Sejarah Sarawak dipenuhi dengan kisah yang kaya dan memikat, yang mencerminkan warisan budaya yang beragam dan beraneka ragam suku bangsa yang telah menyumbangkan keunikan kepada identiti negeri ini. Salah satu cerita yang menonjol adalah legenda keturunan Abang dan Awang, yang telah membentuk sebahagian besar landskap sosial dan politik Sarawak selama berabad-abad.
Kisahnya bermula daripada kisah seorang individu yang bernama Raja Umar atau lebih dikenali sebagai Dato’ Godam. Beliau merupakan salah seorang daripada kerabat diraja yang berasal dari Pagaruyung, Minangkabau, Indonesia. Ayahnya, Bendahara Harun merupakan seorang yang memegang jawatan Bendahara dan berkahwin dengan anak seorang Residen Belanda di Padang pada waktu itu iaitu anak kepada Jan Van Groenewegen.
Dijadikan cerita, Dato Godam membawa diri keluar dari perkampungannya itu disebabkan oleh perasaan kecewa beliau kerana tidak dapat mewarisi ayahnya, Bendahara Harun untuk menjadi bendahara selepas Bendahara Harun meninggal dunia.
Dato Godam, sejak usia kecil lagi, telah dipersiapkan sebagai calon pengganti ayahnya untuk menjadi Bendahara. Namun, pandangan negatif dari masyarakat Minangkabau yang sangat berpegang teguh kepada adat, membuatnya berasa dihina. Ini kerana ibu kepada Dato Godam merupakan orang Belanda dan ini menyebabkan masyarakat Minangkabau menganggap beliau bukan putera asli Minangkabau.
Meskipun layak untuk menggantikan ayahnya, persepsi negatif ini membuatnya merasa tidak bahagia. Ini mendorongnya untuk “melarikan diri” ke salah sebuah daerah di Sarawak iaitu daerah Saribas. Tindakan beliau melarikan diri itu merupakan suatu keputusan yang membuat hati ayahnya bersedih, bahkan sampai mengirim rombongan untuk mencarinya.
Setibanya beliau di Sarawak, Dato Godam bertemu dengan seorang lelaki yang bernama Pangeran Tumenggung Pangeran Abdul Kadir, yang juga merupakan seorang bangsawan kesultanan Brunei. Pangeran Tumenggung Pangeran Abdul Kadir juga melarikan diri ke Sarawak karena kecewa anak perempuannya dipinang oleh Sultan Brunei, Sultan Nasruddin, untuk dijadikan isteri ketiga.
Kedua-duanya merasa sepenanggungan dan Dato Godam akhirnya menerima ajakan Pangeran Tumenggung Pangeran Abdul Kadir untuk pergi ke Brunei bagi menebus anak perempuannya daripada genggaman Sultan Nasruddin.
Dengan keperibadian bijaksana, terdidik, dan pengetahuan yang tinggi, Dato Godam segera dikenali di Brunei. Sultan Nasruddin menyambutnya dengan baik karena melihat kemampuannya dalam pemerintahan. Sultan Brunei meminta Dato Godam untuk menetap di Brunei dan menikah.
Oleh kerana rasa terhutang budi Sultan Nasruddin terhadap Dato Godam, baginda berhajat untuk menunaikan apa sahaja permintaannya. Dato Godam menyatakan keinginannya untuk menikahi anak Pangeran Tumenggong Pangeran Abdul Kadir iaitu Tandang Sari yang menjadi isteri ketiga Sultan.
Permintaan ini dikabulkan oleh Sultan Nasruddin dan hasil daripada pernikahan tersebut, Dato Godam memiliki dua orang anak, Manteri Uban (Dato Bandar Abdul Rahman) dan Manteri Puteh (Dato Said). Dato Godam membuktikan kecekapannya dengan menyelesaikan berbagai masalah di Brunei, serta mendapat dukungan daripada Sultan.
Atas permintaan ayahnya, Dato Godam kemudian berniat meninggalkan Brunei untuk kembali ke Minangkabau dengan membawa anaknya, Manteri Uban. Sultan Nasruddin memberi izin dengan syarat agar anak keduanya, Manteri Puteh, tetap tinggal di Brunei untuk mengawasi pemerintahan.
Sultan Nasruddin berjanji untuk memberikan keistimewaan kepada keturunan Dato Godam sebagai bangsawan, seperti di Minangkabau. Keturunan ini kemudian dikenal sebagai ‘Awang’ dan dihormati sebagai pemimpin negara turun temurun di Brunei. Dari Brunei, Dato Godam singgah di Sarawak untuk menemui mertuanya, Pengiran Temenggong Pengiran Abdul Kadir. Namun, setelah kematian sang mertua, Dato Godam memutuskan untuk menetap di Pusa, Sarawak, dan meninggal di sana.
Makamnya, bersama dengan makam mertuanya, terletak dekat Sungai Telit, sementara batu nisan Tandang Sari terdapat tidak jauh dari sana. Meskipun Manteri Uban pernah ke Minangkabau, ia memilih untuk tinggal di Sarawak setelah kematian Dato Godam. Dari keturunan Manteri Ubanlah bermulanya penyebaran keturunan ‘Abang’ di Negeri Sarawak.
Penulis: Aina Mardhiyah binti Kamalluddin, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

