Friday, March 28, 2025
HomeKoleksi PantunKoleksi Pantun Merdeka dan Hari Kebangsaan 2022

Koleksi Pantun Merdeka dan Hari Kebangsaan 2022

Pantun merdeka dan pantun hari kebangsaan sering diungkapkan sebagai simbol perpaduan dan patriotisme rakyat Malaysia.

Setiap tahun, sambutan hari kemerdekaan tanah air diraikan dengan pelbagai cara. Antara tradisi yang tidak boleh dilupakan adalah dengan mengungkapkan pantun sebagai salah satu cara menggambarkan kecintaan kepada negara.

Pada tahun 2022 ini, suasana negara menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-65 kembali meriah setelah 2 tahun kita tidak dapat meraikan disebabkan Pandemik Covid-19.

Oleh itu, pantun merdeka dan pantun hari kebangsaan yang kami ungkapkan di sini sebagai inspirasi kepada anda untuk zahirkan rasa patriotik kepada negara. Merdeka!!! Merdeka!!! Merdeka!!!

Pantun Merdeka Tanah Melayu

Sungguh enak buah Melaka,
Dimasak oleh Puan Azizah;
31 Ogos kita Merdeka,
Bebas dari cengkaman penjajah.
Malayan Union mengundur diri,
Dari Persekutuan Tanah Melayu;
Berkat usaha perjuangan harmoni,
Bersatu hati untuk tanah airku.
Laungan merdeka suara keramat, 
Ribuan hadir pelbagai bangsa;
Malaysia kini negara berdaulat,
Semangat berjuang penuh perkasa.
Bersatu hati menunggu merdeka,
Rakyat menunggu dengan sabar,
Waktu dinanti sudahlah tiba,
Bendera Malaysia megah berkibar.
Laungan keramat di Stadium Merdeka 
Berhimpun rakyat pelbagai bangsa,
Negara kita sudah merdeka, 
Jasa pemimpin jangan dilupa.
Tingginya sabar rakyat Malaya,
Menanti waktu  sangat bererti,
Akhirnya kita sudah berjaya, 
Cengkaman penjajah tiada lagi. 
Laungan Merdeka oleh Pak Ungku,
Bendera Malaysia berkibar megah, 
Malaysia merdeka tanah air ku, 
Terus cemerlang berjuang gagah. 
Beratus tahun negara dijajah, 
Portugis Belanda Inggeris dan Jepun,
Kini Malaysia berdiri megah, 
Pelbagai langkah telah disusun.
65 tahun telah berlalu, 
Negara kita mencapai merdeka, 
Rakyat Malaysia berganding bahu,     
Menjaga keharmonian negara tercinta.

Pantun Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-65 Tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama

Keluarga Malaysia Teguh Bersama,
Tema Rasmi Hari Kebangsaan;
Ayuh kita bersama-sama, 
Membentuk negara menuju wawasan. 
Bersatu padulah rakyat Malaysia,
Elakkan diri dari pergaduhan;
65 tahun negara merdeka,
Negara makmur terus berwawasan.
Pelbagai bangsa pelbagai budaya,
Tak kira agama dan juga warna;
Semoga kita akan berjaya,
Bersatu hati melawan corona.
Jalur Gemilang megah berkibar,
Simbol perpaduan rakyat Malaysia;
Covid-19 memberi iktibar,
Kebersihan diri dijaga sentiasa. 
Jalur Gemilang Bendera Malaysia,
Berkibar megah kebanggaan kita;
Sambutan kemerdekaan besar ertinya,
Hindar dijajah, jauhi sengketa.
Aman bahagia rakyat sejahtera,
Rakyat sepakat membawa perpaduan,
Pelbagai kaum mewarnai Malaysia,
Malaysia megah di puncak kejayaan.
Rukun negara mesti dihormati, 
Berbilang bangsa rakyat disatukan, 
65 tahun Malaysia harmoni,
Perpaduan ini mesti dikekalkan.
Berbudi bahasa amalan murni,
Apa yang salah perlulah ditegur,
Semangat patriotik perlu dijiwai,
Dengan penuh rasa bersyukur.
Pemimpin adil lagi bijak,
Naungan raja jadi pelindung,
Di mana pun bumi kita dipijak,
Di situlah langit kita dijunjung.
Hujan emas di negeri orang,
Hujan batu di negeri sendiri,
Jasa yang baik akan dikenang
Berbaktilah untuk Malaysia pertiwi.
Ayuh semua rakyat Malaysia,
Jalur Gemilang kita kibarkan,
Bersatu hati semua bangsa,
Membawa negara menuju kejayaan.

Baca juga koleksi terbaik pantun dan ucapan untuk Hari Kemerdekaan Malaysia


Jom sertai Channel Telegram TheInspirasi untuk lebih banyak tips-tips, perkongsian dan artikel menarik

Channel Rasmi Telegram TheInspirasi https://t.me/theinspirasimy
Klik SINI untuk join

JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular