Wednesday, September 27, 2023
HomeArtikel5 Tips Untuk Berhenti Merokok

5 Tips Untuk Berhenti Merokok

Kebanyakan perokok tahu merokok sangat membahayakan kesihatan mereka dalam jangka masa pendek mahupun panjang. Hal ini disebabkan oleh bahan-bahan kimia yang dibebaskan daripada rokok yang boleh menyebabkan kerosakan pada beberapa organ dalam tubuh badan manusia.

Antara kesan-kesan daripada tabiat merokok adalah seperti barah, penyakit jantung, strok, kemandulan dan osteoporosis. Kebiasaannya perokok tegar akan menghadapi kesukaran untuk berhenti daripada tabiat merokok akibat ketagihan yang melampau.

Berikut adalah beberapa cara berkesan bagi perokok yang berhasrat untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut.

1.    Mempunyai Tujuan Untuk Berhenti

Sebagai persediaan untuk seseorang berhenti merokok, mereka perlu mempunyai alasan tersendiri. Alasan ini akan dapat menguatkan lagi keazaman mereka untuk segera berhenti merokok. Antaranya:

Menjaga Kesihatan

Merokok meningkatkan risiko seseorang untuk menghidap barah paru-paru, masalah dalam salur pernafasan, strok dan pelbagai penyakit lain yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh kandungan bahan kimia yang terdapat di dalam rokok.

Mengelakkan Pembaziran

Kebiasaannya, perokok tegar akan menghabiskan sekurang-kurangnya RM10 sehari bagi setiap kotak rokok. Jika dihitung jumlahnya, seseorang yang merokok selama setahun akan menghabiskan wang sebanyak RM3650 yang mana merupakan satu kerugian besar.

Melindungi Orang Sekeliling

Setiap hembusan asap rokok yang dihidu oleh orang sekeliling akan memberi impak yang sama seperti perokok bahkan mungkin lebih teruk berbanding perokok. Hal ini kerana asap rokok yang dihembuskan mempunyai kandungan gas karbon monoksida yang tinggi dan menyebabkan individu yang menghidu asap tersebut kekurangan oksigen dalam darah.

Menunjukkan Contoh Yang Baik Kepada Anak-Anak

Anak-anak itu diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Jika ibu bapanya menunjukkan contoh perilaku yang tidak baik, maka rosaklah anak-anak tersebut kerana mereka lebih cenderung untuk melakukan apa yang mereka lihat. Jadi ibu bapa tidak boleh menunjukkan contoh yang tidak baik seperti merokok pada anak-anak.

2.    Membuat Perancangan

Berhenti merokok bukanlah perkara yang mudah. Proses berhenti merokok memerlukan rancangan yang sesuai untuk membantu perokok mencapai matlamatnya. Hal ini kerana proses berhenti merokok boleh diibaratkan seperti proses untuk kuruskan badan.

Perokok perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk dicapai dalam tempoh yang tertentu. Secara tidak langsung, ini akan menjadikan proses tersebut lebih teratur dan berkesan.

Seterusnya, perokok perlulah menetapkan tarikh yang sesuai untuk berhenti merokok mengikut kesesuaian tempat dan sekeliling. Bagi yang beragama Islam adalah lebih baik jika permulaan proses berhenti merokok ditetapkan pada puasa iaitu bulan Ramadhan.

Hal ini dapat membantu perokok mengurangkan ketagihan mereka memandangkan merokok akan menyebabkan puasa seseorang muslim itu terbatal. Untuk permulaan, perokok boleh menetapkan ‘Tempoh Dilarang Merokok’bermula untuk seminggu yang pertama atau sebulan yang pertama mengikut kemampuan masing-masing. Ini akan memudahkan perokok untuk membuang tabiat merokok dan berhenti serta merta.

Bagi perokok yang menghadapi kesukaran untuk berhenti secara keseluruhan, adalah disarankan untuk menyediakan buku rekod atau catatan bagi mencatat jumlah rokok yang telah dihisap dari hari ke hari.

Tujuan buku rekod ini diadakan adalah untuk mengenal pasti ‘trend’ atau kekerapan merokok dari semasa ke semasa. Tidak hanya rekod, ianya perlu disertakan dengan usaha dari perokok untuk mengurangkan kekerapan jumlah rokok yang telah dihisap dari hari ke hari. Lama kelamaan perokok akan dapat untuk berhenti merokok secara keseluruhan.

