Thursday, March 27, 2025
HomeKoleksi PantunHimpunan Pantun Nasihat Orang Melayu Dulu-dulu Yang Penuh Hikmah

Himpunan Pantun Nasihat Orang Melayu Dulu-dulu Yang Penuh Hikmah

Dalam menyampaikan sesuatu pesanan atau peringatan, orang Melayu dulu-dulu ada kalanya menggunakan pantun sebagai salah satu bentuk nasihat. 

Penyampaian nasihat dalam bentuk pantun dilihat lebih berlapik dalam menasihati seseorang atau masyarakat. 

Selain itu, rima-rima dalam bait pantun nasihat juga adalah tersusun dan sedap didengar dengan menggunakan ayat-ayat yang mudah. 

Jenis pantun nasihat yang disampaikan pula terdiri daripada saranan menuntut ilmu, kehidupan agama, hidup berbudi, adab dalam masyarakat dan sebagainya. 

Burung merpati di dalam sangkar, 
Baru sepurnama dapat dijerat;
Kalau kita rajin belajar, 
Ilmu berguna banyak didapat. 
Burung pipit burung kedidi, 
Hinggap di pokok di tepi sawah;
Jika hidup tidak berbudi, 
Ibarat pokok tidak berbuah. 
Dari hulu turun ke pekan, 
Sampannya rosak di tengah hari;
Kalau selalu ingatkan tuhan, 
Apa dipinta pasti diberi. 
Delima batu dipenggal-penggal, 
Bawa galah ke tanah merah;
Lima waktu kalau ditinggal, 
Allah Taala memang marah. 
Gulai lemak sayur cendawan, 
Anak udang goreng berlada;
Kasih emak sepanjang jalan,
Sayang saudara sama berada. 
Halia ini tanam-tanaman, 
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman, 
Akhirat juga akan sudahnya. 
Hancur-hancur daun keladi, 
Buat makanan sarapan pagi;
Hendak dikesal tak guna lagi, 
Carilah lain sebagai pengganti. 
Ikan belanak dalam tapisan, 
Orang membubu di Kuala Dungun;
Ayuhai anak ingat pesanan, 
Kalau jatuh cepatlah bangun. 
Jangan biasa duduk bertentang, 
Tengok orang dari belakang;
Cari pagi makan petang, 
Asal hidup jangan berhutang. 
Jangan suka menganyam nyiru, 
Nyiru dianyam di tepi tasik, 
Jangan suka menanggung rindu, 
Rindu datang bawa penyakit. 
Kalau ada menanam tebu,
Boleh dijual di pasar desa;
Kalau kita jadi tetamu, 
Biarlah pandai berbudi bahasa. 
Kalau tuan merendang telur, 
Jangan terlupa telur yang masin;
Kalau tuan sudah mahsyur, 
Jangan lupakan keluarga yang miskin. 
Kembang indah menawan hati, 
Sayang terkerat di tengah hari;
Cinta itu laksana api, 
Tersalah hemat membawa diri. 
Laksamana Bentam datang menyembah, 
Merendah diri walaupun gagah;
Raja adil raja disembah, 
Raja zalim raja disanggah. 
Limau manis tiga serangkai, 
Taruh mari di kebun cina;
Mulut manis jangan di pakai, 
Banyak orang sudah terkena. 
Marilah kita menanam padi, 
Padi ditanam di dalam bendang;
Marilah kita menabur budi,
Supaya kita dikenang orang.
Medang sila buahnya cantik, 
Jatuh menimpa ke pasu bunga;
Dengan sebab nila setitik, 
Habis rosak susu sebelanga. 
Menjual lidi ke Batu Bara, 
Menjual lokan ke Batu Pahat;
Kerana dengki punya angkara, 
Orang baik disangka jahat. 
Naik bukit pergi Asahan, 
Bayar niat mudah-mudahan;
Sungguhpun songket kain pilihan, 
Tapi tak boleh buat basahan. 
Nyiur manis baru gugur, 
Dibawa nyonya keluar pagar;
Jasad menangis di pintu kubur, 
Menyesal di dunia tidak belajar. 
Orang berniaga semalam-malaman,
Apa jualan pulut berinti, 
Hidup di dunia buat amalan, 
Untuk bekalan akhirat nanti. 
Orang Daik pergi menuba, 
Dapat seekor ikan haruan;
Perkara tak baik jangan dicuba, 
Takut kelak merana badan. 
Orang mengail di Lubuk Dulang, 
Umpan mari si kulit duku;
Kalau bermain tunangan orang, 
Nyawa bergantung di hujung kuku. 
Pagi-pagi kapal berlabuh, 
Singgah di Bentan membeli kopi;
Bangun pagi sembahyang Subuh, 
Minta Tuhan tambahkan rezeki.
Pokok cempedak di tepi tangga, 
Buah sebiji gugur terbuang;
Janganlah mudah merasa bangga, 
Bila diri dipuji orang. 
Rendang sungguh pohon ara, 
Tumbuh subur tepi telaga;
Tidak salah berkenal mesra,
Tatasusila perlulah dijaga.
Sayang laksamana menggulung benang, 
Benang digulung perahu Bugis;
Orang jauh jangan dikenang, 
Kalau dikenang tunduk menangis. 
Ambil bertih dari hulu, 
Isi mari di dalam balang;
Bersihkan laman kita dahulu,
Baru bersihkan halaman orang. 
Anak ayam di atas pagar,
Turun ke tanah memakan padi;
Kalau hutang wajib dibayar, 
Kalau janji wajib ditepati. 
Cedok air dengan baldi, 
Cedok nasi dengan senduk;
Baik dibawa resmi padi, 
Semakin berisi semakin tunduk. 
Kalau ke bukit sama mendaki,
Kalau ke laut sama berenang;
Kalau kita bersatu hati, 
Kerja yang berat menjadi senang. 
Kelapa muda rumah Megat, 
Mari makan bulan puasa;
Badan muda biarlah ingat, 
Sementara belum rosak binasa. 
Kelapa muda, muda juga, 
Kelapa tua dibuat inti;
Suka, suka juga, 
Sembahyang kita jangan di henti. 

Semoga pantun nasihat ini dapat memberi manfaat dan menginspirasikan anda.

RELATED ARTICLES

Most Popular