Tuesday, March 19, 2024
HomeArtikel5 Perkara Penting Yang Sepatutnya Diajar Di Sekolah

5 Perkara Penting Yang Sepatutnya Diajar Di Sekolah

Pernahkah anda terdengar satu petikan terkenal oleh Albert Einstein dalam Bahasa Inggeris, “Education is what remains after one has forgotten what one has learned in school.” Petikan ini bermaksud, pendidikan adalah apa yang kekal setelah seseorang melupakan apa yang telah dipelajari di sekolah. Bahkan salah satu genius paling hebat dalam sejarah menunjukkan bahawa apa yang kita pelajari di sekolah sebenarnya bukanlah perkara yang paling penting.

Sekolah merupakan tempat untuk menuntut ilmu dan mengejar cita-cita. Namun begitu, terdapat banyak perkara yang tidak diajar tetapi sepatutnya diajar di sekolah seperti, cara-cara untuk menjaga kesihatan mental, cara-cara untuk mendapatkan pekerjaan dan banyak lagi.

Sesetengah mungkin akan mengatakan perkara-perkara ini boleh diajar oleh ibu bapa atau ahli keluarga di rumah. Walhal majoriti di antara kita telah menghabiskan lebih banyak masa di sekolah berbanding di rumah sejak usia muda menyebabkan sekolah menjadi tempat yang paling sesuai untuk diajar perkara-perkara tersebut.

Mengetahui fungsi stomata mungkin penting dalam menghargai beberapa aspek perubahan iklim, atau jika anda ingin bekerja di bidang Biologi. Tetapi pengetahuan ini tidak akan membantu anda memfailkan cukai yang mana ia merupakan sesuatu yang tidak pernah diajar oleh kebanyakan kita. Kita tidak boleh bersekolah selama-lamanya, jadi adalah sangat penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya pendidikan kita.

1.    Kesihatan Mental

Sebilangan besar remaja menderita masalah kesihatan dari segi penyakit psikologi sama ada kegelisahan, kemurungan, gangguan makan dan lain-lain. Perkara ini tidak semestinya dialami oleh diri mereka sendiri tetapi mungkin mereka menghadapi masalah untuk menangani ehwal kesihatan psikologi yang dialami oleh orang-orang sekeliling mereka seperti ahli keluarga dan kawan rapat.

Stigma mengenai masalah kesihatan mental yang jarang dibincangkan menyebabkan penderita merasa terasing dan percaya yang mereka tidak akan menemui jalan penyelesaian. Dengan mengajar para pelajar tentang kesihatan mental di sekolah, ia akan membantu mereka memahami masalah yang sering dihadapi oleh kebanyakan orang. Hal ini membolehkan mereka untuk mengenal pasti dan membantu menguruskan tekanan, ketagihan dan kehilangan dengan lebih baik.

2.    Bahaya Internet

Belia masa kini menghabiskan sebahagian besar daripada waktu mereka dengan melayari internet. Oleh itu, mengajar bagaimana cara-cara untuk melindungi diri daripada bahaya internet adalah sangat wajar. Kanak-kanak telah diajar tentang bahaya bercakap atau mengikut orang yang tidak dikenali.

Prinsip yang sama harus diajarkan mengenai bahaya dalam talian yang mungkin kurang mereka ketahui. Sehingga ke hari ini, pelajar dari setiap peringkat sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah sering menghadapi pelbagai masalah baru yang mungkin tidak dapat ditangani oleh pihak sekolah. Sebagai contoh, buli siber, pencurian identiti dalam talian, scam dan banyak lagi.

Dengan hanya menyediakan pengetahuan asas yang mudah yang dimasukkan ke dalam kurikulum pelajar sudah pasti akan menunjukkan perbezaan dari segi kesedaran tentang langkah-langkah menjaga keselamatan di internet.

3.     Cara-cara Memasak / Pengetahuan Tentang Nutrisi

Semakin menjejak usia dewasa, tanggungjawab untuk memasak tidak lari daripada diri kita semua kecuali jika anda mampu untuk mengupah tukang masak profesional peribadi. Mungkin anda boleh berkata, anda mempunyai ibu bapa untuk menyediakan makanan. Tetapi mereka tidak akan bersama-sama dengan anda untuk selama-lamanya.

Selain itu, semasa tempoh pengajian di peringkat tinggi seperti di universiti, majoriti pelajar akan menduduki rumah sewa atau tinggal bersendirian dan jauh dari keluarga menyebabkan mereka harus memasak untuk diri sendiri jika ingin berjimat dari makan di kedai. Hal ini merupakan salah satu kemahiran hidup yang sememangnya tampak mudah untuk diajar di rumah. Tetapi jika anda mempunyai ibu bapa yang tidak mahir dalam bidang memasak, anda sememangnya kurang bernasib baik.

