Saturday, April 27, 2024
HomeArtikelGangguan Seksual di Malaysia: Faktor, Kesan dan Langkah Pencegahan

Gangguan Seksual di Malaysia: Faktor, Kesan dan Langkah Pencegahan

Kes gangguan seksual di Malaysia tidak asing lagi bagi rakyatnya. Hal ini kerana isu gangguan seksual ini semakin berleluasa dan lebih menyedihkan lagi apabila mangsa gangguan seksual ini bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa malah kanak-kanak yang belum cukup mengenal dunia turut menjadi mangsa.

Gangguan seksual juga boleh berlaku melalui internet contohnya menghantar gambar-gambar atau mesej yang berbaur lucah di media sosial. Akibat daripada berleluasanya gangguan seksual ini, manusia mula menormalisasikan perbuatan terkutuk ini dengan mengatakan ianya merupakan lumrah kehidupan apabila diganggu sedemikian.

Malangnya, tiada seorang pun manusia yang waras di muka bumi ini yang akan meminta kepada sesuatu yang boleh memberikan trauma dan kesan yang buruk kepada mental seseorang.

Sepanjang pandemik Covid-19 ini, media tanpa gagal melaporkan kes-kes gangguan seksual yang kian meningkat di seluruh negara Malaysia.

Pada 12 Februari 2021, Malaysia telah dikejutkan dengan satu ciapan di media sosial mengenai seorang anggota polis yang tidak beretika telah bertanyakan soalan tanpa segan dan silu kepada seorang wanita tentang pakaian dalamnya dan mengatakan jika wanita itu menunjukkan payu daranya, maka polis tersebut tidak akan menyamannya. Mujur wanita tersebut telah bertindak membuat laporan polis dan kes masih berada dalam siasatan.

Pertama sekali, bagaimanakah seorang polis yang sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan menjaga rakyat boleh memperlakukan wanita seperti itu? Keduanya, adakah pegawai polis itu tidak mempunyai rasa malu dalam dirinya dan yang terakhir tidakkah pegawai polis itu mempunyai rasa hormat kepada wanita? Jika benar pegawai tersebut bersalah, tindakan berat adalah yang sewajarnya dilakukan terhadap pegawai itu.

Apa yang paling merisaukan ketika ini adalah perbuatan segelintir rakyat yang menyalahkan mangsa. ‘Pakaian kamu tidak menutup aurat’, ‘perbuatan kamu telah mengundang pemangsa untuk melakukan gangguan seksual’ dan sebagainya.

Pakaian sering dipersalahkan dalam hal ini sedangkan Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan agama. Adalah tidak sepatutnya sekiranya pakaian dipersalahkan kerana tidak semua agama mengarahkan pengikutnya untuk menutup aurat.

Oleh itu para lelaki perlulah memelihara pandangannya dan nafsunya. Cara seseorang itu berpakaian tidak melambangkan seseorang itu meminta untuk diganggu.

Sebagai seorang manusia, menghormati antara satu sama lain merupakan nilai murni yang sepatutnya telah diterapkan dalam diri sedari kecil lagi. Perkara ini bukanlah untuk menidakkan kewajipan menutup aurat. Sesungguhnya menutup aurat merupakan sebuah kewajipan bagi setiap umat Islam di muka bumi ini.

Namun, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan mengapa seseorang itu diganggu sedangkan mengganggu secara seksual itu merupakan pilihan seseorang. Individu tersebut boleh sahaja mengabaikan dan menundukkan pandangannya dan bukannya mengambil tindakan untuk mengganggu secara seksual.

Faktor-faktor Gangguan Seksual

Monalisha Farhani dan Azizan Morshidi menyatakan dalam artikel mereka pada 2017 bahawa antara faktor terjadinya gangguan seksual ini adalah disebabkan oleh personaliti dan pemakaian si mangsa yang menyebabkan keinginan lelaki membuak-buak terhadap mangsa.

