Pakaian sering dilihat sebagai keperluan. Pada hari ini produksi pakaian bergaya yang mengikut ‘trend’ dengan harga rendah sangat mudah dimiliki dengan bantuan pembelian atas talian. Namun begitu orang ramai kurang cakna akan isu pencemaran yang berlaku akibat kewujudan fesyen pantas yang telah lama berleluasa.
Fesyen pantas atau fast fashion ialah suatu bisnes model yang sangat menguntungkan industri fesyen kerana pakaian-pakaian direka berdasarkan replika reka bentuk fesyen yang berkualiti tinggi seperti Moschino dan Versace. Bukan sahaja pakaian, malahan produksi aksesori seperti tali leher dan kasut juga dilakukan secara pukal dan kemudian dijual dengan harga yang lebih rendah daripada produk asal. Industri fast fashion ini melibatkan syarikat-syarikat besar seperti UNIQLO, H&M, dan Zara.
Fesyen pantas juga ialah punca kewujudan ‘Fashion Revolution’ atau revolusi fesyen yang ditubuhkan enam tahun lalu berikutan keruntuhan kilang Rana Plaza di Bangladesh, yang mengorbankan 1,138 pekerja. Penyelidikan mereka menunjukkan bahawa pakaian adalah antara barang yang paling berisiko dihasilkan melalui perhambaan moden.
Orang ramai kurang cakna betapa dalamnya kesan ketagihan fesyen terhadap alam sekitar. Sehingga 15 ribu liter air digunapakai untuk menghasilkan jumlah kapas yang cukup untuk sehelai seluar jeans. Keadaan yang mengganggu gugat alam sekitar ini lebih merunsingkan kerana lebih daripada 100 juta pakaian baru dihasilkan setiap tahun.
Kajian daripada YouGov Omnibus menunjukkan sejauh mana pembaziran pakaian di Malaysia dan mendapati bahawa tujuh daripada sepuluh orang rakyat Malaysia telah membuang pakaian setiap tahun dan satu perempat rakyat Malaysia membuang lebih daripada sepuluh pakaian tahun lalu.
Ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia yang membuang pakaian dengan sewenangnya kerana perubahan minat. 16 peratus daripada mereka membuang pakaian kerana tidak mengikut ‘trend’ terkini, 15 peratus mengatakan bahawa pakaian mereka bosan dan sudah lapuk, dan 14 peratus rakyat Malaysia membuang pakaian kerana pakaian tersebut sudah tidak lagi bergaya pada zaman kini.
Pakaian-pakaian yang dibuang kebiasaannya akan terkumpul di tapak pelupusan kerana itu ialah cara paling selalu diguna pakai untuk merawat sampah. Tambahan lagi, 84 peratus daripada pakaian yang kononnya diderma akan berakhir di tapak pelupusan atau pembakaran kerana pakaian yang dihantar tidak mengikut kesesuaian bagi mereka yang memerlukan.
Ada di antara rakyat Malaysia melakukan aktiviti menderma pakaian lama dengan bertujuan untuk membuang pakaian tersebut dan bukannya dengan niat utama untuk membantu orang-orang yang memerlukan.
Sementara itu, tuduhan eksploitasi yang melibatkan jenama terkenal seperti H&M dan Zara, yang menimbulkan persoalan mengenai etika industri tekstil terhadap pekerja mereka. Selain daripada itu, kajian juga membuktikan bahawa kesan fast fashion yang mendorong permintaan untuk pakaian murah telah menyebabkan pakaian-pakaian itu dihasilkan menggunakan karbon intensif dalam waktu yang singkat dan sering berakhir di tempat pembuangan sampah.
Jenama-jenama fesyen yang besar dan telah lama beroperasi sukar mengamalkan nilai kelestarian dalam perniagaan mereka bahkan, perkataan lestari itu sendiri diguna pakai dalam koleksi fesyen mereka hanya dengan tujuan pemasaran semata.
Namun begitu, sebagai pengguna, kita boleh menggunakan kuasa pembeli dan mengubah tabiat membeli-belah kita supaya kita dapat membawa perubahan positif dalam hubungan industri fesyen dan alam sekitar.
Berikut adalah 5 cara rakyat Malaysia untuk menangani masalah fesyen pantas:
1. Mengenal Pasti Pihak Yang Terlibat Dalam Penghasilan Baju
Industri fesyen dianggarkan memberi peluang pekerjaan kepada sekitar 45 juta orang, dan kaum wanita merangkumi 85% daripada tenaga kerja global di kilang tekstil. Namun, mereka adalah antara pekerja yang mempunyai gaji paling rendah di dunia.
Apabila kita membeli pakaian, buatlah pertimbangan dengan mengenal pasti buatan negara produk tersebut seperti ‘made in Bangladesh’ atau buatan Bangladesh. Berdekad lamanya, negara ini telah menjadi pusat pembuatan pakaian dengan gaji yang sangat rendah.
Demi menjamin ketersediaan dan harga pakaian rendah, banyak syarikat fesyen memilih untuk mengeksploitasi tenaga pekerja dengan kos rendah seperti di negara Bangladesh, India, Pakistan, China dan banyak lagi. 13 peratus daripada tenaga pekerja yang menyumbang kepada produksi syarikat Zara adalah dari negara China dan Turki dengan bertujuan mengurangkan kos tenaga buruh.
Semasa Minggu Fesyen di Amerika Syarikat, #whomademyclothes menjadi hashtag nombor 1 dalam dunia di media sosial Twitter. Sejak itu, semakin banyak pengeluar mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan kondisi kilang yang lebih selamat, dan memberi pekerja mereka upah yang lebih bertepatan dalam keadaan kerja yang kondusif.
2. Kurangkan Pembelian, Beli Yang Berkualiti
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggap fesyen sebagai industri pencemaran kedua terbesar di dunia. Daripada membeli tiga baju dengan harga RM 20 setiap satu, lebih baik untuk rakyat Malaysia membeli sehelai baju dengan harga RM 55 dan pakailah baju itu berulang kali.
Fesyen mewah sering memerlukan kos yang lebih tinggi; ini mencerminkan kos sebenar penggunaan bahan yang berkualiti dan kurang memberi kesan kerosakan terhadap alam sekitar. Selain itu, produk fesyen mewah dihasilkan di kilang yang mengutamakan keselamatan dan hak pekerja-pekerja dengan upah yang setimpal dengan risiko pekerjaan. Kilang mereka pula mempunyai kredensial eko yang lebih baik kerana penggunaan material yang pro alam sekitar.
3. Kedai Vintaj Dan Pakaian Diguna Pakai Semula
Era pakaian vintaj telah kembali dan akan berterusan dalam masa terdekat. Perhiasan dan pakaian zaman ibu bapa dari tahun 90-an telah menjadi gaya ikutan ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Anak muda tidak lagi berpusu-pusu ke gedung membeli-belah, tetapi sebaliknya berkunjung ke kedai bundle untuk barang terbaru mereka. Pakaian- pakaian vintaj bukan sahaja sekadar menjadi ikutan ramai, bahkan harganya lebih berpatutan daripada kebanyakan kedai berjenama.
Apabila budaya pakaian vintaj mula menjadi tarikan orang ramai, kelestarian dalam industri fesyen juga menjadi lebih relevan. Jangka hayat pakaian terpakai akan menjadi lebih panjang apabila ia diguna semula oleh orang ramai. Nilai ini seharusnya diamalkan oleh rakyat Malaysia selain daripada membuang pakaian dan menyumbang kepada pencemaran di tapak pelupusan.
Tabiat guna semula juga menjadi motivasi pembeli untuk menghindari diri mereka daripada membeli-belah produk baru. Perkara ini menyebabkan permintaan fast fashion semakin kurang dan secara tidak langsung, sumber pencemaran daripada penghasilan berbilion pakaian tersebut dapat dikurangkan setiap hari.
Pada tahun 2021, budaya pakaian vintaj dan amalan guna semula semakin menjadi ikutan ramai. Ini ialah suatu trend anak muda atau generasi z yang harus dihargai dalam industri fesyen.
4. Pilih Jenama Yang Berteraskan Kelestarian
Jenis fabrik yang digunakan untuk menghasilkan stoking, seluar, skirt atau baju yang mesra alam akan menyumbang kepada pengurangan pencemaran alam sekitar. Pilihan pakaian yang kita lakukan akan mempengaruhi sumber bahan mentah seperti perlombongan petroleum dan pertanian kapas secara langsung. Tambahan lagi, pemprosesan bahan kimia pula diperlukan untuk pengeluaran serat yang tidak dapat diuraikan atau direputkan melalui aktiviti mikroorganisma.
Saban hari semakin banyak syarikat daripada industri pemakaian yang mengetengahkan istilah seperti “tanpa toksik”, “mesra alam”, “organik”, atau “plastik dikitar semula”. Ini menyebabkan pengguna sukar untuk mengenal pasti jenama pakaian yang benar-benar mengamalkan kelestarian alam sekitar dan slogan tersebut bukannya sekadar idea pemasaran.
Antara koleksi pakaian mesra alam di Malaysia ialah Terrae. Jenama ini menggunakan ‘econyl’ bermaterial nilon dan fabrik ini boleh seratus peratus dikitar semula kerana ia dihasilkan daripada jaring ikan yang terpakai di laut dan sisa-sisa kain. Terrae juga mengurangkan kesan karbon dengan pembungkusan berasaskan tumbuhan yang boleh di biodegradasi. Jenama ini juga hanya menggunakan sampul surat yang boleh dikitar semula.
5. Ketahui Penjagaan Pakaian Anda Dengan Betul
Label kecil yang dilekatkan di belakang jeans dan blaus itu mempunyai informasi tentang cara penjagaan pakaian tersebut. Material yang berlainan mempunyai cara pembasuhan atau pengeringan yang tersendiri. Sebagai contoh, pakaian sutera lebih sesuai dicuci dengan menggunakan tangan atau pengewapan.
Penggemar pakaian bermaterial denim pula boleh memakai seluar jeans mereka berulang kali sebelum melakukan cucian dan elakkan mencuci setiap kali selepas pemakaian. Ini bertujuan untuk menjaga kualiti kain tersebut dan secara tidak langsung kita dapat mengurangkan penggunaan air dan bahan pencuci yang menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Selain itu, gunakanlah mod putaran mesin basuh untuk membuang lebihan air dan keringkan pakaian-pakaian di bawah matahari. Sinaran UV dapat membantu untuk mensterilkan dan membasmi kuman-kuman yang terdapat di pakaian. Akan tetapi, pakaian berwarna gelap pula perlu dikeringkan di tempat yang teduh untuk mengelakkan pudar.
Sebagai panduan umum, antara bahan terbaik untuk dikitar semula ialah nilon, poliester, kapas dan benang bulu biri-biri. Selain itu, contoh bahan organik ialah linen, rami, dan yang terbaru ialah Tencel dan Monocel. Kedua-dua serat itu diperbuat daripada kayu dan buluh.
Tabiat pembelian pakaian berteraskan kelestarian alam sekitar bukanlah sesuatu yang normal buat rakyat Malaysia kerana fesyen tidak dapat dipisahkan dengan ikutan atau ‘trend’. Walaupun isu masalah pencemaran ini sukar diselesaikan, kegigihan dan ketekunan adalah kunci mewujudkan kelestarian fesyen untuk generasi akan datang.
Syarikat-syarikat fesyen seharusnya sedar akan peranan mereka dalam pencemaran fesyen pantas dan pengaruh yang mereka bawa terhadap kesedaran pelanggan tentang isu ini.
Orang ramai juga tidak boleh berpuas hati dengan menganggap tindakan industri fesyen sudah mencukupi untuk menangani masalah ini. Rakyat Malaysia sendiri perlu mengamalkan tabiat pembelian pakian yang mampu menjaga keindahan alam sekitar.
Industri fesyen dan para pengguna hendaklah berganding bahu dalam mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan bumi kita daripada fenomena fesyen pantas.
Penulis; Fatin Natrah Binti Md Sood, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.