Sunday, September 25, 2022
HomeArtikel5 Tips Menggunakan Media Sosial Dengan Bijak

5 Tips Menggunakan Media Sosial Dengan Bijak

Pada era globalisasi kini, media sosial merupakan medium utama untuk berhubung dengan orang sekeliling kita, tidak kira dekat atau jauh, bahkan mereka yang serumah juga kadangkala turut menggunakan media sosial. Lihatlah betapa pentingnya media sosial, lagi-lagi pada musim pandemik yang melanda dunia pada masa ini.

Antara aplikasi di media sosial yang sering digunakan adalah seperti Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter, dan banyak lagi. Aplikasi-aplikasi ini sering digunakan oleh masyarakat, terutamanya golongan belia sebagai hiburan dan tujuan merehatkan minda daripada kesibukan kerja dan pelajaran.

Terdapat banyak kebaikan yang kita perolehi dalam menggunakan media sosial. Kebaikan utama mestilah tidak lain tidak bukan adalah menjadi medium perhubungan antara masyarakat. Antara kebaikan lain ialah dapat menambah pendapatan dengan berniaga atas talian, dapat berkongsi kegembiraan dengan orang lain, dan sebagainya.

Namun, kita harus ingat, dalam setiap kebaikan, pasti ada keburukan. Jadi, media sosial juga tidak lari dengan perkara-perkara negatif kerana terdapat sebilangan masyarakat yang tega mengambil kesempatan untuk kepuasan diri dengan menipu orang ramai, menceroboh privasi seseorang dan sebagainya.

Oleh itu, dalam kita asyik menggunakan perkhidmatan media sosial, masyarakat harus ingat bahawa setiap perkara yang ingin dilakukan haruslah dibuat dengan penuh bijak dan beradab, begitu juga dalam penggunaan media sosial. Di sini, turut dikongsikan lima tips untuk menggunakan media sosial dengan bijak.

1.    Tidak Berkongsi Maklumat Data Peribadi

Menurut portal rasmi Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDP), data peribadi merupakan maklumat yang digunakan dalam transaksi komersial yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan subjek data. Antara contoh maklumat data peribadi ialah seperti nama, alamat rumah, nombor kad pengenalan, nombor telefon, maklumat perbankan, dan banyak lagi yang sepatutnya dilindungi daripada pengetahuan orang ramai.

Hal ini adalah kerana data peribadi merupakan maklumat privasi seseorang individu dan terdapat akta yang berkaitan dengan perlindungan data peribadi, iaitu Akta Perlindungan Data Peribadi. Menurut portal rasmi JPDP, akta ini ditubuhkan bagi memberikan perlindungan kepada maklumat peribadi seseorang individu yang diproses untuk tujuan transaksi komersial.

Sekiranya data peribadi telah bocor di laman media sosial, orang yang tidak bertanggungjawab boleh mencuri maklumat tersebut dan menggunakannya sesuka hati mengikut nafsu serakah mereka. Sebagai contoh, jika maklumat peribadi berkaitan perbankan seperti pengenalan diri dan kata laluan online banking telah bocor, maka penjenayah media sosial tidak akan melepaskan peluang mereka untuk mencuri sejumlah besar wang mangsa dengan memindahkannya ke dalam akaun mereka. Sangat menakutkan bukan?

Jadi, apakah yang boleh dilakukan sekiranya data peribadi kita telah bocor? Mereka yang merasakan bahawa data peribadi mereka telah dicuri dan diguna pakai oleh orang lain boleh membuat aduan kepada Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi.

Oleh itu, pengguna-pengguna media sosial hendaklah peka dengan apa yang dilakukan untuk mengelakkan kejadian jenayah di media sosial dan janganlah menjadi seperti pepatah melayu, ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

Masyarakat harus sentiasa berhati-hati dan jangan sekali-kali memaparkan maklumat peribadi di media sosial kerana dengan berkongsi perkara sedemikian dapat memberi peluang kepada penjenayah-penjenayah di media sosial untuk mencuri maklumat diri kita.