Pemilikan kuasa juga boleh menjadi punca kepada gangguan seksual. Mengikut teori organisasi pula, struktur organisasi syarikat yang biasanya menempatkan lelaki dalam kedudukan yang lebih berautoriti daripada wanita menyebabkan mereka lebih cenderung untuk menyalahgunakan kuasa mereka untuk melakukan apa sahaja terhadap pekerja bawahannya terutamanya kepada pekerja wanita mereka.

Seterusnya, faktor kepada gangguan seksual ini adalah para pemangsa tidak kira lelaki atau wanita gagal menahan diri dan nafsunya dari berbuat perkara sedemikian. Setiap insan yang bernyawa sudah pasti mempunyai nafsu yang dikurniakan oleh Tuhan maka adalah menjadi tanggungjawab manusia itu sendiri untuk menjaga nafsu agar tidak terdorong ke arah kegelapan dan kemaksiatan.

Selain itu, kebebasan internet yang menyediakan bahan lucah turut menyumbang kepada gangguan seksual. Internet pada masa kini telah terbukti ianya amat mudah diakses oleh sebarang peringkat umur. Ini boleh menyebabkan bahan lucah yang dilihat menjadi sebati dengan diri seterusnya menganggap perkara itu sebagai perkara biasa lalu mengucapkan atau melakukan perbuatan tersebut kepada orang lain tanpa menyedari perbuatan tersebut merupakan gangguan seksual.

Ibu bapa seharusnya memberi pendidikan awal kepada kanak- kanak serta mengawal kegiatan mereka agar tidak terjebak dengan bahan-bahan tontonan yang tidak sesuai dengan umur mereka.

Tambahan pula, masyarakat yang menormalisasikan gangguan seksual ini boleh menyebabkan mangsa tidak berani dan tidak yakin mendedahkan perbuatan gangguan seksual pemangsa. Ramai orang yang membuat laporan di balai polis mengenai gangguan seksual yang akhirnya dipersendakan atau dipersalahkan kembali oleh pihak polis.

Di media sosial tidak kurang juga aktiviti menormalisasikan gangguan seksual dan menyalahkan mangsa. Gangguan seksual ini tidak sepatutnya dinormalisasikan kerana mangsa boleh berasa trauma dengan sekeliling dan ini boleh mengganggu tahap kesihatan mental mereka.

Perbuatan menyalahkan mangsa juga perlu dihentikan kerana boleh menyebabkan mangsa berasa tidak yakin dengan diri sendiri. Kedua-dua isu ini sepatutnya diangkat tinggi kerana perbuatan gangguan seksual dan menyalahkan mangsa merupakan perbuatan yang amat tidak bermoral. Masyarakat kini yang sering menormalisasikan gangguan seksual ini juga tanpa sedar telah menyumbang kepada kes- kes gangguan seksual yang semakin bertambah dari hari ke hari.

Kesan Gangguan Seksual Kepada Mangsa

Portal rasmi My Health Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan kesan gangguan seksual ini kepada mangsa. Antaranya adalah secara psikologi di mana kejadian yang terjadi boleh menjatuhkan motivasi mangsa di mana contohnya mangsa tidak lagi bermotivasi dan berminat untuk melakukan sesuatu perkara termasuk dirinya sendirinya.

Mangsa juga cenderung untuk mendapat depresi yang mana boleh membawa kepada kes bunuh diri.

Dari segi emosi, mangsa berasa malu dengan masyarakat yang memandang serong kepada mereka hanya kerana masyarakat menganggap mereka sudah disentuh. Hal ini juga boleh menyumbang kepada mengapa mangsa memilih untuk berdiam diri dan tidak membuat laporan tentang gangguan seksual yang dihadapinya.

Sebagai masyarakat yang prihatin, nasib mangsa perlu dibela dan diberi perhatian serta memahami perspektif mereka sebagai mangsa gangguan seksual dengan tidak menyalahkan mangsa.

Cadangan Langkah Pencegahan Gangguan Seksual

Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil untuk membasmi kes gangguan seksual ialah dengan melaksanakan pendidikan seksual di Malaysia.

Memandangkan kes gangguan seksual ini semakin tidak terkawal dan mangsanya tidak mengenal usia, adalah penting pendidikan seksual ini diajarkan kepada kanak-kanak untuk diberikan pendedahan awal.

