Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menetapkan kadar zakat fitrah bagi negeri Pulau Pinang pada tahun 2022 / 1443H selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pembayaran bagi zakat fitrah ini boleh dibuat secara dalam talian (online) atau pembayaran melalui amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Terdapat tiga kadar zakat yang telah diumumkan di mana MAINPP menggalakkan pembayaran zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan oleh rakyat negeri ini.
Yang Dipertua MAINPP Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, penetapan tiga kadar bayaran berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada umat Islam negeri ini yang memiliki kelebihan dari segi kemampuan menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang lebih tinggi.
Kadar Zakat Fitrah Negeri Pulau Pinang Bagi Tahun 2022 / 1443H
RM7.00 – bagi kumpulan majoriti yang memakan beras jenis Super Special Tempatan 5%, Super Special Tempatan 10%, Beras Tempatan Standard, Beras Tempatan Premium & Beras Putih Import atau lain-lain yang setara dengannya.
RM13.00 – bagi kumpulan yang memakan beras wangi, beras pulut atau yang setara dengannya.
RM20.00 – bagi kumpulan yang memakan beras jenis berkualiti tinggi seperti Beras Basmathi dan yang setara dengannya.
Kaedah Bayaran Zakat Fitrah Bagi Negeri Pulau Pinang Tahun 2022
Bagi mereka yang ingin menunaikan zakat fitrah ini terdapat beberapa kaedah yang boleh digunakan iaitu secara online ataupun bayaran melalui amil-amil yang dilantik oleh Majlis Agama Islam negeri.
Bayaran Secara Atas Talian (Online)
Bagi mereka yang ingin membayar zakat fitrah secara online, terdapat 𝟲 kaedah bayaran yang boleh dibuat sebagaimana berikut;
- Melalui Portal zakatpenang2u.com
- Melalui Kod QR zakatpenang2u.com (open payment)
- Menggunakan aplikasi TULUS https://app.tulus.my/zakat
- Menggunakan aplikasi GoPAYZ http://bit.ly/GoPayz
- Perbankan internet maybank2u.com.my @ CIMB Click
- Perkhidmatan MyEG https://www.myeg.com.my/
Bayaran Melalui Amil
Selain menggalakkan pembayaran Zakat Fitrah secara online, kaedah pembayaran secara konvensional iaitu melalui amil yang dilantik juga boleh dilakukan.
Pada tahun ini, seramai 1,709 amil ditauliahkan di seluruh Pulau Pinang dan 234 kariah ditetapkan sebagai pusat kutipan.
Apa itu Zakat Fitrah?
Zakat Fitrah ialah zakat diri (badan) yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
Syarat Wajib Mengeluarkan Fitrah:
Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
4. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Bilakah Waktu Untuk Membayar Zakat Fitrah
Waktu untuk membayar zakat fitrah ialah bermula dari awal bulan Ramadhan sehingga sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri?
Apakah Hukum Zakat Fitrah?
Zakat fitrah merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan oleh setiap individu Muslim jika mempunyai kemampuan.
Info dan maklumat lanjut
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan tentang zakat fitrah ini, boleh merujuk laman rasmi Zakat Pulau Pinang melalui Facebook;
https://www.facebook.com/zakatpenang/
Anda juga boleh merujuk laman web melalui pautan berikut;
Sumber: Zakat Pulau Pinang
Lihat jadual waktu berbuka puasa bagi negeri Pulau Pinang tahun 2022.