2.    Tidak Menyebarkan Berita Palsu

Seperti yang kita sedia maklum, sesuatu berita itu dapat tersebar sangat pantas dengan bantuan media sosial. Oleh yang demikian, setiap masa pasti ada sahaja berita yang keluar dan singgah di laman media sosial kita. Berita yang tersebar itu boleh jadi samada ianya berita benar atau berita palsu.

Sekiranya kita tidak pasti dengan kesahihan berita tersebut, maka janganlah kita menyebarkan berita tersebut kerana besar kemungkinan berita yang disebarkan itu merupakan berita yang palsu dan seterusnya boleh mengelirukan banyak pihak.

Antara langkah yang boleh diambil jika kita mendapat sesuatu berita di media sosial, pertama sekali kita mestilah membaca keseluruhan cerita mengenai berita tersebut. Kemudian, kita mestilah bersikap tabayyun, iaitu menyemak kesahihan berita tersebut. Setelah kita pasti bahawa berita tersebut adalah benar, maka kita boleh berkongsi berita tersebut dengan orang ramai.

Namun, sekiranya berita tersebut adalah palsu, maka hentikanlah penyebarannya dan sebarkanlah kepada orang ramai tentang kepalsuan berita tersebut. Dengan mengamalkan konsep tabayyun, kita dapat mencegah sebarang perbuatan fitnah, penipuan dan memburukkan nama seseorang.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah apabila kita mendapat sesuatu berita yang tidak diketahui kesahihannya. Semaklah dahulu berita tersebut sebelum disebar kepada orang lain di media sosial. Kita juga harus ingat bahawa dengan menyebarkan berita palsu, tindakan berat boleh dikenakan ke atas diri kita sekiranya terdapat laporan yang dibuat.

3.    Bersederhana Dalam Berkongsi Cerita

Ramai masyarakat di luar sana yang menggunakan media sosial untuk berkongsi cerita berkaitan kehidupan peribadi mereka. Mereka melakukan hal sedemikian kerana ingin berkongsi kegembiraan dengan para pengikut mereka. Ada juga yang menggunakan media sosial untuk meraih perhatian orang ramai.

Itu semua tidak salah untuk dilakukan, namun harus diingat bahawa bukannya setiap orang yang suka akan diri kita. Ada orang yang sekiranya melihat cerita kita di media sosial akan semakin membenci diri kita sehingga kebencian itu bertukar menjadi dendam. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa beringat untuk sering bersederhana dalam menceritakan perihal diri di media sosial.

Harus diingat juga bahawa setiap kali sebelum berkongsi perihal diri, semak dahulu kapsyen atau gambar yang ingin dikongsi, sama ada ianya sesuai atau tidak untuk dipaparkan di media sosial.

Pengguna media sosial haruslah berfikir dengan bijak untuk memastikan bahawa perkara yang ingin dikongsikan tidak menyentuh perihal sensitiviti sesuatu kaum, bangsa atau agama. Sekiranya sudah pasti bahawa perkara tersebut adalah sopan dan selamat untuk tatapan umum, maka dibenarkan untuk dikongsi dengan orang ramai di media sosial.

Sekiranya pengguna media sosial tetap berdegil untuk berkongsi perkara yang tidak sesuai di media sosial, maka bersedialah untuk menerima kecaman orang ramai. Kita juga sudah lihat pada masa kini bahawa sudah ramai yang menerima kecaman, terutamanya golongan yang terkenal seperti selebriti dan orang yang berpemengaruh media sosial kerana sering menghantar dan berkongsi perkara-perkara yang berlebihan di media sosial yang tidak sesuai untuk paparan masyarakat.

4.    Berkongsi Ilmu Dan Kebenaran

Sebagai pengguna media sosial, masyarakat mestilah bijak mengambil peluang untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan para pengikut yang ada. Tidak kira apa jenis ilmu kecuali ilmu yang tidak baik, semuanya sangat dituntut untuk dikongsikan di media sosial.

Perkara ini bukan sahaja memberi manfaat kepada mereka yang mendapat ilmu, bahkan orang yang memberi ilmu juga mendapat manfaat yang sama malah lebih lagi seperti dapat lebih memahami ilmu yang diajarkan dan dapat lebih banyak ilmu baharu tanpa disedari.

Terdapat sepotong hadis nabi yang menyebut tentang kewajipan menyampaikan ilmu dalam Islam. Hadis tersebut bermaksud; “Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari; 3461)

Berdasarkan hadis tersebut, apa sahaja ilmu yang kita ketahui walaupun sebesar zarah, maka kita dituntut untuk menyebarkan ilmu itu kepada orang ramai. Jika ramai orang yang telah tahu akan ilmu tersebut, tidak salah untuk kita menyebarkannya lagi supaya mereka tidak lupa dan sentiasa ingat akan ilmu tersebut.

Kita juga mesti ingat bahawa jangan pernah sekali-kali menyebarkan ilmu yang palsu kerana perkara itu akan memberikan kekeliruan kepada orang ramai dan mereka yang menyebarkannya akan menanggung akibat yang berat.

5.    Tujuan Perniagaan

Pada masa kini, ramai orang yang berniaga sebagai sumber pendapatan. Ada juga yang berniaga secara sambilan untuk menambah pendapatan yang sedia ada. Jadi, penggunaan media sosial adalah jalan terbaik untuk mempromosikan barangan jualan kerana kebanyakan orang telah menggunakan media sosial dalam menjalani kehidupan mereka, lagi-lagi dalam musim pandemik yang melanda dunia ini.

Cara berniaga di media sosial ini boleh dikategorikan sebagai cara yang bijak dalam memanfaatkan penggunaan media sosial kerana para peniaga pandai dan berani mengambil peluang yang sudah tersedia.

Selain itu, perniagaan di media sosial juga boleh memberikan kemudahan kepada ramai orang kerana mereka tidak perlu bersusah payah untuk keluar rumah demi membeli barangan yang kadangkala cuma sedikit sahaja untuk dibeli.

Sementelah, sekarang juga bayaran atas talian semakin luas digunakan dan telah menyebabkan ramai orang lebih suka untuk membeli barangan secara atas talian sahaja. Jadi, para peniaga seharusnya memandang serius akan hal ini dan pantas mengambil peluang yang terhidang demi memajukan perniagaan yang dijalankan.

Mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan juga bolehlah mencuba nasib untuk mempromosikan barang niaga mereka di media sosial seperti di Facebook, Twitter dan Instagram. Sudah pasti mereka yang tertarik dengan barang yang dijual akan membelinya dengan kadar segera.

Namun, dalam keseronokan berniaga, para peniaga mestilah bersikap jujur terhadap jualannya dan tidak sekali-kali mengambil kesempatan untuk menipu pelanggan kerana perbuatan tersebut adalah perbuatan yang sangat tidak bermoral.

Sekiranya terdapat pelanggan yang bijak mengendalikan masalah ini, mereka akan melaporkan kepada pihak yang berkenaan dan tindakan boleh dikenakan kepada para peniaga yang menipu dalam jualan. Oleh itu, para peniaga mestilah sentiasa jujur dalam urusan jual beli.

Demikianlah lima tips yang boleh digunakan dalam mengendalikan media sosial dengan bijak. Yang paling penting, janganlah terlalu taksub dengan media sosial sehingga perkara lain yang lebih penting turut diabaikan.

Jadi, sebagai pengguna media sosial, kita seharusnya bijak membahagikan masa antara hiburan dan kehidupan sebenar supaya kita tidak leka dan hanyut dengan keseronokan dunia semata-mata.

Penulis; Nurul Hidayah Binti Abdul Razak Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular