Mereka yang berperwatakan introvert sering dilihat sebagai seorang yang tidak menarik, kurang bersosial dan membosankan. Banyak perspektif buruk yang sering dikaitkan dengan personaliti introvert ini sehingga dilihat sebagai suatu kekurangan yang perlu dielakkan.
Individu berpersonaliti introvert dilihat sebagai sukar didekati dan sukar untuk dijadikan sahabat.
Oleh itu, mereka sering dijadikan pilihan terakhir dalam pelbagai situasi seperti kerja berkumpulan, bersukan dan bersosial. Walhal, introvert merupakan suatu personaliti yang memiliki banyak kelebihan berbanding personaliti lain.
Maka, apakah kelebihan berkawan dengan individu introvert? Terdapat enam kelebihan berkawan dengan individu introvert.
1. Membantu Menyelesaikan Masalah
Introvert dapat membantu anda menyelesaikan masalah. Disebabkan oleh sifat semula jadi mereka, individu introvert lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, mereka berfikir dengan lebih mendalam sebelum berkata-kata dan mengeluarkan sebarang keputusan.
Sifat ini memberi kelebihan yang besar apabila mereka berada di dalam situasi yang memerlukan pemikiran kritikal dan kreatif.
Sifat mereka yang gemar mengambil masa untuk berfikir dan memerhati membentuk mereka menjadi seorang yang lebih terbuka dalam memahami pelbagai perspektif kehidupan serta mahir membaca suasana dan keperibadian seseorang.
Oleh itu, mereka kerap menjadi peacemaker atau decision maker di dalam suatu perkelahian dan perbincangan kerana pandangan mereka yang dianggap neutral dan tidak berat sebelah.
2. Mengurangkan Kebarangkalian Anda Untuk Mendapat Musuh
Berkawan dengan individu introvert dapat mengurangkan kebarangkalian anda untuk mendapat musuh dan masalah persahabatan berbanding extrovert yang lebih terhadapan dan berpeluang mendapat musuh lebih ramai berbanding kawan.
Hal ini kerana, personaliti introvert dikenali sebagai personaliti yang suka akan kedamaian akan membuatkan anda berada di dalam pihak neutral.
Sebagai contoh, apabila berlaku pergaduhan atau perdebatan, individu introvert tidak akan dikaitkan atau dipersalahkan kerana dianggap sebagai pihak neutral yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.
3. Lebih Matang
Individu introvert sering dikenali dengan kematangan mereka. Mereka mampu mempelajari dan menyelesaikan tugasan mereka tanpa memerlukan bantuan serta mampu untuk fokus pada tugasan mereka tanpa diganggu dengan persekitaran mereka.
Oleh itu, mereka cenderung memahirkan sesuatu skill dengan lebih cepat dan baik. Sebagai contoh, mereka mampu mengasah skill mereka daripada skill memasak sehingga skill membaiki alat elektronik dengan hanya mempelajarinya daripada video YouTube.
Perwatakan mereka yang matang dan boleh menjadi tempat bergantung adalah sangat penting apabila anda ingin meneroka perkara baharu.
Secara mudahnya, individu dengan perwatakan introvert ialah individu yang sangat berdikari dan mampu menjadi tempat kebergantungan apabila keadaan berada di luar kawalan.
4. Membantu Anda Mengurangkan Perbelanjaan Harian
Berkawan dengan individu introvert boleh membantu anda mengurangkan perbelanjaan harian. Introvert merupakan individu yang mahir dalam menguruskan kewangan.
Hal ini kerana, mereka jarang keluar ke tempat awam tanpa sebarang urusan penting seperti membeli barang keperluan atau urusan kesihatan.
Mereka juga akan meminimumkan masa yang dihabiskan di tempat awam kerana ianya akan menghabiskan tenaga mereka. Mereka jarang dijemput ke mana-mana aktiviti sosial malah lebih gemar melakukan segala aktiviti di rumah termasuk meluangkan masa dengan kenalan atau keluarga mereka.
Oleh itu, menjadi teman rapat mereka dapat membantu anda untuk tidak menghadiri segala perjumpaan atau majlis yang banyak berbelanja seperti perjumpaan dan lawatan kelas. Secara tidak langsung, anda dapat menjimatkan duit daripada membeli pakaian baharu, perhiasan baharu dan sebagainya.
5. Mereka Adalah Pendengar Yang Baik
Mempunyai individu introvert sebagai peneman memberi tempat untuk anda meluahkan segala kerisauan dan rahsia yang tersemat di dada. Introvert amat dikenali sebagai seorang pendengar yang baik.
Apabila mereka berada di dalam suatu perbincangan atau pergaulan, mereka lebih cenderung untuk mendengar dan memahami penyampaian sahabat mereka daripada menyampaikan buah fikiran mereka.
Sifat semula jadi mereka yang pendiam mewujudkan keselesaan kepada sahabat mereka untuk menceritakan segala rahsia tanpa sebarang kebimbangan. Bahkan mereka akan sentiasa menjaga Kepercayaan yang diberikan kerana mereka lebih memahami akan kesukaran dan keberanian yang diperlukan untuk mempercayai dan berkongsi rahsia dengan seseorang.
6. Menghargai Persahabatan atau Hubungan
Introverts sangat menghargai dan menjaga hubungan yang mereka bina. Mereka lebih menghargai kualiti suatu hubungan berbanding kuantiti.
Oleh itu, introvert sukar untuk memiliki kawan yang ramai tetapi hubungan persahabatan yang dimiliki akan bertahan dengan lebih lama. Mereka memilih persekitaran mereka dengan lebih berhati-hati.
Mereka lebih memilih untuk memiliki kelompok kecil yang setia dalam persahabatan berbanding kelopok besar yang lebih berisiko. Yang paling penting, apabila mereka mula melabel anda sebagai sahabat atau teman mereka, mereka akan sentiasa menghargai anda seumur hidup mereka.
Kesimpulannya, individu berpersonaliti introvert masih mempunyai banyak kelebihan dan setiap individu introvert memiliki kelebihan yang berbeza mengikut perwatakan masing-masing.
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menghargai setiap keunikan yang dimiliki oleh semua manusia supaya dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.
Penulis; Maimunah Binti Mohd Fauzi, Fakulti Sains Dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.