Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikelTaat Kepada Pemimpin Menurut Al-Quran

Taat Kepada Pemimpin Menurut Al-Quran

Peningkatan wabak coronavirus (Covid-19) secara mendadak yang melanda negara Malaysia baru-baru ini telah menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat jelata. Saban hari bilangan kes yang positif bertambah secara mendadak ini bukan sahaja merisaukan masyarakat, malah dikalangan pemimpin turut menerima tempiasnya.

Media massa dan laman sesawang setiap hari konsisten mengeluarkan berita terkini tentang wabak yang melanda ini bagaikan tiada noktah penghujungnya. Maka bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa, masyarakat perlulah berganding bahu dan berkerjasama dengan mematuhi dan mentaati arahan yang telah dikeluarkan oleh pemimpin seperti mematuhi “SOP” dan menjaga “Penjarakan Sosial”. 

Tuntasnya, menjadi tanggungjawab masyarakat untuk perlulah taat kepada pemimpin dengan mematuhi segala arahan yang dikeluarkannya supaya wabak ini dapat dikawal selagimana arahan tersebut tidak bertentangan dengan perintah ALLAH SWT.

Penjarakan fizikal antara senjata ampuh kekang COVID-19

Arahan taat ini sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah An-Nisa’, ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada ALLAH dan taatlah kepada Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu.” Selain itu, dalam Hadis Nabi, Rasulullah s.aw. bersabda yang bermaksud: “Mendengar dan mentaati pemerintah adalah wajib bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidaklah wajib dia mendengar dan mentaati”. 

Perkataan al-ta’ah adalah kata terbitan (Masdar) dari kata perbuatan ta’a yang diertikan sebagai inqada yang bermaksud tunduk, patuh, mudah mengikut dan kepatuhan. Secara umumnya, ta’a bagi sesuatu benda bermaksud mudah dibentuk, boleh diambil manfaat daripadanya, digunakan dan tidak terhalang melakukan sesuatu terhadapnya.

Manakala pemimpin pula menurut Kamus Dewan, bermaksud orang yang memimpin, membimbing, meruntun, mengepalai dan melatih. Dalam Bahasa Arab pemimpin boleh dipanggil khalifah, imam, qa’id, ra’i, rais dan sayyid.

Berdasarkan pandangan Islam pula pemimpin bermaksud orang yang dipertanggungjawabkan dengan urusan umat Islam secara umum seperti khalifah, ketua tentera, kadi, Menteri dan lain-lain orang yang bertanggungjawab dalam pengurusan negara Islam. Mereka diberikan tugas untuk mengurus dan memimpin oleh umat Islam yang memberikan kepercayaan kepada mereka agar dapat membimbing dan memimpin umat Islam. 

Namun, ketaatan pada pemimpin ini atas beberapa faktor. Seorang pemimpin juga perlulah memainkan peranannya dan mempunyai ciri-ciri yang patut ditaati oleh masyarakat. Antara ciri pemimpin yang perlu ditaati ialah pemimpin yang mempunyai daya kekuatan dan daya tahan fizikal dan mental.

Hal ini kerana seorang pemimpin perlu mempunyai kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi pelbagai situasi dan perlulah bijak dalam menyelesaikan sesuatu isu. Dengan keadaan yang melanda negara pada waktu ini para pemimpin perlulah menjadi contoh dan hero yang utama kepada masyarakat dalam membendung wabak ini.

Bagi orang ramai pula amat penting untuk mentaati kepada segala arahan pemimpin kerana ketaatan kepada pemimpin dapat menjamin keamanan negara. Apabila masyarakat bersatu padu dan mengikut segala arahan daripada pemimpin sudah pasti dapat memberi kebaikan dan mengekalkan keamanan negara. 

Sebagaimana kisah nabi Nuh a.s yang menyeru kaumnya untuk beriman kepada ALLAH SWT, namun ditolak dan ditentang oleh kaumnya sehingga ALLAH SWT menurunkan bala kepada mereka.

ALLAH SWT telah mengutuskan nabi Nuh a.s kepada kaumnya supaya memberi peringatan dan amaran kepada mereka supaya beriman kepada ALLAH SWT. Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah Nuh ayat ke 2 yang bermaksud: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku diutuskan kepada kamu sebagai pemberi peringatan dan amaran yang nyata”.

Selain itu, nabi Nuh a.s turut menyeru kaumnya supaya beriman dan bertaqwa kepada ALLAH SWT dan mentaati kepada nya yang diutuskan oleh ALLAH SWT. Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah Nuh ayat ke 3 yang bermaksud: “Sembahlah kamu kepada ALLAH SWT dan bertaqwalah kepada-Nya serta taatlah kamu kepadaku”. Namun begitu, tidak lebih dari 80 orang yang beriman dan menyahut seruan baginda setelah 950 tahun baginda berdakwah.

Hal ini telah menyebabkan ALLAH SWT telah menurunkan banjir yang besar sehingga tenggelamkan mereka yang tidak beriman dan patuh kepada nabi Nuh a.s.

Berdasarkan kisah nabi Nuh a.s. dan kaumnya dapatlah masyarakat mengambil ibrah dan pengajaran supaya taat dan patuh kepada arahan pemimpin yang mengajak kepada kebaikan dan keharmonian supaya masyarakat hidup aman damai dan bersatu padu.

Oleh itu, dalam mengharungi wabak coronavirus (Covid-19) marilah sama-sama kita berganding bahu dan bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama dan pangkat untuk memutuskan rangkaian Covid-19 ini dan tidak berputus asa untuk menghilangkan virus ini. Semoga negara kita yang tercinta ini dapat pulih kembali seperti sediakala.

Artikel ini ditulis bersama oleh:

Nurul ‘Izzah Abdullah, Muniroh Abdul Latef, Siti Nor Atirah Salleh,   Siti Khadijah Mahidan

HANTAR ARTIKEL

Sekiranya anda berminat untuk 
menjadi penulis di laman web 
ini, klik sini untuk maklumat 
selanjutnya.

Artikel lain yang berkaitan


Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

    

RELATED ARTICLES

Most Popular