Friday, March 29, 2024
HomeKoleksi Pantun25 Pantun Rindu Klasik Yang Sangat Sweet Buat Kekasih

25 Pantun Rindu Klasik Yang Sangat Sweet Buat Kekasih

Pantun rindu klasik merupakan luahan perasaan yang boleh didapati dalam himpunan pantun seperti dalam buku “Kurik Kundi Merah Saga”. 

Ia merupakan luahan perasaan yang dihimpunkan dalam bentuk pantun yang sangat unik oleh masyarakat Melayu lama. 

Kebanyakkan pantun rindu klasik ini jarang lagi dituturkan oleh masyarakat kini disebabkan pelbagai faktor seperti perubahan zaman dan sebagainya. 

Namun begitu, masyarakat hari ini wajar mengenali bait-bait pantun rindu klasik sebagai salah satu warisan bangsa Melayu yang mempunyai nilai estetika yang tinggi. 

Burung serindit di dalam perahu, 
Bunga bayam di dalam dulang; 
Hati adik merasa rindu, 
Kerana berjauhan dengan abang.
Anak cina menjual kesuma, 
Mari menjual di Pekan Rabu; 
Makan tak lalu tidur tak lena, 
Teringat abang sepanjang waktu. 
Buah kemuning setangkai lebat, 
Mari diperam dalam panggung; 
Sakit dan pening dapat diubat, 
Rindu dendam siapa nak tanggung.  
Sayang-sayang buah ketapang, 
Masak sebiji di hujung dahan; 
Hatiku rindu tidak tertahan, 
Tak pandang sehari rasa sebulan.
Limau manis merah masaknya, 
Terlindung pula di balik dahan;
Sungguh manis nampak wajahnya, 
Tak nampak sehari rasa sebulan. 
Beli pauh beli serbat, 
Makan bersama gula batu;
Kalau jauh apa nak buat, 
Sama-sama menanggung rindu. 
Berderai pandan digolak, 
Buluh belang pengganti pintu;
Bercerai badan kelak, 
Bulan terang janganlah rindu. 
Beribu biji nangku, 
Cincin permata jatuh ke ruang; 
Kalau rindu sebut namaku, 
Air mata jangan dibuang.
Di batang buruk sarang tekukur, 
Tempat bersarang semut api;
Saya di sini rindu tak tidur, 
Kerana tuan saya ingati. 
Hanyut rakit dari hulu, 
Mati pelanduk di tanduk rusa;
Alangkah sakit menanggung rindu, 
Orang tidak menimbang rasa.
Jangan suka mengayam nyiru, 
Nyiru dibawa dari Buncit;
Jangan suka menanggung rindu, 
Rindu bawa jadi penyakit. 
Kiri jalan, kanan jalan, 
Sama tengah pohon mengkudu; 
Kirim jangan pesan pun jangan,
Sama-sama menanggung rindu. 
Limau purut jatuh ke pangkal, 
Sayang selasih condong ke barat;
Hujan ribut dapat kutangkal, 
Hati rindu apa nak buat. 
Mudim beralun kelung ditahan, 
Bemban hanyut dengan uratnya; 
Perut lapar lalu ku tahan, 
Hati rindu tiada ubatnya. 
Naik bukit maraut nibung, 
Buat perangkap musang jebat;
Penyakit lain boleh ditanggung, 
Penyakit rindu tak ada ubat. 
Pokok pinang condong ke barat, 
Ambil batang dibuat titi; 
Kalau rindu tulislah surat, 
Abang di sini sedia menanti. 
Pucuk paku buah pauh, 
Mari jual di Simpang Empat;
Jangan dirindukan orang yang jauh,
Carilah gantinya orang yang dekat.
Pucuk paku ulam pun pauh, 
Tidakkah ngilu rasanya gigi; 
Adik jauh abang pun jauh, 
Tidakkah rindu rasanya hati.
Pulau Pinang laut keliling, 
Beli baju dari Barat;
Sirih pinang boleh kukirim, 
Hati rindu apa ubat. 
Raden Inu memangku puan, 
Puan dipangku cincin suasa;
Hatiku rindu kepada tuan, 
Hendak kupesan tiada siapa. 
Sapu tangan tepi berkelim, 
Jahit baju benang berombak;
Sirih pinang dapat di kirim, 
Rindu dendam siapa nak bawak. 
Tebing tinggi pangkalan ikan, 
Anak cina menjual telur;
Adik di sini rindu tak makan, 
Abang di sana rindu tak tidur. 
Teluk Jati melambung pukat, 
Buluh perindu tidak berdahan; 
Buah hati marilah dekat, 
Rindu abang tidak tertahan. 
Timun rendang di pintu kandang, 
Batang bayam saya tumiskan; 
Rindu siang bawa bertandang, 
Rindu malam saya tangiskan. 
Alang-alang bawa ke kandang, 
Daun bayam disayur manis; 
Rindu siang bawa bertandang, 
Rindu malam bawa menangis. 

Semoga pantun rindu klasik ini dapat dihayati dan dimanfaatkan oleh kita bersama. 


Baca juga pantun cinta kasih orang melayu melayu dulu-dulu yang sangat romantik ini.


Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular