Tidak dapat dinafikan bahawa di era globalisasi kini, teknologi maklumat dan komunikasi merupakan salah satu perkara yang tidak dapat dipinggirkan oleh semua. Jika kita lihat kini, jumlah orang yang mempunyai akses kepada teknologi adalah lebih banyak berbanding mereka yang tidak. Hal ini jelas dapat di terangkan melalui proses revolusi, dan revolusi industri 4.0 merupakan salah satu batu loncatan bagi proses tersebut.
Revolusi industri 4.0 mula dilaksanakan di Malaysia pada tahun 2011, dan jelas dapat kita lihat perkembangan dari segi penggunaan teknologi jika dibandingkan dengan 10 tahun yang lalu. Impak teknologi terhadap pembangunan negara sememangnya tidak dapat disangkal, namun adakah ianya relevan dalam konteks pendidikan? Persoalan yang timbul adalah sejauh manakah teknologi memainkan peranan dalam proses pembelajaran dan pengajaran? Adakah penggunaan teknologi menjadi seperti dikatakan potong hidung rosak muka atau harum menghilangkan bau?
Penggunaan teknologi dalam pendidikan di tahap yang lebih tinggi seperti universiti tidak dapat diragui. Hal ini kerana teknologi menawarkan akses yang luas terhadap pelbagai sumber maklumat dan kajian yang diperlukan dalam sepanjang proses pengajian mereka. Namun, adakah perkara ini teraplikasi kepada pelajar sekolah rendah? Jika dilihat dari satu sudut, mereka hanyalah kanak-kanak yang masih muda dan bersih, sebersih kain putih.
Memberikan mereka akses kepada teknologi seawal usia 7 tahun boleh dikatakan satu langkah yang bakal memakan diri pada masa akan datang. Akses kepada teknologi juga bermaksud akses kepada internet dan media sosial. Akan tetapi, kita tidak boleh mengetepikan faedah yang boleh didapati jika menggunakan teknologi dalam pendidikan di sekolah rendah.
Antara kebaikan utama jika pelajar sekolah rendah menggunakan teknologi dalam proses pembelajaran mereka adalah kerana teknologi membenarkan pengayaan pembelajaran. Penggunaan perisian, aplikasi, dan multimedia dalam pembelajaran membolehkan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik. Ini termasuk penggunaan aplikasi pembelajaran, perisian interaktif, video, animasi, dan sumber multimedia lain yang dirancang khas untuk memperbaiki proses pembelajaran.
Menggunakan teknologi-teknologi ini, pengalaman pembelajaran akan menjadi lebih interaktif dan menarik bagi pelajar. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi pembelajaran yang interaktif membolehkan pelajar terlibat secara langsung dalam aktiviti pembelajaran seperti permainan kuiz. Pelajar akan merasa lebih terlibat secara langsung dalam proses pembelajaran, dan sekali gus meningkatkan ingatan mereka terhadap subjek tersebut.
Hal ini membantu mengekalkan minat pelajar dalam pembelajaran dengan menyediakan pengalaman yang lebih menyeronokkan dan menarik. Selain itu, penggunaan multimedia seperti video dan animasi membolehkan konsep yang kompleks dijelaskan dengan cara yang lebih visual dan mudah difahami oleh pelajar. Sebagai contoh, video pendek atau animasi dapat membantu menjelaskan konsep sains atau matematik yang rumit dengan cara yang lebih mudah difahami oleh pelajar.
Dengan cara ini, penggunaan teknologi dalam pembelajaran tidak hanya memperkaya pengalaman pembelajaran tetapi juga membantu meningkatkan pemahaman konsep oleh pelajar. Hal ini kerana pelajar lebih mudah untuk memahami dan mengingati maklumat yang disampaikan melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif dan visual. Berdasarkan penerangan di atas, jelas dapat kita lihat kebaikan menggunakan teknologi kepada pelajar sekolah rendah.
Namun, seringkali perkara di atas menjadi indah khabar dari rupa. Ini kerana penggunaan teknologi bagi pelajar sekolah rendah boleh menyebabkan ketergantungan terhadap teknologi yang berlebihan, seterusnya menyebabkan ketagihan teknologi. Ketergantungan yang berlebihan terhadap teknologi dalam pembelajaran merujuk kepada situasi di mana pelajar menjadi terlalu bergantung pada penggunaan peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet, atau komputer untuk tujuan pembelajaran.
Dalam konteks ini, pelajar mungkin menghabiskan banyak masa dengan peranti elektronik tersebut untuk menjalankan aktiviti pembelajaran digital atau berkomunikasi dengan rakan sebaya. Penggunaan yang berlebihan terhadap teknologi ini boleh menyebabkan ketergantungan yang tidak sihat di kalangan pelajar. Mereka mungkin menjadi terlalu bergantung pada peranti elektronik tersebut untuk memenuhi keperluan pembelajaran mereka. Ketergantungan yang berlebihan terhadap teknologi dalam pembelajaran berkait rapat dengan konsep ketagihan teknologi.
Ketagihan teknologi boleh didefinisikan sebagai keadaan di mana seseorang menjadi sangat bergantung pada penggunaan teknologi sehingga ia mempengaruhi kehidupan harian, dan interaksi sosial. Dalam konteks pembelajaran, ketergantungan yang berlebihan terhadap teknologi boleh menjadi salah satu bentuk ketagihan teknologi.
Pelajar yang terlalu bergantung pada peranti elektronik mungkin menjadi terganggu dengan gangguan dari media sosial, permainan dalam talian, atau aplikasi yang tidak berkaitan dengan pembelajaran semasa sesi pembelajaran. Jika hal ini berlarutan, ianya dapat memberi kesan yang buruk kepada para pelajar, seperti kurangnya kemahiran sosial, dan lebih teruk masalah kesihatan mental. Telah terbukti di dalam sebuah kajian mengatakan bahawa ketagihan terhadap teknologi, di mana di dalam konteks ini gajet, boleh menyebabkan seseorang mengisolasi diri mereka, dan menyebabkan mereka untuk tidak bersosial.
Jika hal ini berterusan, individu tersebut boleh juga mengalami simptom depresi, salah satu indikasi kepada kemerosotan kesihatan mental. Dari sini, jelas dapat kita lihat tentang keburukan yang dibawa oleh teknologi terhadap pelajar sekolah rendah.
Seperti yang telah diterangkan di atas, setiap perkara mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing. Tugas kita sebagai khalifah di muka bumi untuk mengenal pasti dan menimbang kira setiap kebaikan dan keburukan oleh setiap satu perkara tersebut. Kita perlulah menjaga kanak-kanak zaman kini daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan masa depan mereka, kerana mereka merupakan generasi yang akan mentadbir negara 30 tahun akan datang. Seperti peribahasa melayu, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sudah pasti kita tidak mahu seorang pemimpin yang mengalami ketagihan gajet dan masalah kesihatan mental?
Sekiranya perkara tersebut berlaku, orang yang perlu disalahkan hanyalah diri sendiri. Pastinya, penggunaan teknologi tidak dapat dielakkan, tetapi kita boleh mengawal masa untuk memberikan pendedahan terhadap teknologi kepada kanak-kanak. Apabila pelajar sekolah rendah telah membesar dan lebih memahami tentang kebaikan dan keburukan sesuatu, semestinya mereka juga boleh menggunakan teknologi bagi kebaikan mereka.
Penulis: Sumaiyah Ramlee, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia.
