Definisi Kebersihan
Kebersihan menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud “keadaan yang bersih atau tidak kotor atau bebas daripada pencemaran”.
Merujuk kepada perkataan Greek pula “hygienos” sama seerti healthful yang bermaksud kesihatan dan kesegaran badan.
Manakala menurut ilmu tassawur bagi perkataan “نظفت” dan “طهرة” yang berasal dari bahasa Arab, perkataan asal bagi “نظفت” adalah “نظف” membawa maksud “sapu”. Apabila bertukar menjadi masdar membawa maksud lain iaitu membersihkan.
Malah “طهر” iaitu membasmi kuman dan asal perkataan bagi “طهرة” membawa maksud kesucian atau penyucian dan suci daripada najis hissi atau maknawi. Hal ini menunjukkan kedua-dua definisi ini memberi maksud seerti tentang kebersihan.
Selain itu, merujuk kepada penggunaan istilah kebersihan adalah merupakan pengurusan kebersihan diri, pemakaian, pemakanan dan persekitaran dari segala yang kekotoran sehingga oleh menimbulkan berbagai penyakit. Kebersihan juga merupakan syarat kebersihan yang mewujudkan keamanan serta keindahan yang perlu dijaga oleh setiap individu untuk menjamin kesejahteraan hidup.
Sebagai umat Islam sudah menjadi fitrah manusia dan dituntut dalam agama untuk menjaga kebersihan sebagaimana daripada Abu Malik Al-Asyari, beliau berkata, Rasulullah saw bersabda:
“الطهره شطر الامان”
Maksudnya: “kebersihan adalah sebahagian daripada Iman”
(Riwayat Muslim)
Maka hendaklah kita sebagai manusia perlu menjaga kebersihan samada kebersihan diri atau kebersihan persekitaran untuk mengelakkan diri daripada sebarang penyakit. Hal ini kerana kebersihan amatlah dituntut dalam Islam, bukan sahaja kebersihan hati nurani (mental) bahkan kebersihan luaran (fizikal). Oleh itu, marilah kita memfokuskan peri penting kebersihan ini dalam kehidupan dan dapat dipratikkan oleh seluruh umat manusia agar terhindar dari penyakit.
Kebersihan Diri
Pada masa kini, kebersihan diri merupakan perkara penting untuk seseorang. Ini kerana penularan penyakit berjangkit yang dikenali sebagai Covid-19 adalah sangat berbahaya untuk seseorang yang tidak mementingkan kebersihan.
Salah satu upaya untuk mencegah penularan Covid-19 adalah dengan mementingkan kebersihan. Antara perkara penting yang harus dilakukan rutin harian adalah mencuci tangan.
Oleh itu, Islam sangat menggalakkan umatnya untuk sentiasa menjaga kebersihan. Hal ini kerana, Allah SWT sangat menyukai hambanya yang mensucikan diri sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 222:
إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.”
Daripada ayat di atas, Rasullulah SAW juga menggalakkan para sahabat dan umatnya untuk menjaga kebersihan diri. Antaranya ialah dengan mencuci tangan. Kita mestilah mencuci tangan dengan sabun untuk menghilangkan kotoran, bakteria dan virus. Sejak dahulu, Rasullulah SAW sudah menggalakkan umatnya untuk mencuci tangan seperti apabila berwudhu, sebelum makan, selepas makan sehingga bangun daripada tidur.
Seterusnya, terdapat di dalam hadith Rasullulah SAW mengenai kebersihan diri.
Rasullulah SAW bersabda:
“Apabila salah seorang di antara kalian bangun tidur, hendaknya ia menuangkan (air) ke atas tangannya tiga kali sebelum memasukkan (tangannya) ke dalam benjana, kerana dia tidak mengetahui di mana tangannya berada (saat tidur).”
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Imam Nawawi ada menyatakan galakkan mencuci tangan ini tidak tertumpu di saat bangun tidur sahaja melainkan apabila kita meragukan sama ada terdapat najis yang melekat di tangan kita. Ketika mana kita tidur kadangkala seseorang tidak menyedari apa yang telah disentuhnya sehinggakan menggalakkan untuk membersihkan tangan terlebih dahulu sebelum memasukkan tangan ke dalam kolam yang berisi air bersih. Lebih-lebih lagi di dalam musim penyakit berjangkit seperti covid-19, kita tidak boleh melihat bakteria dan virus melalui mata kasar disebabkan itu kita mestilah sentiasa mencuci tangan agar dapat menghindari daripada segala virus, bakteria dan kotoran.
