Friday, March 28, 2025
HomeKehidupanMARAH SAYANG

MARAH SAYANG

Perasaan marah atau perbuatan marah mungkin berbeza mengikut situasi. Kadang-kadang marah itu menjadi kata kerja atau pun kata adjektif. Marah juga bergantung kepada subjek dan objek yang menjadi fokus.

Saya ingin berkongsi perihal ibu yang sinonim dengan sikap marah kepada anak-anaknya. Sebelum marah, pasti ibu akan menegur terlebih dahulu. Teguran ini bukan hanya sekali, malah mungkin mencecah beribu-ribu kali.

Kiraan ini belum lagi tepat jika teguran itu dibuat hari-hari. Percayalah seorang ibu boleh menegur kesilapan anaknya sejak dari sekecil tapak kaki dua jari sehinggalah anak itu telah meningkat dewasa. Adakah perlakuan ini menggambarkan seorang ibu bersikap pemarah?

Saya sendiri ada pengalaman itu. Dari kecil, mak akan menegur pelbagai hal. “Kalau orang tua bercakap, jangan dok menyampuk”, kata ibu. Oleh itu, jika ada tetamu yang datang ke rumah, setelah menghidangkan air, saya dan adik-adik akan turun ke halaman rumah atau pergi ke tempat lain supaya perbualan mak dengan tetamu itu tidak dapat didengar.

Atau pun mak berpesan ketika menghantar saya naik bas pulang ke asrama, “Duit simpan elok-elok, belanja yang penting sahaja.” Ada kala saya terfikir tidak penatkah mak bercakap perkara yang sama? Saya sudah lali mendengar pesanan itu.

Begitulah mak, masih nalurinya seorang ibu yang akan menegur, berpesan dan kadang kala dengan nada yang agak tinggi, mak marah bila teguran yang dibuat tidak diendahkan. Misalnya, ada sekali saya kehilangan duit di asrama, mak dengan muka yang garang, berkata dengan keras, “kan mak dah pesan jaga duit elok-elok, kakak tak ikut cakap mak la tu!”. Dan selepas itu saya lebih berhati-hati menyimpan duit.

Itulah sebenarnya teguran, nasihat, pesanan dan marah seorang ibu. Hanya mahu anaknya menjadi orang yang lebih baik. Tidak melakukan kesilapan yang mungkin akan dikesali. Sayangnya anak-anak tidak pernah mahu mengambil iktibar daripada sikap ibu ini. Si anak akan mengatakan ibunya sengaja mencari alasan, sudah tidak menyayanginya, pilih kasih atau mencari tempat untuk melepaskan tekanan.

Mungkin ada juga kebenaran bahawa segelintir ibu marah tanpa usul periksa, memukul malah mendera anak sendiri. Saya tidak sanggup membayangkan hal itu. Darah daging yang dikandung sembilan bulan, sepuluh hari, ditatang bagai minyak yang penuh diperlakukan dengan kejam. Sedangkan seekor kucing pun tahu menyayangi anaknya!

Wahai mak, ibu, mama, ummi atau apa sahaja panggilannya, sayang, kasih, tegur dan marah lah permata hati kita dengan berhemah. Sertai dengan doa-doa yang baik.

Wahai anak, ibumu tegur dan marah demi kebaikan, demi hidupmu yang masih panjang. Terimalah teguran ibu dan berlapang dada . Ibu menegur kerana dia amat sayang dan kasih padamu,

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular