Sunday, April 28, 2024

Doa Ibu

Kasih sayang seorang ibu bagaimanakah? Jika anaknya seorang atau sepuluh orang, bagaimanakah ukuran kasih sayang itu? Sering kita dengar sayangnya ibu kepada anaknya seluas laut yang membiru, kasih ibu tak bertepi, sayang ibu sampai syurga.

Tapi ibu juga manusia biasa, insan lemah yang pastinya ada kekurangan. Ibu tidak mungkin berada di sisi anak-anaknya sepanjang masa, setiap ketika.

Dan di sinilah doa ibu memainkan peranannya. Doa ibu umpama kuasa magis yang Allah anugerahkan kepada wanita bergelar ibu. Dengan doa, segala perkara berkaitan anak-anak akan dipermudahkan, dikabulkan, Insya Allah.

Dengan doa, hati ibu menjadi tenang. Walau jasad anak jauh di mata, ibu yakin anaknya sihat sejahtera, dipelihara dari segala bahaya, sebagaimana yang dipinta oleh ibu dalam bait-bait doa kepada Ilahi sepanjang masa.

“Ya! Allah! Kurniakanlah kesihatan, kebaikan dan nikmat kepada anak-anakku. Semoga anak-anakku mendapat apa yang dicita, berjaya di dunia dan akhirat. Jadikanlah mereka anak-anak yang soleh. Amin Ya Alah”

Bagaimana pula doa yang buruk? Tergamakkah ibu mendoakan keburukan kepada anaknya? Nauzubillahi min zalik! Ada kalanya insan biasa seperti ibu terusik jiwa dengan laku si anak.

Kemungkinan anak yang baru bekerja itu jarang menelefon, bertanya khabar. Atau pun si anak tertinggi suara lantaran ibu asyik berceloteh isu yang sama. Namun tidaklah sampai hati seorang ibu mendoakan yang buruk-buruk kepada bintang hatinya itu. Percayalah…Malah ibu terus berdoa agar anaknya diberi petunjuk dan hidayah agar insaf segera.

Mampukah si anak melakukan perkara yang sama kepada ibu? Doa dari anak akan menemani ibu di alam barzakh, Roh ibu amat mendambakan doa yang ikhlas daripada anak-anaknya.

Jelas tujuan berdoa hanyalah untuk meluahkan isi hati, apa yang ingin dipohon daripada Allah. Allah Yang Maha Mendengar pasti akan memakbulkan doa seorang ibu untuk anak-anaknya.

Apa yang lebih penting, teruskan berdoa! Jangan sesekali berasa penat untuk berdoa terutamanya demi anak-anak, permata hati. Doa yang baik-baik pasti menjadi realiti. Amin ya Robbal A’lamin.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Mencari Mood?

Konsep Rezeki

Most Popular