Sebilangan kecil sekolah masih dilengkapi dengan dapur dari zaman ketika subjek Kemahiran Hidup atau Etika di Rumah masih menjadi sebahagian daripada kurikulum standard. Sekiranya sekolah-sekolah tidak mempunyai dapur atau tidak mampu untuk menyediakannya, pihak sekolah masih boleh menunjukkan inisiatif dengan mengajarkan maklumat pemakanan asas untuk membantu anak-anak membuat pilihan makanan yang sihat sejak usia dini.

4.     Cara-cara Untuk Mendapatkan Pekerjaan

Sejurus selepas pengajian di sekolah tamat, para pelajar akan berusaha untuk mencari pekerjaan. Malangnya, bilangan graduan semakin bertambah dan usaha pencarian kerjaya memerlukan mereka untuk bersaing sesama sendiri dari segi akademik, kebolehan dan lain-lain. Ia tidak lagi semudah mereka yang mencari kerja pada zaman dahulu kala.

Pengajaran yang mudah dan sederhana seperti mengajar cara-cara yang betul untuk membuat resume dan menulis cover letter serta persiapan untuk menghadapi temuduga dapat memberi manfaat kepada masa depan pelajar. Selain daripada itu, melihat betapa mahalnya kos untuk memperoleh pendidikan tinggi pada hari ini, adalah sewajarnya untuk sekolah-sekolah menawarkan dan menyediakan sesi kaunseling bimbingan kerjaya kepada para pelajar.

Hal ini membolehkan mereka untuk membuat keputusan yang lebih baik dan lebih tepat ketika tiba waktunya untuk mereka memilih bidang pengajian di universiti kelak supaya yuran pengajian yang telah dibayar itu tidak menjadi satu pembaziran.

5.     Bahasa Isyarat

Ramai orang tidak cuba berkomunikasi dengan orang kurang upaya khususnya orang yang pekak dan bisu kerana kita tidak dapat memahami mereka dengan betul atau perlu menggunakan bahasa isyarat. Terlalu banyak isu yang sering kita dengar di mana orang yang mempunyai masalah ini sering diabaikan oleh umat manusia hanya dengan sebab kita tidak dapat memahami cara mereka berkomunikasi.

Pada kebiasaannya, sekolah-sekolah telah menawarkan pilihan pengajian bahasa asing seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Mandarin dan banyak lagi. Namun begitu, sebagai masyarakat yang prihatin, kita haruslah sedar yang di dalam kalangan kita terdapat juga orang-orang yang tidak dapat belajar bahasa atau tidak boleh untuk berkomunikasi sama sekali.

Mengajar bahasa isyarat dapat memberi manfaat bagi kedua-dua pihak pelajar yang dapat mendengar dan bertutur secara normal dan juga kepada pelajar yang mempunyai masalah pendengaran dan percakapan. Ia dapat membantu mencegah orang pekak dan bisu merasa terpencil dan juga memberi kesedaran kepada komuniti sekeliling tentang budaya kepentingan mempelajari dan memahami bahasa isyarat.

Bahasa isyarat bukan hanya untuk orang pekak dan bisu dan mempelajarinya  bukan hanya mengenai kemahiran berkomunikasi. Tetapi ianya juga adalah berkait rapat dengan melambangkan persamaan dan melahirkan sifat kekitaan di kalangan manusia yang berbagai jenis dan keupayaan.

Sebagai konklusinya, apa yang telah diajar oleh sekolah kepada para pelajar boleh dikatakan bagus tetapi tidak semuanya boleh digunakan dalam hal ehwal dunia yang sebenar. Contohnya, kita tidak memerlukan pengetahuan cara-cara mengira teorem pythagoras dalam kehidupan seharian kita.

5 perkara yang telah dinyatakan di atas ini adalah sebahagian daripada beberapa perkara dalam kehidupan yang kita harapkan diajar di zaman persekolahan. Mempelajari perkara-perkara sebegini lebih memanfaatkan kepada kehidupan para pelajar pada alam dewasa kelak dan ia semestinya dapat membantu mereka membesar dan menjadi orang yang lebih bersedia, efisien dan baik.

Tujuan penulisan ini adalah bukan untuk menjatuhkan para pendidik yang telah berhempas pulas mendidik anak-anak bangsa kita. Tetapi ianya bertujuan untuk membuka mata mereka yang menguasai sistem pendidikan negara dengan lebih luas agar dapat menyediakan silibus pelajaran yang bukan hanya berfokus tentang ilmu akademik semata-mata. Segala cabaran yang bakal dihadapi oleh kita semasa dewasa tidak dapat kita anggarkan tetapi sekurang-kurangnya dapat diterapkan pendidikan tentang cara-cara untuk menghadapi segala ketidaktentuan ini di sekolah.

Penulis; Aishah binti Mohd Jaim, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular