Thursday, March 28, 2024
HomeSemasaBayaran Baki BPN 2.0 Akan di Percepatkan Kerajaan

Bayaran Baki BPN 2.0 Akan di Percepatkan Kerajaan

PUTRAJAYA – Penerima Bayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) diminta bersabar kerana Kementerian Kewangan menjangkakan sekurang-kurangnya seminggu diperlukan untuk dikreditkan kepada semua akaun penerima.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, fasa kedua BPN 2.0 itu adalah membabitkan bayaran keseluruhan berjumlah RM2.38 bilion.

Beliau berkata, pihaknya akui ramai keliru mengenai bayaran BPN 2.0 yang mula disalurkan ke akaun penerima sejak 21 Januari lalu.

“Mohon bersabar kerana ia satu jumlah yang besar dan memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima.

“Saya juga ingin berkongsi bahawa bermula 21 hingga 24 Januari lalu, sebanyak 6.4 juta akaun sudah dikreditkan manakala antara 25 hingga 29 Januari ini pula, 3.8 juta akaun sedang atau akan dikreditkan.

“Selain itu, mulai 25 Januari lalu, kira-kira 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di Semenanjung Malaysia bagi penerima B40 dan M40,” katanya menerusi Laporan LAKSANA ke-38 secara maya, hari ini.

Katanya, kerajaan berharap bantuan yang dipercepatkan itu sedikit sebanyak dapat membantu aliran tunai 11.06 juta penerima bujang dan isi rumah di saat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuatkuasakan.

Dalam perkembangan lain Tengku Zafrul berkata, Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang ditambah baik menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) perlu dilihat bersama bantuan lain dan tidak patut dilihat secara berasingan.

“Ada yang mengeluh bahawa PSU 3.0 yang ditambah baik menerusi PERMAI tidak mencukupi.

“Saya ingin jelaskan bahawa peruntukan terkini bagi PSU pada 2021 ialah RM3 bilion. Dengan perluasan skop untuk semua syarikat terjejas PKP, PSU 3.0 akan menerima penambahan peruntukan RM500 juta lagi, menjadikan jumlahnya RM1.5 bilion di bawah PERMAI.

“Ini adalah penambahan kepada RM1.5 bilion yang diumumkan semasa Belanjawan 2021. Ini juga bermakna bahawa program PSU yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi 2020 dan 2021 secara keseluruhannya bernilai RM20.7 bilion,” katanya.

Katanya, selain RM3 bilion di bawah PSU 2021, kerajaan juga memperuntukkan RM3.7 bilion lagi di bawah program penjanaan pekerjaan di bawah Belanjawan 2021 yang baru dimulakan.

Katanya, ini turut merangkumi program insentif pengambilan pekerja bagi majikan dan perniagaan.

Sumber: Kosmo Online!

RELATED ARTICLES

Most Popular