3.    Elakkan Perkara Yang Menjadi Pencetus Kepada Keinginan Merokok

Adalah disarankan agar seseorang perokok untuk mengetahui punca dan perkara yang menggalakkanya mereka merokok. Hal ini adalah supaya mereka lebih mudah mencari solusi terbaik untuk mengatasi punca tersebut. Antara faktor utama yang sering menjadi pencetus kepada tabiat merokok adalah:

Pengaruh Rakan Sebaya

Kebanyakan individu yang merokok dipengaruhi oleh rakan terdekat terutamanya bagi golongan remaja. Hal ini kerana kebiasaannya golongan remaja akan lebih menghabiskan masa mereka bersama dengan rakan sebaya.

Fasa remaja merupakan fasa di mana seseorang akan lebih cenderung untuk melakukan sesuatu perkara baru. Keadan akan menjadi lebih teruk jika mereka bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai tabiat yang buruk seperti merokok.

Sedikit sebanyak ianya akan mempengaruhi keinginan mereka untuk mencuba perkara tersebut. Bagi mereka merokok dianggap ‘cool’ dan dilihat sebagai simbol kematangan seseorang.

Oleh itu, seseorang perokok yang berhasrat untuk berhenti daripada merokok perlu menjauhi individu yang boleh menjadi pencetus kepada keinginan merokok. Disarankan kepada mereka untuk berdamping dengan orang-orang yang dapat memberikan kata-kata semangat dan mendorong mereka untuk mencapai matlamat.

Adalah lebih baik jika dapat mengajak rakan-rakan lain yang turut merokok untuk bersama-sama berhenti daripada tabiat tersebut.

Emosi

Di dalam rokok terdapat satu bahan kimia yang dipanggil nikotin. Nikotin bertindak memberi ketenangan sementara kepada perokok. Kebanyakan individu merokok untuk mendapatkan ketenangan ketika mengalami gangguan emosi seperti tekanan dan stress.

Masalah rumah tangga dan di tempat kerja merupakan antara faktor seseorang mengalami tekanan yang menyebabkan mereka untuk mendapatkan ketenangan melalui merokok.

Untuk mengatasi masalah ini seseorang tidak seharusnya mengambil jalan singkat dengan merokok. Pelbagai alternatif lain yang dapat dipraktikkan untuk mengeluarkan diri dari tekanan dan masalah, antaranya mendengar muzik, melihat pemandangan hijau dan bersiar-siar.

Bagi individu yang beragama Islam lebih digalakkan untuk membaca al-Quran, berzikir dan berdoa kepada Allah. Dengan ini, perokok dapat mengelakkan diri mereka dari mendapatkan ketenangan yang sementara melalui merokok.

4.    Terapi Gantian Nikotin (NRT)

Nikotin adalah bahan ketagihan utama dalam tembakau. Apabila seseorang menggunakan tembakau, banyak bahagian badan menjadi terbiasa dengan nikotin di dalamnya. Apabila seseorang mencuba untuk berhenti merokok, bermakna mereka juga akan berhenti dari mengambil nikotin.

Ini akan menyebabkan gejala tarikan terhadap badan perokok tersebut. Gejala tarikan adalah gangguan terhadap  proses fisiologinya akibat dihentikan pengambilan rokok, seperti pening kepala, insomnia, resah dan muntah.

Hal ini kerana nikotin dalam tembakau menyebabkan kebergantungan fizikal badan terhadapnya dan sistem badan akan mengalami kerana sistem badan menjadi tidak terbiasa tanpa nikotin.

Antara kaedah rawatan yang sering digunakan bagi perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok adalah melalui terapi gantian nikotin atau lebih dikenali sebagai Nicotin Replacement Therapy (NRT).

NRT berfungsi membekalkan nikotin tanpa bahan kimia yang kebiasaannya terdapat didalam tembakau  rokok, dalam kuantiti yang sedikit untuk menggantikan nikotin yang terdapat didalam rokok. Dengan ini perokok dapat mengurangkan rasa ketagihan terhadap rokok dan membantu melegakan gejala tarikan yang akan dihidapi akibat berhent merokok.

Ada beberapat jenis NRT yang dapat digunakan dan cara menggunakannya, antaranya:

Jenis NRTCara untuk dapatkanCara menggunakan
Patch nikotinFarmasi tanpa preskripsi doktorLekatkan patch pada kulit yang bersih dan tidak berbulu seperti leher atau bahu Biarkan patch tersebut lekat pada kulit selama 16 jam atau 24 jam bergantung pada kekerapan merokok.
Gum nikotinFarmasi tanpa preskripsi doktorMasukkan ke dalam mulut dan kunyah sebanyak 10 kali. Kemudian letakkan di antara pipi dan gusi. Kemudian ulang perkara yang sama sehingga rasa gum itu hilang
Lozenge nikotinFarmasi tanpa preskripsi doktorLetakkan dan kemam di dalam mulut seperti gula-gula hingga larut Jangan gigit atau kunyah
Inhaler nikotinDengan preskripsi doktorKartrij dilekatkan pada bibir mulut Sedut dengan dalam atau berterusan selama 20 minit
Spray nasalDengan preskripsi doktorPam botol yang mengandungi nikotin Dongakkan kepala ke belakang Kemudian masukkan ke hidung dan semburkan

5.    Dapatkan Bantuan Pakar

Sebilangan besar daripada perokok tidak mempunyai motivasi dan tekad yang kuat. Mereka akan lebih cenderung untuk kembali melakukan tabiat buruk tersebut jika tiada orang kedua yang memainkan peranan dalam pemantauan semasa proses berhenti merokok ini dilaksanakan.

Kebanyakan mereka memerlukan bantuan mentor dan psikologi untuk keluar dari tabiat buruk buruk tersebut. Mari kita lihat beberapa bantuan luaran yang boleh anda gunakan untuk menghilangkan ketagihan terhadap rokok.

Konsultasi Dengan Ahli Terapi

Terdapat ahli terapi ketagihan terlatih yang boleh membantu perokok mengatasi masalah mental seperti kemurungan dan kegelisahan yang mendorong mereka kepada ketagihan seperti merokok dan alkohol.

Cari seseorang di kawasan berdekatan yang secara profesional dapat membantu untuk menghilangkan kegelisahan dan kemurungan. Ahli terapi mungkin akan memberi perokok beberapa kaedah rawatan untuk membantu keluar dari tabiat buruk tersebut.

Bantuan Daripada Psikiatri

Pakar psikiatri dapat membantu perokok dengan bantuan farmakologi dalam mengatasi ketagihan. Sebaiknya dapatkan bantuan doktor perubatan (MD) yang terlatih dalam psikiatri atau doktor osteopati (DO) yang mengetahui mengenai ubat-ubatan preskripsi yang tepat yang membantu mengurangkan ketagihan.

Pakar psikiatri juga dapat membantu melalui bimbingan motivasi yang dapat membuat perokok bertekad untuk mencapai matlamat dari berhenti merokok.

Sertailah Kumpulan Yang Tidak Merokok

Mencuba sendiri untuk berhenti dari kebiasaan merokok mungkin tidak memberi anda motivasi yang cukup untuk berjaya dengan perancangan yang dibuat. Perokok sentiasa menerima tekanan rakan sebaya dan merasa kurang percaya diri.

Apabila perokok adalah sebahagian daripada kumpulan yang tidak merokok, secara tidak langsung mereka akan mendapat motivasi dan pertolongan yang diperlukan dari kumpulan tersebut untuk menghentikan ketagihan tersebut.

Pusat Pemulihan

Sekiranya perokok berulang kali gagal menghentikan ketagihan merokok, maka mereka digalakkan untuk berada di pusat pemulihan narkotik pesakit untuk mendapatkan rawatan. Ini memberi peluang untuk dirawat oleh profesional terlatih yang sepenuhnya berdedikasi untuk memulihkan mangsa ketagihan. Di pusat pemulihan, mereka juga mendapat suasana yang paling kondusif dengan sokongan kumpulan yang sangat baik untuk menghentikan ketagihan.

Penulis; Muhamad Nurnajmuddin Bin Hazenan, pelajar tahun 3 Fakulti Sains dan Teknology, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
RELATED ARTICLES

Most Popular