Sunday, September 25, 2022
HomeKehidupanPercaturan Hidup

Percaturan Hidup

Adakah kita mempunyai pilihan dalam hidup? Pilihan itu mungkin boleh dibuat apabila sesuatu keputusan belum dibuat.

Kemungkinan kita mahu memilih sama ada bekerja makan gaji atau bekerja sendiri? Ketika itu kita masih boleh memilih. Namun setelah keputusan diambil, mampukah kita memilih lagi? Ya, kita masih boleh memilih, sama ada untuk terus bekerja atau pun berhenti bukan?

Begitu juga seorang sahabat saya yang sekian lama hidup sendiri. Dia sudah selesa hidup begitu, sibuk bekerja dan dikelilingi anak-anak. Tidak pernah terfikir untuk mencari pasangan hidup setelah perkahwinannya berakhir dengan penceraian.

Tiba-tiba hadir seseorang yang seakan membawa sinar kegembiraan di hatinya. Hati mulai berbunga, hidup terasa ada serinya. Si dia juga berstatus pernah gagal dalam perkahwinan. Sahabat saya meminta pandangan, apakah pilihan yang dia ada?

  1. Memilih untuk menerima si dia sebagai pasangan hidup? Atau;
  2. Memilih untuk kekal berstatus sendiri?

Saya hanya mampu memberi panduan kepadanya. Apa pun dia yang akan menempuh sebuah kehidupan yang tidak pasti bila noktahnya. Tambahan episod kegagalan dalam perkahwinan amat perit untuk dikenang apa tah lagi diulang.

Namun, siapakah yang bisa melihat masa depan? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Pada saat artikel ini ditulis, sahabat saya masih belum membuat pilihan. Dia masih dalam proses pertimbangan. Saya hanya mengingatkannya bahawa jodoh itu rahsia Allah. Mintalah petunjuk dariNya.

Sebenarnya kita amat bertuah kerana memang kita akan mempunyai pilihan. Memilih untuk setuju atau tidak. Memilih untuk mahu atau tidak. Jarang sekali kita tidak ada pilihan. Selalunya kita akan berhadapan dengan tersalah membuat pilihan. Sekali pun kita tersalah pilih, kita masih boleh memilih;

  1. Keluar atau undur diri, atau;
  2. Redha dan pasrah

Konklusinya, bijaklah membuat pilihan. Semoga Allah selalu memberikan hidayahNya. Amin…

RELATED ARTICLES

Doa Ibu

Mencari Mood?

Konsep Rezeki

Most Popular