Dalam menghadapi sambutan puasa ketika wabak Covid-19 dan perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada hikmah di sebalik Ramadhan tahun ini mungkin kita tidak perasan.
Tiada bazar Ramadhan, tiada Solat Tarawih di surau atau masjid bahkan juga mungkin tiada sambutan hari raya pada tahun ini.
Apakah Hikmah di sebalik Ramadhan pada tahun ini?
1) Apa Hikmah Tiada Bazar Ramadhan?
Apabila kerajaan memutuskan tiada bazar Ramadan dibenar beroperasi di seluruh negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada yang merungut “oh tak meriah la puasa tahun ini”.
Mungkin ini kali pertama berlaku dalam sejarah hidup, tiada bazar Ramadhan sebagaimana kebiasaan pada tahun-tahun lepas.
Namun hakikat di sebalik tiadanya bazar Ramadhan ini memberi peluang kepada kita untuk menghayati maksud puasa yang sebenar.
Puasa bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum dari terbit hingga terbenamnya matahari, tetapi puasa mendidik kita mengawal nafsu ketika berbuka puasa.
Tiada bazar Ramadhan dapat menjaga pahala puasa kita ketika bersesak-sesak sewaktu membeli makanan. Bahkan juga dapat memelihara mata daripada melihat perkara yang tidak sepatutnya.
Oleh itu Ramadhan kali ini adalah bulan terbaik untuk mendidik rohani, mendidik akal serta hawa nafsu.
2) Apa Hikmah Tiada Solat Tarawih di Masjid Atau Surau?
Kerajaan juga telah mengumumkan tiadanya solat tarawih di surau mahupun masjid ketika PKP. Ini bagi membendung penyebaran wabak Covid-19 di kalangan kita.
Ini adalah terbaik yang perlu digunakan untuk bersolat tarawih secara berjemaah sekeluarga di rumah. Kaum bapa berpeluang untuk menjadi imam kepada keluarga masing-masing.
Jika ada anak lelaki yang sudah besar, beri peluang kepada mereka untuk bertindak sebagai imam.
Waktu PKP ini, masa sesuai melatih anak-anak dan juga diri sendiri memperbetulkan bacaan dalam solat.
Di sini ada panduan memudahkan anda bersolat Tawarih sama ada secara sendirian dan berjemaah di rumah.
Panduan Solat Tarawih 8 dan 20 Rakaat Secara Berendirian dan Berjemaah di Rumah
3) Tiada Iktikaf di Masjid ataupun Tadarus
Mungkin salah satu kesan daripada PKP ketika bulan Ramadhan ini, kita tidak dapat memperolehi pahala iktikaf di Masjid.
Namun, kita sebenarnya berpeluang untuk merebut pahala sebanyak mungkin di rumah. Ada beberapa amalan lain yang kita boleh gantikan dengan iktikaf seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Qur’an, berzikir dan seumpamanya.
Bahkan tiada tadarus di masjid ataupun surau dapat kita gantikan dengan menubuhkan kumpulan tadarus secara online menggunakan aplikasi video ataupun whatapps.
Ia bersesuaian dengan saranan KKM untuk penjarakan sosial bagi memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia.
4) Lebih Prihatin Dengan Keadaan Sekeliling
Penguatkuasaan PKP ini juga membuka mata kita untuk bersikap lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dan tidak mengambil mudah tentang semua perkara.
Dalam suasana Ramadhan kali ini, kita dapat merasai betapa susah dan sukarnya bagi mereka yang sukar untuk mendapatkan makanan.
Ini sekaligus akan menjadikan kita prihatin dengan jiran-jiran atau masyarakat yang hidup sekadar kemampuan mereka selama ini.
Jika kita mempunyai rezeki yang lebih, ringan-ringankan tangan membantu mereka bagi menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini.
Sesungguhnya Ramadhan mendidik kita dengan penuh kasih sayang.
5) Dapat Merasai Erti Ramadhan Yang Sebenar
Perintah Kawalan Pergerakan mengajar kita untuk bersatu hati serta menghormati orang lain.
Apatah lagi dalam suasana Ramadhan musim PKP, mengajar kita untuk menzahirkan rasa hormat dan empati kepada pasukan barisan hadapan negara.
Ketika kita berpuasa di rumah bersama keluarga, mereka tetap melaksanakan tanggung jawab demi negara.
Mungkin ketika berbuka atau bersahur, mereka masih lagi menjalankan amanah yang diberikan.
Kita perlu bersyukur, walaupun kita berpuasa dalam suasana “terkurung” tetapi masih punya keluarga di sisi.
6) Tiada Sambutan Raya
Kerajaan juga mungkin akan menetapkan tiada sambutan hari raya pada tahun ini sekiranya wabak ini belum dibendung sepenuhnya.
Demi kebaikan bersama kita perlu akur dengan arahan ini. Mungkin agak sukar bagi sesetengah individu, tetapi kita sudah hampir berjaya melawan COVID-19. Jika kita ingkar sudah pasti usaha KKM dan kerajaan selama ini sia-sia.
Tahun ini tidaklah perlu membeli baju baru. Jika mahupun cukuplah sekadar satu atau dua pasang.
Gunakan duit lebih yang kita ada itu untuk simpanan atau bersedekah membantu orang lain.
Kita beraya tahun ini dengan lebih bersedekah untuk orang lain dan kurangkan pembaziran.
Begitulah hikmah di sebalik Ramadhan pada tahun ini sekiranya dapat kita hayati. Ia memberi peluang kepada kita untuk merasai erti puasa dan ibadah yang sebenar.
Waktu yang terluang d irumah dapat kita fokus fokus beribadah bersama keluarga tercinta.
Waktu yang ada memberi kita berzikir dan bersyukur dengan nikmat yang dikecapi selama ini.
Bahkan kita dapat menghayati ertikata puasa sebenar sekiranya kita memupuk diri dan keluarga ke arah ibadah yang berterusan selepas daripada bulan Ramadhan.
Semoga kita dapat menghayati hikmah di sebalik Ramadhan dan dapat menunaikan ibadah puasa pada tahun ini dengan sempurna.
Jom kita ulangkaji ringkas tentang puasa meliputi pengertian, dalil, hukum, syarat sah puasa, perkara yang membatalkan puasa dan sebagainya.
JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI