Sahabat saya diuji dengan diri dan keluarganya positif COVID-19. Sebenarnya sudah agak lama saya tidak bersua muka dengannya sejak saya berpindah tempat kerja. Namun bagi saya, sekali sahabat biarlah selamanya bersahabat.
Perkara pertama yang saya lakukan setelah menerima khabar itu ialah saya cepat-cepat menelefonnya. Saya mahu mendengar sendiri penjelasan daripadanya. Bagaimanakah keadaannya sekarang? Sejauh mana virus Korona itu menjangkitinya dan ahli keluarga yang lain? Bagaimanakah anak-anaknya? Namun setelah beberapa kali mendail, sayangnya panggilan saya tidak dijawab.
Mungkin sahabat saya itu memerlukan masa untuk menjawab panggilan. Bukan saya seorang yang ingin tahu perkhabaran darinya. Saya pun mengirimkan mesej melalui Whatsapp kepadanya.
Beberapa jam selepas itu barulah mesej saya berbalas. Dia memaklumkan bahawa kondisi mereka semua berada pada tahap yang agak baik, mereka hanya perlu menjalani kuarantin di rumah. Tetapi ayahnya berada di hospital untuk rawatan lanjut. Sahabat saya itu menyatakan emosinya tidak berapa stabil sehingga tidak mampu menjawab panggilan kawan-kawan. Allahu Akbar!
Barulah lega saya rasa apabila menerima berita itu. Sekurang-kurangnya saya tahu sahabat saya itu masih baik-baik sahaja. Dia sedang mengumpul segala kekuatan untuk berjuang dalam ujian ini. Sebagai sahabat, saya dan beberapa orang teman lain mencari jalan untuk membantunya.
Walaupun sahabat saya bukanlah golongan B40, sebagai sahabat kami rasa terpanggil untuk membantu seadanya. Kami menyumbang sebanyak yang mampu untuk membeli ubatan dan barang-barang yang mungkin diperlukan. Kami tidak mahu dia rasa berseorangan dalam saat-saat susah sebegini. Kami mahu dia tahu kami ada di sisinya.
Begitulah nilai persahabatan bagi saya. Walaupun sudah lama tidak bertemu, kita masih mengikuti perkembangan masing-masing. Walaupun kita juga mempunyai keluarga dan urusan sendiri, silaturahim masih boleh dikekalkan.
Walaupun kita sudah mempunyai kawan-kawan yang kita jumpa selalu, kawan-kawan yang jauh itu masih seorang sahabat. Kita pernah berkongsi saat suka dan duka bersama-sama. Mungkin ada kalanya kita tidak sependapat, namun semuanya tidak berbekas di hati. Forgive and forget. Kita memaafkan dan melupakan kesalahan sesama kita.
Kita cuma manusia biasa, yang masih diberi kesempatan untuk bertapak di muka bumi Allah yang Maha Besar. Buat semua yang pernah bergelar sahabat, saya doakan kalian sihat dan bahagia, diberkati Allah selalu.