Kebersihan Persekitaran
Kebersihan yang dituntut di dalam Islam bukan sahaja memfokuskan kepada kebersihan diri bahkan kebersihan persekitaran juga turut dititikberatkan. Justeru itu, umat islam mestilah bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan persekitaran kerana ia juga dikategorikan di dalam perkara yang menzahirkan kasih sayang.
Seperti yang telah diperkatakan oleh Sheikh Muhammad bin Hasan Al-Asheikh yang merupakan anggota Dewan Ulama’ Tertinggi Arab Saudi menekankan kepentingan menyebarkan kasih sayang termasuk kepada makhluk yang berada di sekeliling kita.
Persekitaran melatari kehidupan manusia yang terdiri daripada tumbuhan, haiwan, sungai, laut, bukit dan gunung. Selain itu manusia pula terdiri daripada pelbagai bangsa serta keturunan. Kasih sayang sesama makhluk dan manusia dapat dizahirkan dengan menjaga kebersihan persekitaran seperti membuang sampah di dalam tong sampah yang disediakan dan sebagainya.
Oleh itu, di Malaysia banyak berlaku bencana alam seperti banjir, jerebu, tanah runtuh dan sebagainya. Apa yang telah berlaku ini disebabkan angkara perbuatan manusia yang sangat tidak bertanggungjawab yang hanya suka membuatkan kerosakan di atas muka bumi dan mementingkan diri semata-mata.
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Ruum ayat ke 41:
Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Daripada ayat di atas dapat disimpulkan bahawa kesemua kerosakan yang berlaku disebabkan oleh perbuatan manusia. Kerosakan yang berlaku di darat mahupun di laut akan mengakibatkan suasana persekitaran yang sudah tercemar bukan hanya kehidupan manusia sahaja yang terjejas tetapi ia juga akan merosakkan kehidupan yang berada di laut.
Oleh hal yang demikian, tidak boleh menuding jari kepada orang lain malahan salahkan diri sendiri kerana tidak mengambil berat betapa pentingnya dalam menjaga kebersihan persekitaran. Persekitaran yang bersih adalah perkara yang penting dalam amalan gaya hidup sihat. Dengan mengutamakan kebersihan persekitaran, kita akan dapat menghalang wabak penyakit yang berjangkit sekaligus dapat mengelakkan daripada terkena kepada diri sendiri mahupun ahli keluarga.
Selain itu, kita haruslah menjaga kebersihan persekitaran dari pencemaran dan kemusnahan. Oleh itu, kita haruslah berusaha menjadikan alam sekitar dalam keadaan bersih sepanjang masa. Di samping itu, kita juga haruslah mengekalkan keindahan alam sekitar kita agar negara kita tetap menjadi menarik di mata pelancong asing.
Yang terakhir, semua lapisan masyarakat haruslah bekerjasama dan saling bantu- membantu dalam semua aspek. Ini kerana, kita haruslah memelihara alam sekitar supaya kebersihan alam sekitar dapat ditingkatkan dalam kehidupan kita. Persekitaran yang bersih menjamin kehidupan yang sihat, harmoni dan lebih sejahtera.
Kepentingan Menjaga Kebersihan
Dalam keadaan sedar atau tidak, kita telah menuju kepada pembangunan yang semakin maju tetapi disebalik kemajuan itu kita seringkali mendengar pelbagai masalah kesihatan dan penyakit berjangkit yang turut meningkat dalam kalangan masyarakat.
Keadaan ini boleh dikurangkan dengan sentiasa menjaga kebersihan diri kerana ia merupakan salah satu perkara penting untuk meningkatkan produktiviti kehidupan seseorang. Apabila kita menjaga kebersihan diri, secara automatiknya kesihatan kita juga turut terjaga dengan mempunyai kesihatan yang baik membolehkan kita untuk melakukan kerja-kerja dalam keadaan yang selesa.
Kepentingan menjaga kebersihan diri sangat dituntut dalam agama Islam antara asbab kebersihan itu penting ialah untuk kesihatan pada tubuh badan kerana kebersihan diri merupakan kunci kepada kesihatan diri.
Jika seseorang tidak menjaga kebersihan diri sudah tentu akan mudah terdedah dengan pelbagai penyakit yang berbahaya semuanya berpunca daripada diri sendiri kerana telah mengabaikan kebersihan diri. Perlu disedari bahawa pengabaian kebersihan mengakibatkan pelbagai penyakit berjangkit seperti denggi, kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan sebagainya. Oleh itu, kita perlu menitikberatkan dan bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan agar dapat membendung segala penyakit berjangkit daripada terus menghampiri diri kita.
Selain itu, kebersihan ini tidak tertumpu kepada kebersihan diri semata-mata bahkan ia juga berkait rapat dengan persekitaran. Oleh itu, kita juga mestilah menjaga alam sekitar daripada tercemar kerana persekitaran juga penting untuk manusia terutamanya terhadap sistem pernafasan kita.
Apabila wujudnya persekitaran yang bersih, membolehkan kita untuk menghirup udara yang segar kerana udara yang bersih dan segar ia amat penting untuk kesihatan. Kawasan yang bersih selalunya dipenuhi dengan tumbuhan yang menghijau dan tumbuh-tumbuhan akan membebaskan oksigen ke udara dan mempengaruhi tubuh badan untuk mendapatkan bekalan oksigen yang mencukupi.
Justru itu, menjaga persekitaran merupakan perkara yang penting lebih-lebih lagi untuk flora dan fauna kerana kebersihan alam sekitar akan menjamin keseimbangan ekosistem. Ekosistem yang terpelihara daripada sifat tamak manusia akan membantu untuk menjamin sumber air agar tidak tercemar.
Tanpa pemusnahan hutan, ia akan berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan kerana dengan adanya hutan-hutan ini secara tidak langsung membantu untuk menakung air hujan secara semula jadi dalam kuantiti yang besar. Hutan yang dilengkapi dengan flora dan fauna menyebabkan air hujan yang turun dapat disalurkan dengan baik ke sungai. Oleh itu, ini dapat menjamin bekalan air yang mencukupi bagi kegunaan industri.
Kemunculan Penyakit Berjangkit
Penyakit berjangkit menurut Kamus Dewan Edisi Kedua adalah sesuatu yang merebak atau berpindah ke benda lain, menyerang orang lain ataupun penyakit yang mudah merebak dengan cepat, ia juga dikenali sebagai penyakit boleh pindah. Sebagai contoh seperti yang melanda dunia kita pada hari ini iaitu Virus Corona atau Covid-19. Namun sebelum muncul virus ini ada juga penyakit berjangkit yang pernah melanda dunia, seperti H1N1, penyakit anjing gila dan sebagainya. Hal ini telahpun disebut oleh Nabi bahawa pada akhir zaman akan muncul penyebaran wabak dalam kalangan umat manusia.
Berdasarkan penerangan di atas, kita dapat melihat bukti kekuasaan Allah dengan tersebar pelbagai penyakit yang berpunca daripada tangan-tangan manusia yang membuat kerosakan di atas muka bumi yang terjadi kerana segelintir daripada kita yang ingkar dengan panduan yang ditetapkan oleh Allah swt.
Firman Allah swt dalam surah Ar-Rum ayat 41:
Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dari bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ayat di atas menerangkan bahawa apa yang terjadi di muka bumi ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia yang mendiaminya iaitu melakukan kerosakan seperti membuang sampah di tempat awam, membuat pembakaran terbuka, mementingkan diri sendiri dalam perihal menjaga kebersihan dan sebagainya yang boleh mengakibatkan banyak kerosakan di muka bumi. Oleh itu, ia sebagai pengajaran kepada umat manusia yang enggan mengikut perintah Allah swt.
Walau bagaimanapun, perkara yang ingin kita fokuskan adalah bagaimana penyakit berjangkit ini muncul.
Penyakit ini muncul adalah kerana wujud golongan yang tidak mengambil berat tentang kebersihan iaitu kebersihan alam sekitar, tempat makan dan sebagainya. Akibat memandang remeh terhadap kebersihan sekeliling, maka kita mudah terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit.
Kesan Tidak Menjaga Kebersihan
1) Kesan Kepada Kesihatan
Antara faktor utama yang mendorong tahap kesihatan seseorang itu rendah adalah disebabkan keadaan persekitaran sama ada sihat atau sebaliknya.
Persekitaran yang sihat bermaksud persekitaran yang bebas daripada unsur-unsur yang membahayakan kesihatan iaitu binatang dan serangga pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk, lalat dan lipas, selain itu unsur-unsur yang boleh mencemarkan air, makanan udara dan tanah juga membahayakan kesihatan.
Seterusnya, gaya hidup yang buruk juga menjadi faktor tahap kehidupan individu itu tidak sihat contohnya, merokok, ketagihan dadah, arak dan tidak mencuci tangan sebelum makan.
Oleh itu, Allah mengharamkan makanan terbabit untuk kebaikan dan kesihatan manusia itu sendiri.
Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 219:
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammmad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: pada kedua-duanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat kepada manusia tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripad manfaatnya.”
Ayat tersebut menerangkan bahawa segala perkara terkandung dalam tegahan itu ialah perkara yan menjadi punca bagi penyebaran penyakit khususnya dalam masyarakat yang mengabaikannya dalam kehidupan harian.
2) Kesan Kepada Ekonomi
Manakala bagi ekonomi pula, jika setiap individu mengabaikan kebersihan, maka ia akan menjejaskan kepada kemerosotan ekonomi negara ini kerana apabila bertambah jumlah manusia yang terkena penyakit maka kos langsung yang ditanggung oleh kerajaan ialah mengeluarkan peruntukan perbelanjaan untuk menyediakan infrastruktur dan ubat- ubatan. Kesemua ini telah mengurangkan kesejahteraan hidup. Justru itu, jelaslah disini bahawa penjagaan kebersihan dan mengelakkan daripada pembaziran merupakan elemen yang penting untuk menstabilkan ekonomi.
Firman Allah dalam surah al-Furqan ayat 67:
Maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian”
Ayat di atas, menerangkan tentang larangan berlebihan dalam menguruskan ekonomi dan bukan melakukan pembaziran sehingga mengakibatkan kemerosotan ekonomi. Namun jika manusia mempunyai sikap pembaziran sudah pasti keperluan untuk diri sendiri sukar dipenuhi dan memberi impak negatif pada kehidupan manusia.
Kepentingan Menjaga Kebersihan
1) Kepentingan Kepada Kesihatan
Dengan menjaga kebersihan, kesihatan kita akan terjamin dan tidak mudah terjebak dengan pelbagai penyakit malahan dapat mengelakkan penyakit merebak terhadap orang lain.
Hal ini, untuk memastikan kesihatan tubuh badan sentiasa terjamin kita perlulah memastikan keadaan sekeliling bersih khususnya dalam penyediaan makanan dan tempat tinggal. Selain itu, kebersihan juga akan membentuk otak yang cergas dan badan yang sihat.
2) Kepentingan Kepada Ekonomi
Jika semua daripada kita bekerjasama dan menitik beratkan tentang menjaga kebersihan dan kesihatan, maka ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan dan kestabilan ekonomi negara.
Maksudnya, apabila setiap individu mengamalkan gaya hidup yang sihat, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital akan berkurang, sekaligus kerajaan tidak perlu mengeluarkan peruntukan yang banyak bagi kos merawat pesakit.
Selain itu, kos sara hidup bagi individu juga akan lebih jimat dan teratur serta dapat digunakan untuk perkara yang berfaedah. Oleh itu, tidak berlakulah kes pengangguran akibat kekurangan sumber ekonomi. Maka, dapat ditegaskan lagi bahawa menjaga kebersihan dapat membantu sesebuah negara untuk lebih maju.
Hikmah dan Iktibar
Berdasarkan huraian di atas, dapatlah kita mengambil iktibar bahawa betapa pentingnya untuk kita menjaga kebersihan dalam pelbagai aspek. Sebelum itu, perlunya untuk kita meningkatkan kesedaran dalam diri setiap individu tentang kepentingannya dan risiko jika tidak menjaga kebersihan.
Tambahan pula, dengan keadaan dunia kita pada hari ini dalam usaha membasmi pandemik Corona Virus ini, perlulah kita bekerjasama antara satu sama lain.
Manakala, hikmah yang dapat diperoleh daripada menjaga kebersihan adalah seseorang itu akan cergas jasmani dan rohani, hidup selesa dan harmoni jika persekitaran yang bersih, serta dapat meningkatkan ekonomi.
Artikel ini ditulis bersama oleh:
Nurul Farra Izaty Binti Abdullah, Farah Nurainie Binti Zamrit, Nor Ain Nabilah Binti Rozi Dan Masliyana Binti Shaari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) |
HANTAR ARTIKEL Sekiranya anda berminat untuk menjadi penulis di laman web ini, klik sini untuk maklumat selanjutnya.
Artikel lain yang Berkaitan: