Sejak institusi pendidikan dibuka, rutin menjadi agak sibuk. Dengan anak-anak yang sudah kembali ke sekolah, sarapan yang perlu disediakan awal, persediaan mengajar untuk calon-calon SPM, rasa sedikit lelah.
Jiwa juga agak kacau apabila terpaksa berdepan dengan seorang kawan yang dulunya dipanggil sahabat. Atas sebab yang tidak diketahui, nampaknya insan itu semakin menjauh. Nampak seolah tidak nampak, senyuman juga terlindung di sebalik pelitup muka.
Anehnya dengan orang lain, dia adalah dia yang saya kenali. Suaranya ramah, bicaranya terselit jenaka dan tidak lokek dengan senyuman. Begitulah dia suatu waktu dahulu bila kami bersahabat.
Kini dia akan mencari jalan untuk tidak bertembung dengan saya, jika saya ada di situ, dia akan beralih ke tempat lain. Kalau terpaksa bercakap pun, hal-hal yang penting sahaja. Seolah tidak pernah berkawan…Tersiat rasanya lubuk hati.
Saya sudah berputus asa untuk mengkaji punca dan asbab perubahan dirinya. Lalu saya pun merasionalkan diri dari perspektif diri saya sendiri. Saya tidak mahu lagi mencari alasan daripada perspekstif dirinya. Sudah penat! Saya pun mencipta senarai semak ini;
- Adakah saya sudah bertanya kepadanya mengapa dia berubah laku?
- Adakah saya sudah memohon maaf walaupun tidak tahu puncanya?
- Adakah saya tetap menegurnya dan berlagak biasa?
Untuk ketiga-tiga soalan ini, jawapannya ialah YA!
Saya teruskan senarai semak ini….
- Adakah dia satu-satunya kawan saya?
- Adakah dia terlalu penting dalam hidup saya?
- Adakah tanpanya saya tidak boleh hidup?
Untuk soalan-soalan ini, jawapannya ialah TIDAK!
Justeru, bangunlah, sedarlah, saya perlu meneruskan hidup yang Allah anugerahkan ini. Saya tidak wajar menjadikan perubahan seseorang sebagai sebab untuk saya tidak menikmati hidup. Saya masih punya kawan-kawan, sahabat-sahabat yang lebih menghargai saya, menerima saya dengan segala kelebihan dan kekurangan.
Walaupun ada kalanya jauh di sudut hati, saya masih tertanya-tanya apakah kesilapan yang telah saya lakukan sehingga ukhuwah fillah ini menjadi tawar.
Semoga jawapannya akan saya temui suatu hari nanti. Untuk J, saya selalu mendoakan yang baik-baik untuk anda dan keluarga, semoga selalu sihat, ceria, bahagia, dipayungi rahmat Allah. Aamin.