Friday, March 28, 2025
HomeKehidupanUjian Si Anak

Ujian Si Anak

Kita sudah memasuki fasa kedua berpuasa, pantas sekali Ramadhan berlalu. Banyak menu berbuka sebanyak pahala yang dikumpulkah? Persediaan menyambut Syawal diharap jangan sampai menguasai persiapan untuk mengisi Ramadhan yang masih berbaki.

Kali ini saya ingin mengajak anda menyantuni kisah seorang murid lelaki yang baru berusia 14 tahun. Tubuhnya kecil, matanya bening seakan menutupi sebuah kesedihan.

Dengan kudratnya yang tak seberapa, di bahunya terpikul tanggung jawab menjaga ibu yang kemurungan. Ibu tak mampu mengurus diri, semua perlu diurus oleh anak yang masih memerlukan sentuhan kasih seorang ibu. Saya tidak mampu terus membongkar masalah peribadi anak itu. Cuma saya terpanggil untuk merasai kedukaannya.

Sebagai seorang ibu, saya mengurus keperluan anak-anak, makan pakai mereka namun murid tadi, siapakah yang menguruskan hal sebegitu? Kalau ada yang menguruskannya pun tentulah tidak sama dengan tangan seorang ibu.

Saat murid ini jatuh sakit, siapakah yang mengubatnya sedangkan ibunya perlukan jagaan sang anak? Persoalan-persoalan ini menjadikan hati saya sayu. Kasihannya dia…

Saya dan beberapa orang teman berkesempatan bercakap dengan murid ini. Banyak pertanyaan hanya dijawab sepatah-sepatah. Saat kami minta dia meluahkan rasa hatinya, air matanya berlinang juga, “Saya nak mak sihat balik,” perlahan sekali suaranya.

Jelas sekali dia begitu merindui kasih sayang seorang ibu. Kami minta untuk menziarahi ibunya. Dia nampak tidak selesa dan menerangkan bahawa emosi ibunya tidak begitu baik.

Kisah murid yang diuji berat ini jika menimpa anak-anak saya, tak dapat saya bayangkan. Anak sulung saya walaupun sudah berusia 18 tahun, masih perlu ditanya mahu makan apa, sudah solatkah. Itu belum lagi anak yang bongsu. Semuanya bergantung harap pada ibu. Namun murid tadi berdikari mengurus hidupnya sambil mengasuh seorang ibu yang emosinya terganggu. Allahu!

Saya berdoa murid hebat ini berjaya di dunia dan akhirat. Pahalanya berganda-ganda. Saya dan kawan-kawan akan memantaunya dari jauh. Apa yang perlu dibantu kami akan membantunya. Sesungguhnya setiap kesulitan itu pasti ada jalan keluarnya. Semoga anak murid ini selalu berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

RELATED ARTICLES

Percaturan Hidup

Doa Ibu

Mencari Mood?

Most Popular