lapar dan dahaga dengan sabar.
Tips Untuk Melibatkan Diri Dalam Aktiviti Sukan Semasa Ramadan
1) Waktu yang sesuai
Pilih waktu yang sesuai untuk jalankan aktiviti bersukan seperti sebelum sahur, sebelum berbuka atau selepas solat sunat terawih.
Kalau boleh elakkan untuk lakukan aktiviti yang terlalu keras pada waktu selepas subuh atau tengah hari kerana ia akan menyebabkan badan kita akan keletihan untuk sepanjang hari
2) Pilih aktiviti yang sesuai
Pilih aktiviti yang sesuai dengan kemampuan diri kita. Elakkan untuk melakukan aktiviti sukan yang jarang kita lakukan kerana ia akan memberi kejutan kepada badan kita dan akan menyebabkan badan kita mudah untuk mengalami kecederaan. Seeloknya, lakukan aktiviti sukan yang ringan seperti berjoging, berbasikal, ataupun yoga.
3) Makan dengan sihat
Pastikan badan kita mendapat nutrisi yang mencukupi untuk menjalani ibadah puasa dalam sehari. Dengan mengambil makanan yang berkhasiat dan bernutrisi, ia dapat mengisi kembali tenaga yang telah kita gunakan dalam aktiviti bersukan. Pastikan untuk minum air secukupnya lebih lebih lagi pada musim panas.
4) Berkongsi dengan komuniti
Cuba cari komuniti yang membantu dalam aktiviti bersukan sekurang-kurangnya seorang rakan untuk menemani sepanjang aktiviti bersukan. Hal ini dapat membantu dari segi sokongan moral kepada kita untuk teruskan aktiviti bersukan serta dapan menjadikan aktiviti sukan lebih santai
Ramadan bukanlah penghalang untuk bersukan. Sebaliknya, ia harus menjadi pendorong besar untuk melibatkan diri dalam aktiviti bersukan dan menjadikan ia sebagai rutin harian kita. Sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti bersukan mempunyai kebaikan lebih-lebih lagi ketika bulan ramadan ini. Kita dapat menjadikan ramadan kita lebih bermakna dengan aktiviti bersukan.
Bersukan bukanlah sekadar aktiviti yang melibatkan fizikal, malah ia adalah salah satu cara untuk menyelaraskan kekuatan rohani dan jasmani kita, memperkukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT serta membawa kita ke arah kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.
Penulis: Muhammad Afzan Afifi bin Marul Hairi, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
