Harimau Malaya adalah salah satu subspesies harimau terkecil di Asia Tenggara dan juga dipilih sebagai haiwan kebangsaan di Malaysia. Harimau Malaya atau ‘Pak Belang’ yang sering digelar oleh rakyat Malaysia hidup di kawasan hutan tropikal di Semenanjung Malaysia. Harimau Malaya sering hidup bersendirian kecuali pada musim mengawan. Tidak dinafikan bahawa harimau merupakan salah satu haiwan yang kuat dan gerun di dunia. Memandangkan ia dianggap sebagai haiwan yang gerun, rakyat Malaysia memilih mereka sebagai simbol keberanian dan kegagahan di dalam Jata Negara berserta pasukan bola sepak Malaysia.
Baru-baru ini, Tabung Alam Sedunia Malaysia (WWF-Malaysia) telah memberi kenyataan bahawa terdapat kira-kira 150 ekor harimau yang masih hidup di hutan tropika. Disebabkan itu, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) telah mengesahkan bahawa Harimau Malaya dikelaskan di bawah kategori yang berpotensi untuk pupus. Oleh itu, spesies Harimau Malaya perlulah kita sebagai penduduk tempatan untuk melindunginya daripada terancam.
Harimau Malaya amatlah penting untuk kelestarian ekosistem kerana ia mempunyai peranan sebagai pemangsa dalam rantai makanan. Kekurangan bilangan harimau akan membawa kepada ekosistem yang tidak seimbang. Ekosistem amatlah penting kerana ia memberi bekalan makanan dan air kepada manusia. Sekiranya ekosistem tidak seimbang, akan berlaku gangguan pada bekalan makanan dan air.
Perkara ini amat dukacita kepada negara kerana Harimau Malaya, lambang kekuatan dan keberanian Malaysia berada di ambang kepupusan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk melindungi spesies ini daripada dihapus. Terdapat banyak perkara yang telah dilakukan oleh rakyat Malaysia sejak beberapa tahun lalu untuk memastikan spesies ini terus hidup.
Salah satu usaha yang telah dilaksanakan oleh rakyat Malaysia baru-baru ini adalah peningkatan program pembiakan teknologi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya dapat membantu untuk meningkatkan populasi Harimau Malaya. Ini telah terbukti bahawa kasih sayang dan cinta rakyat Malaysia terhadap spesies Harimau Malaya melalui usaha yang telah dilakukan oleh mereka sejak beberapa tahun lalu. Usaha ini masih berterusan sehingga ke hari ini.
Walaupun rakyat Malaysia telah berusaha sedaya upaya untuk mencari cara bagi memulihara harimau ini, spesies ini masih dalam ambang kepupusan. Sebagai rakyat Malaysia, satu-satunya perkara yang boleh kita lakukan adalah menghalang haiwan ini daripada dibunuh. Kita harus memastikan terlebih dahulu apakah punca kepupusan Harimau Malaya ini sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menyelamatkannya. Ini membawa kepada satu persoalan. Apakah penyebab kepupusan spesies ini? Adakah aktiviti manusia merupakan faktor utama membawa kepada kepupusan ini?
Aktiviti penebangan hutan berleluasa adalah salah satu punca yang amat ketara dan dipersetujui oleh orang ramai bahawa ia adalah faktor kepada kepupusan binatang sejak dahulu lagi. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hutan tropika merupakan rumah kepada Harimau Malaya. Kita sebagai manusia patut sedar memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab kita sebagai pemimpin di muka bumi ini. Tidak dapat dinafikan bahawa penebangan hutan memberi manfaat kepada orang ramai dalam beberapa aspek seperti ekonomi, namun sekiranya aktiviti ini tidak terkawal, ia akan membawa kepada kerosakan alam sekitar kerana pokok-pokok yang merupakan habitat kepada binatang liar temasuk Harimau Malaya ditebang.
Kesannya, binatang-binatang tersebut mengalami kehilangan habitat dan terpaksa dihalau daripada tempat tinggal mereka. Ini dapat dibuktikan baru-baru ini apabila telah dihebohkan dengan beberapa penampakan binatang liar termasuk Harimau Malaya berkeliaran di kawasan bandar. Disebabkan Harimau Malaya telah kehilangan tempat tinggal mereka, kadar hidup mereka semakin berbahaya kerana hutan adalah merupakan tempat perlindungan serta kawasan di mana haiwan tersebut memperoleh sumber makanan dan air.
Kekurangan makanan dan air adalah salah satu faktor mengapa spesies ini berada di risiko kepupusan. Aktiviti penebangan hutan berleluasa atau pembalakan haram juga boleh mewujudkan risiko harimau menjadi mangsa kepada pemburuan haram dan juga mangsa pembunuhan di jalan raya. Hal ini boleh berlaku kerana harimau berkemungkinan melarikan diri ke kawasan jalan raya dan mengalami kemalangan yang meragut nyawanya. Oleh itu, adalah jelas bahawa pemeliharaan hutan adalah perlu dilaksanakan untuk mengelakkan spesies ini daripada kehilangan habitatnya.
Selain itu, faktor lain yang boleh mengancam spesies harimau ini adalah pemburuan haram. Pemburuan haram adalah satu lagi elemen tang boleh menyumbang kepada kepupusan ini. Kegiatan ini memang tidak dapat dinafikan bahawa ia secara ketara boleh meletakkan nyawa harimau dalam bahaya dan menimbulkan ancaman yang lebih besar kepada populasi harimau berbanding kegiatan pembalakan haram.
Pemburuan haram merupakan aktiviti yang amat kejam kerana melibatkan aktiviti membunuh haiwan tanpa berlesen secara berleluasa. Bagaimana kegiatan pemburuan haram ini boleh berlaku? Pemerdagangan haram terhadap anggota badan hidupan liar adalah salah satu sebab mengapa kegiatan ini berlaku. Permintaan bahagian anggota badan binatang semakin banyak untuk memenuhi tujuan sendiri seperti tujuan perubatan atau aksesori.
Pemburu haram akan menyasarkan kepada haiwan yang berpotensi memberi keuntungan di pasaran. Salah satu binatang yang boleh dinyatakan adalah Harimau Malaya disebabkan ia memiliki kulit yang berkualiti untuk dijadikan sebagai aksesori. Tidak dapat dinafikan bahawa beberapa anggota badan haiwan termasuk harimau dapat memberi manfaat kepada manusia, namun ia akan membawa kepada pemburuan haram yang berleluasa disebabkan sifat manusia yang mengejar kepada keuntungan. Sekiranya kegiatan ini berterusan, spesies Harimau Malaya serta binatang lain akan berkurangan.
Kesimpulannya, disebabkan aktiviti manusia yang berleluasa, alam sekitar semakin tergugat yang menyebabkan spesies Harimau Malaya semakin terancam. Untuk memelihara bukan sahaja harimau tetapi juga spesies lain, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia untuk melakukan segala usaha untuk menghentikan penebangan hutan dan pemburuan haram yang berleluasa. Sekiranya isu ini tidak dibendung, haiwan hidupan liar, seperti Harimau Malaya, akan dianggap pupus pada masa hadapan.
Penulis: Ainul Syarafana binti Nazaruddin, Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).