Walaupun pendidikan seksual ini dianggap sesuatu yang sangat sensitif oleh masyarakat di Malaysia, namun kebaikannya tidak dapat disangkal lagi. Pendidikan seksual komprehensif atau ‘comprehensive sexuality education’ ini perlu didedahkan kepada kanak-kanak agar mereka dapat membezakan di antara perlakuan yang betul atau salah. Malah pendidikan seksual ini mampu membendung masalah di masa hadapan contohnya seks rambang,

kehamilan anak luar nikah dan juga salah laku seksual terhadap kanak-kanak.

Antara perkara penting yang perlu diajarkan kepada anak-anak ialah nama bahagian sulit pada tubuh badan manusia dan mengajarkan kepada mereka bahawa bahagian sulit merupakan bahagian peribadi yang perlu dijaga sebaiknya.

Ibu bapa juga perlulah mendidik anak-anak agar tidak berahsia dengan mereka dan segera memaklumkan kepada ibu bapa sekiranya terdapat pihak lain yang melakukan perkara-perkara yang membuatkan anak-anak berasa tidak selesa dan kekok.

Selain itu, semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab bagi mengelakkan gangguan seksual ini. Para lelaki perlu menundukkan pandangan dan menjaga tingkah laku dan percakapan yang boleh membuatkan orang lain yang berada di sekeliling berasa tidak selesa.

Para wanita pula perlu berusaha menjaga diri dengan menutup aurat, elakkan daripada berkhalwat dan menjaga pandangan. Isu gangguan seksual ini boleh dielakkan sekiranya semua individu mempunyai rasa hormat yang tinggi bukan sahaja kepada orang lain, malah kepada diri sendiri juga. Manusia yang berusaha menjaga kehormatan diri ini akan lebih berhati-hati dengan apa yang dikeluarkan dari mulut dan apa yang dilakukan oleh segala tubuh badannya.

Bagaimanakah mangsa gangguan seksual boleh dapatkan bantuan?

Laman sesawang Women’s Centre for Change telah menerangkan tentang tindakan yang boleh diambil sekiranya berlakunya gangguan seksual. Jika gangguan seksual berlaku di tempat kerja, perkara tersebut boleh diadukan kepada pihak majikan agar tindakan dapat diambil dengan segera.

Sekiranya tiada sebarang tindakan yang diambil oleh majikan, mangsa boleh meminta pertolongan dari pihak luar contohnya dengan membuat aduan kepada Jabatan Buruh di negeri masing-masing, membuat laporan polis dan berkemungkinan boleh menyaman penggangu dengan memfailkan saman sivil terhadap pelaku di bawah keadaan-keadaan tertentu.

Walaupun tiada undang-undang tertentu mengenai gangguan seksual ini, namun pihak polis boleh menangani situasi gangguan seksual ini melalui beberapa kanun lain contohnya Seksyen 354 : serangan atau penggunaaan pasukan jenayah dengan niat untuk mengganggu kesopanan, Seksyen 377D : penghinaan kepada kesopanan dan Seksyen 509 : perkataan atau gerak isyarat yang bertujuan untuk menghina kesederhaan seseorang.

Dengan ini, mangsa perlulah berani untuk tampil membuat laporan polis agar pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan. Amatlah difahami sekiranya mangsa berasa takut dan malu untuk membuat laporan polis namun hanya dengan cara ini, perlakuan gangguan seksual ini dapat dihentikan dan diambil tindakan daripada terus berterusan. Semua pihak mestilah bertanggungjawab dalam membanteras gangguan seksual ini daripada terus berleluasa.

Akhir kata, kepada rakyat Malaysia, adalah penting bagi semua lapisan masyarakat untuk saling menghormati dan menjaga kehormatan diri sendiri dan orang sekeliling kerana Malaysia merupakan negara yang berbilang kaum dan agama. Diharapkan juga Malaysia dapat melaksanakan hukuman yang setimpal buat pelaku-pelaku gangguan seksual ini seterusnya membendung masalah ini daripada terus membiak.

Penulis; Siti Nurhafiza binti Abd. Majid, Pelajar tahun 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular