Friday, March 29, 2024
HomeArtikel10 Tips Menangani Stres Menurut Perspektif Islam

10 Tips Menangani Stres Menurut Perspektif Islam

Seringkali dalam kehidupan yang semakin maju, kepesatan pembangunan negara memberi kesan kepada rakyat terutamanya pelajar dan pekerja. Kecemerlangan dalam perkhidmatan menjadi kayu ukur dalam usaha pembangunan negara menyebabkan para pekerja terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Perkembangan teknologi maklumat, proses globalisasi dan bebanan tugas berlebihan memberi kesan terhadap prestasi perkhidmatan pekerja. Pembangunan para pekerja merupakan suatu perkara yang dititik beratkan di dalam Islam dari pelbagai aspek iaitu kerohanian, mental dan fizikal. Hal ini menyebabkan seseorang itu mula mengalami gangguan mental secara tidak langsung.

Peningkatan gejala stres di kalangan pelajar mahupun pekerja kerap berlaku dalam kehidupan. Bagi pelajar, situasi sering berlaku pada waktu genting seperti waktu peperiksaan semakin hampir malahan pada musim perintah kawalan pergerakan(PKP) fasa pertama sehingga kini kerana perlu belajar secara atas talian.

Senario ini membuatkan para pelajar menyatakan mereka tiada ‘mood’, malah seolah-olah sudah hilang minat untuk belajar. Bagi golongan pekerja pula, stres mula berlaku apabila mengalami masalah kewangan dalam rumahtangga serta harus mengekalkan prestasi kerja yang sedia ada.

Stres Menurut Pandangan Islam

Menurut perspektif Islam, punca tekanan atau stres ini bukanlah hanya dari segi tekanan mental semata-mata tetapi sebenarnya punca stres ini juga melibatkan dari kelemahan hati, ruh, nafsu serta akal itu sendiri.

Pertama, jika seseorang mula mengalami gangguan stres maka periksa semula hubungan individu tersebut dengan Allah SWT. Kelemahan hati ini menyebabkan kebertanggungan terhadap Allah kurang lalu merasakan kehidupan menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan penyelesaian dalam menangani sesuatu masalah.

Kedua, ciri-ciri hati yang baik terdiri daripada unsur yang sangat halus (latifah), ketuhanan (rabbaniah) dan kerohanian (ruhaniah). Justeru itu, setiap muslim haruslah menghayati setiap unsur ini supaya kehidupan harian lebih bahagia.

Stres itu ujian Allah SWT

Apabila seseorang mengalami stres maka ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang diuji. “Kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan”,  Riadus Solihin.

Tips Menangani Stres

1.     Muhasabah Diri

Setelah menjalani kehidupan seharian, seseorang haruslah menetapkan rutin sebelum tidur iaitu muhasabah diri. Apabila kita sering melakukan muhasabah diri, kita terdorong untuk lebih mensyukuri nikmat yang dikecapi walaupun kecil mahupun besar. Oleh itu, tekanan mental yang dihadapi dapat di atasi dengan rutin ini.

2.     Mengenali Punca Tekanan

Punca tekanan biasanya berlaku disebabkan faktor persekitaran. Misalnya, suasana yang bising seperti jeritan yang kuat dan bunyi kenderaan yang berterusan apabila dalam suasana yang baru, boleh menyebabkan seseorang dalam keadaan tertekan.

Selain itu, faktor cuaca juga mempengaruhi kadar tekanan seseorang sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk ketika bekerja di luar negara. Faktor pencahayaan di tempat kerja atau bilik boleh mengakibatkan seseorang mengalami tekanan sama ada terlalu gelap atau terlalu terang sekiranya seseorang berada dalam kawasan itu terlalu lama.

Punca yang kedua pula boleh disebabkan oleh faktor personaliti. Dalam dunia pekerjaan, seseorang mengalami kesukaran atau kurang yakin semasa berkomunikasi dengan orang atasan mahupun orang bawahan.

Kecenderungan masalah ini menyebabkan seseorang tidak dapat menyampaikan maklumat dengan baik lalu menyebabkan stres. Seorang pekerja haruslah memberi masa yang secukupnya kepada diri untuk menangani masalah yang dialami. Hal ini kerana sebagai manusia, kita tidak sepatutnya lari dari mempunyai kelemahan diri dan sewajarnya kita lebih positif terhadap potensi diri.

3.     Ambil Tindakan Segera

Apabila seseorang menyedari perubahan sikap yang drastik seperti mudah marah, mudah bosan, tidak mampu menguruskan kerja dan mudah hilang pertimbangan, sedarilah diri anda sudah mengalami tekanan! Jadi ambil tindakan segera!

Tindakan yang boleh diambil adalah berdasarkan punca tekanan yang dialami. Contohnya, kurang kemahiran berkomunikasi. Jadi cara terbaik yang boleh diambil ialah menghadiri kursus pengucapan awam.

Selain itu, dalam menyelesaikan masalah ini, boleh juga dapatkan bantuan pakar. Pada zaman ini, bantuan pakar dapat diperolehi melalui atas talian juga selain secara bersemuka. Jika seseorang terlalu takut untuk mendapatkan bantuan, mereka boleh membuat temujanji secara atas talian.

4.     Meningkatkan Ilmu

Ilmu sangat penting untuk dipelajari dan diamalkan dalam menjalani kehidupan seharian. Latih diri untuk menangani stres dengan cara yang betul jika berada dalam situasi baru. Amalkan sikap bertenang, sabar, kawal dan abaikan perkara yang tidak perlu.

5.     Mengelak Dari Tekanan

Kadang-kadang tekanan boleh dielak jika seseorang bersiap sedia dengan rapi dan melakukan perancangan. Tetapi adakalanya seseorang semestinya tidak boleh melarikan diri dari masalah yang timbul dan perlu dihadapi dengan berfikiran positif.

Allah SWT berfirman dalam Surah Luqman, ayat 20 yang bermaksud “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin?

6.     Memberi Masa untuk Penyesuaian

Firman Allah SWT dalam Surah al-Sajadah ayat 16 yang bermaksud “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.”.

Ayat ini menggambarkan bahawa setiap orang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam situasi yang baru. Sekiranya ketika bekerja dari rumah, pastikan corak tidur kekal sama seperti bekerja di tempat kerja. Ini bagi mengekalkan diri kekal positif dan bertenaga dalam melakukan pekerjaan.   

7.     Membezakan keutamaan dalam Kehidupan dan Kerja

Setiap orang mestilah merancang aktiviti harian dalam kehidupan serta alam pekerjaan. Sebagai pekerja, seseorang mempunyai peranan tugas yang dipertanggungjawabkan. Oleh yang demikian, penyusunan jadual kerja merupakan suatu yang penting bagi menghindari diri dari kuat bekerja dan terperangkap dalam tekanan kerja.

Dalam Surah Faathir ayat 34, Allah SWT berfirman yang bermaksud;  “Dan (sebagai bersyukur) berkatalah mereka: “Segala puji tertentu bagi Allah, yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami; Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang yang taat);.”

8.     Menentukan Masa Istirehat yang Produktif

Setiap orang mesti cenderung untuk melakukan aktiviti kegemaran seperti membaca, menanam pokok, belajar bahasa asing dan pelbagai hobi. Berzikir juga merupakan salah satu cara untuk beristirahat.

Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ra’ad ayat 28 bermaksud “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan “zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia..” Ketahuilah dengan berzikir dapat mententeramkan hati manusia.

Selain itu, seseorang perlu menguruskan masa yang ada dengan sebaiknya dan perlukan perancangan yang rapi serta seimbangkan masa untuk bekerja dan berehat. Firman Allah SWT dalam sura al-‘Asr yang bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu hidup dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengejarkan amal soleh. Dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.”

9.     Menerima Hakikat

Setiap orang harus menerima kenyataan bahawa semua perancangan yang dilakukan tidak akan berlaku seperti yang dikehendaki. Ada beberapa perkara yang tidak boleh dikawal atau berubah mengikut perspektif seseorang. Misalnya, sebagai pasangan suami isteri, pastinya impian untuk tinggal bersama adalah suatu kemestian.

Namun pekerjaan menuntut pasangan jarak jauh ini menjalani kehidupan rumah tangga pada hujung minggu apabila salah satu tidak mendapat kelulusan untuk pemindahan tempat kerja.

Pasangan ini haruslah menerima kenyataan dengan berita tersebut dan berfikir akan hikmahNya. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 173 yang bermaksud “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya“. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).”

10.  Memperbanyakkan Ibadah

Melalui ibadah, seseorang dapat merasai jiwa yang tenteram. Misalnya, ketika berada dalam keadaan tertekan dan kemarahan yang tidak dapat dikawal, maka dengan mengambil wudhu’ dan bersolat sunat dapat menyejukkan api kemarahan.

Seterusnya, bermunajatlah kepada Allah SWT agar dapat ketenangan hati dan dipermudahkan segala urusan.

Solat merupakan perkata pertama yang ditekankan dalam kehidupan seorang muslim dalam menjalinkan hubungan dengan penciptaNya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-‘Alaq ayat 19 yang bermaksud “… dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Begitu juga dengan ibadah seperti berzikir dan banyakkan beristighfar dapat meredakan tekanan yang dihadapi. Dalam Surah al-Baqarah ayat 152 Allah SWT yang bermaksud;

Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan mengingati kamu sekalian.”

Kekuatan doa juga mempunyai makna yang tersendiri dan bantuan daripada Allah akan datang tanpa disedari dalam menangani mereka yang mengalami masalah tekanan. Konsep doa amatlah dituntut dalam situasi apapun seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud;

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu..”

Setiap manusia tidak terlepas dari ujian kehidupan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian serta yakinlah dengan syarat tabah dan redha dalam menghadapi segala ujian-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 155-156 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

Penulis; Nurul Aisaar binti Azhar, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular