Thursday, March 27, 2025
HomeAgamaal-Qur'anTips Khatam al-Quran 30 Juzuk di Bulan Ramadhan 2025/1446H

Tips Khatam al-Quran 30 Juzuk di Bulan Ramadhan 2025/1446H

Bagaimanakah cara dan tips khatam al-Quran 30 juzuk ketika bulan puasa ini?

Ramadhan adalah bulan al-Quran, dan ramai berusaha untuk menghabiskan 30 juzuk dalam 30 hari. Namun, tanpa jadual dan strategi yang betul, ramai yang gagal mencapai matlamat ini.

Jangan risau! Dengan teknik dan disiplin yang betul, sesiapa sahaja boleh khatam al-Quran dengan mudah sepanjang Ramadan, bukan sahaja boleh khatam sekali, tetapi juga dua, tiga, atau empat kali sepanjang Ramadan dengan teknik yang sistematik.

Pada bulan Ramadhan juga kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah. Setiap amalan di bulan Ramadhan akan ditingkatkan sebanyak 70 kali ganda pahalanya. Antara amalan yang sangat digalakkan adalah dengan membaca al-Quran 

Tahun ini jom kita tanam azam untuk membaca dan khatam al-Quran sebanyak mungkin mengikut kemampuan masing-masing.

Cara Pengiraan Bilangan Juzuk, Halaman & Muka Surat dalam Al-Quran

Al-Qur’an Mushaf Uthmani mengandungi 604 halaman yang bermula daripada surah al-Fatihah sehingga surah al-Nass. 

Jumlah keseluruhan surah dalam al-Qur’an adalah sebanyak 114. Satu al-Qur’an mengandungi 30 Juzuk. Setiap Juzuk mengandungi 20 muka surat yang bersamaan dengan 10 helaian.

Secara asasnya jika membaca secara istiqamah al-Qur’an selepas daripada solat 5 waktu, kita dapat menetapkan target untuk khatam berapa kali pada tahun ini.

Jika kita lakukan secara istiqamah dengan jumlah bilangan muka surat yang ditetapkan, InshaAllah pada akhir Ramadhan kita dapat sempurnakan khatam al-Qur’an mengikut target yang kita tetapkan samaada sekali, 2 kali, 3 kali dan seterusnya.

BACA JUGA: Surah Surah al-Kahfi dan Kelebihan Membacanya

Untuk pengiraan lebih detail jom kita tengok selanjutnya berdasarkan target kita tahun ini.

Tips Khatam al-Quran sekali di bulan Ramadhan

Jika anda bercadang untuk khatam al-Qur’an sebanyak sekali pada Ramadhan tahun ini, cuba amalkan membacanya selepas daripada solat 5 waktu.

NO.WAKTU MUKA SURAT
1.Subuh4 muka surat
2.Zohor4 muka surat
3.Asar4 muka surat
4.Maghrib4 muka surat
5Isyak4 muka surat
Khatam sekali dalam bulan Ramadhan

Oleh itu, 20 muka surat dibahagikan dengan 5 waktu solat bersamaan dengan 4 muka surat setiap kali baca.

Bacaan dengan untuk 4 muka surat ini mengambil masa antara 10 hingga 15 minit mengikut kadar biasa. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat.

Tips Khatam al-Quran 2 Kali di Bulan Ramadhan

Selanjutnya jika kita berhasrat untuk khatam al-Qur’an 30 juzuk 2 kali  pada Ramadhan tahun ini, pengiraanya adalah sebagaimana berikut:

NO.WAKTU MUKA SURAT
1.Subuh8 muka surat
2.Zohor8 muka surat
3.Asar8 muka surat
4.Maghrib8 muka surat
5Isyak8 muka surat
Khatam 2 kali dalam bulan Ramadhan

Untuk tips 2 kali khatam al-Quran dalam sebulan, kita perlu istiqamah sebanyak 8 muka surat setiap kali selepas solat fardhu.

Bacaan untuk 8 muka surat ini mengambil masa kira-kira 20-25 minit untuk dihabiskan dengan yang biasa.

Satu lagi, kalau kita nak tahu target kita tercapai untuk 2 khatam ini, pada pertengahan Ramadhan iaitu hari ke 15, kita sudah menghabiskan pusingan pertama khatam. Bermula pada hari ke-16 Ramadhan, kita akan mengulang semula dari juzuk pertama.

Tips Khatam al-Quran 3 Kali  di Bulan Ramadhan

Manakala jika kita berazam untuk khatam al-Qur’an 30 juzuk 3 kali  bulan puasa ini,  cara pengiraan untuk setiap kali bacaan adalah sebagaimana berikut:

NO.WAKTU MUKA SURAT
1.Subuh12 muka surat
2.Zohor12 muka surat
3.Asar12 muka surat
4.Maghrib12 muka surat
5Isyak12 muka surat
Khatam 3 kali dalam bulan Ramadhan

Untuk 3 kali khatam dalam sebulan, kita perlu istiqamah sebanyak 12 muka surat setiap kali selepas solat fardhu. Sehari kita perlu habiskan 3 juzuk bersamaan dengan 60 halaman.

Bacaan untuk 12 muka surat ini mengambil masa kira-kira 30-40 minit untuk dihabiskan dengan kadar bacaan. Jadi sehari kita akan memperuntukkan antara 2 jam hingga 2 jam 30 minit untuk membaca al-Qur’an. 

Bagi mengetahui target kita tercapai untuk 3 kali khatam, pada 10 hari pertama, kita sudah menghabiskan sekali khatam. Kemudian diikuti 10 hari berikutnya (hari ke 20 Ramadhan). Dan 10 hari lagi untuk khatam kali ketiga.

Tarikh RamadhanBilangan Khatam
1- 10 RamadhanSekali khatam
11-20 Ramadhan2 kali khatam
21 – akhir Ramadhan3 kali khatam
Tips Khatam al-Quran bulan Ramadhan 1, 2, 3 dan 4 kali
Kredit Infografik: Asatizah Selangor – ANAS

Secara kesimpulannya, gambar grafik di atas memberikan panduan mudah dan sistematik untuk khatam al-Quran sepanjang bulan Ramadan dengan membahagikan bacaan mengikut setiap waktu solat.

Dengan memilih jumlah muka surat yang sesuai (4, 8, 12, atau 16 muka surat setiap kali solat), seseorang boleh menentukan sama ada ingin khatam sekali, dua kali, tiga kali, atau empat kali dalam sebulan.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu berdisiplin, tetapi juga memudahkan perjalanan ibadah agar lebih konsisten dan tidak membebankan. Dengan kesungguhan dan istiqamah, matlamat khatam al-Quran dalam Ramadan dapat dicapai dengan lancar. Jadikan Ramadan kali ini lebih bermakna dengan mendekatkan diri kepada al-Quran.

Jadual Khatam Al-Quran Bagi Wanita Uzur (Haid & Nifas)

Para wanita mungkin wanita menghadapi cabaran untuk khatam al-Quran dalam bulan Ramadan kerana keuzuran disebabkan kedatangan haid atau nifas. Namun, keadaan ini bukan penghalang untuk meneruskan ibadah!

Ada pelbagai cara wanita uzur tetap boleh menghidupkan Ramadan dengan al-Quran tanpa perlu meninggalkan sepenuhnya amalan membaca dan memahami ayat suci.

Untuk kekal konsisten dalam khatam al-Quran, ibu-ibu dan kakak-kakak boleh menyusun semula jadual bacaan:

  • Bahagikan bacaan mengikut hari – Contoh: Jika uzur selama 7 hari, bahagikan bacaan untuk 23 hari yang tinggal.
  • Baca lebih awal sebelum haid – Tambahkan bacaan sebelum uzur untuk mengejar target.
  • Sambung selepas haid dengan bacaan lebih banyak – Jika tertinggal, tambahkan bacaan setelah suci.

Panduan Penting Setiap Kali Membaca al-Qur’an

  1. Perlu ada target untuk khatam berapa kali pada ramadhan tahun ini.
  2. Bacaan al-Qur’an boleh dilakukan sebelum atau sesudah solat waktu. Pengiraan berdasarkan waktu solat adalah bagi memudahkan pembaca. Tambahan pula membaca al-Qur’an perlulah dalam keadaan berwudhuk.
  3. Jika tidak sempat membaca al-Qur’an pada sebelum atau selepas solat fadhu, boleh digantikan pada waktu yang lain seperti selepas Solat Dhuha, sebelum tidur, ketika qiamullail dan sebagainya.
  4. Apa yang paling penting adalah niat kita membaca al-Qur’an adalah kerana Allah Ta’ala dan bertujuan menghidupan bulan Ramadhan ini dengan ibadah yang banyak.
  5. Kita juga digalakkan memahami maksud al-Qur’an dengan meihat tafsir-tafsir ayat bagi memahami dan menghayati isi kandungan al-Qur’an. Ini kerana al-Qur’an bukan sahaja untuk dibaca, tetapi juga di amalkan kandungannya.

Semoga tips Khatam al-Qur’an ini dapat membantu kita meningkatkan amalan pada bulan Ramadhan ini.

Dengan disiplin, perancangan yang baik, dan istiqamah, kita dapat menyelesaikan bacaan al-Qur’an dengan lancar serta menghayati setiap ayat dengan penuh keinsafan.

Kongsikan panduan ini kepada keluarga dan rakan-rakan supaya lebih ramai dapat manfaat dan semangat untuk khatam al-Qur’an bersama-sama!


Selain digalakkan membaca al-Qur’an kita juga digalakkan menghidupan malam-malam Ramadhan dengan Qiamullail seperti solat Tahajjud. Panduan Solat Tahajjud adalah sebagaimana berikut:


JANGAN LUPA LIKE PAGE THEINSPIRASI

RELATED ARTICLES

Most Popular