6 Sebab Mengapa Aplikasi Tiktok Lebih Popular Berbanding Yang Lain | Dalam meniti arus kemodenan ini, sudah menjadi kebiasaan bahawa penggunaan media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook, Tiktok, Snapchat dan macam-macam lagi media sosial yang wujud di dunia ini dimiliki oleh semua orang tidak mengira usia dan kaum. Malah, pengguna media sosial juga kebanyakannya lebih suka untuk meneroka dan mencuba perkara baru.
Jika dilihat dari segi populariti, aplikasi Tiktok sekarang meningkat naik berbanding dengan aplikasi media sosial yang lain. Tambah-tambah lagi di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih ramai rakyat Malayisa yang telah terjebak dengan aplikasi media sosial Tiktok yang dulunya awal-awal dipandang remeh oleh kebanyakan rakyat Malaysia sendiri.
Persoalannya, apakah sebab menarik yang menjadikan aplikasi Tiktok ini semakin popular.
Berikut adalah beberapa sebab mengapa aplikasi Tiktok kini lebih menarik dan popular dari aplikasi media sosial lain yang ada pada zaman ini;
1. Trend Terkini
Aplikasi Tiktok menjadi tular sejak tahun lalu apabila wujudnya Perintah Kawalan Pergerakan akibat kebosanan dan minda yang tepu yang dilanda oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Orang ramai terjebak dengan aplikasi ini kerana ramainya yang menjadikan aplikasi tersebut sebagai trend terkini.
Walhal, aplikasi tersebut telah lama pun wujud dan digunakan di seluruh dunia tanpa kita sedar. Ia mungkin masih dianggap sebagai aplikasi yang baru pada sesetengah rakyat Malaysia dan juga ada segelintir daripadanya masih tidak tahu akan kewujudan aplikasi ini,
Rakyat Malaysia sendiri yang terlampau seperti ‘katak di bawah tempurung’ apabila viralnya aplikasi Tiktok ini. Aplikasi ini sebenarnya telah wujud sejak September 2016 yang dilancarkan oleh Zhang Yimin.
Aplikasi ini telah dimuat turun dan digunakan secara berleluasa di negara China sejak ia dilancarkan. Ia dirasmikan percuma menjelang tahun 2017 kerana mendapat sambutan yang tinggi. Aplikasi Tiktok ini telah meraih lebih daripada 500 juta pengguna aktif di seluruh dunia.
2. Mudah digunakan dan lebih menarik
Jika mahu dibandingkan dengan aplikasi media sosial yang lain seperti Twitter dan Instagram, aplikasi Tiktok lebih menarik dan mudah digunakan. Pengguna Tiktok tidak perlu mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengedit video berbanding pengguna aplikasi seperti YouTube.
Mereka hanya memerlukan modal yang rendah dan isi video yang menarik sahaja untuk dimuat naik di aplikasi Tiktok mereka. Video yang berdurasi lima belas saat hingga satu minit itu kadang-kala lebih menarik berbanding video yang dimuat naik di Youtube yang mempunyai durasi masa yang lebih lama.
Pengguna aplikasi Tiktok juga hanya memerlukan idea yang unik dan lain daripada yang lain jika mahu menarik minat pengguna media sosial yang lain. Malah, sudah banyak pengguna aplikasi media sosial yang lain seperti Instagram, Twitter dan Facebook yang menggunakan atau menghantar semula video Tiktok yang tular.
Seperti yang kita tahu, iklan yang ada di Youtube juga agak lama dan ada sesetengahnya yang tidak boleh dilangkah. Dengan adanya aplikasi Tiktok ini, iklan yang ditayangkan boleh dilangkah dan tidak perlu ditunggu lama-lama.
Tambahan pula, video yang terdapat di aplikasi Tiktok dapat dikongsi dengan sangat mudah. Terdapat butang kongsi di sebelah kanan skrin dan pengguna hanya perlu menekan butang itu.
Video tersebut dapat dikongsi ke pelbagai media sosial yang lain seperti Instagram, WhatsApp dan Twitter. Pengguna tidak perlu memuat turun video tersebut. Ini adalah salah satu sebab mengapa aplikasi Tiktok lebih popular daripada aplikasi lain.
Aplikasi ini juga mempunyai ‘filter’ yang tersendiri yang amat mudah digunakan. ‘Filter’ adalah salah satu fungsi yang membolehkan seseorang itu kelihatan cantik ataupun kelakar tanpa memerlukan seseorang itu untuk berhias mahupun melukis di wajah mereka.
Disebabkan ‘filter’ yang terdapat di aplikasi tersebut cantik dan menarik perhatian, ramai daripada pengguna media sosial ini telah mengadaptasi ‘filter’ tersebut ke media sosial lain seperti Instagram. Kebanyakan ‘filter’ yang terdapat di Instagram adalah berasal dari aplikasi Tiktok itu sendiri.
3. Pelbagai Genre Video
Jika dipandang dari sudut yang positif, video-video yang terdapat di aplikasi Tiktok bukan sahaja mengandungi video gelek dan mat rempit sahaja seperti yang diwar-warkan oleh segelintir rakyat Malaysia, walhal ia mengandungi pelbagai jenis bahasa dan genre video.
Antara genre video yang terdapat di aplikasi tersebut ialah genre pendidikan, bersukan, hiburan, ilmiah, motivasi, tarian dan macam-macam lagi. Antara video yang popular yang menjadi perhatian di aplikasi tersebut bagi kebanyakan rakyat Malaysia ialah video yang bertemakan hiburan tetapi mempunyai mesej yang ingin disampaikan di sebalik video itu sendiri.
Terdapat juga akaun Tiktok yang memberikan motivasi dan inspirasi kepada orang ramai untuk meneruskan kehidupan seharian yang semakin rumit ini lebih-lebih lagi di musim pandemik Covid-19 ini. Malah, mereka juga lebih peka dan suka memberikan pendedahan tentang masalah kesihatan mental yang mungkin masih ramai yang tidak mengenali dan mengetahuinya.
Pengguna-pengguna aplikasi Tiktok yang memberikan kesedaran ini bukanlah orang biasa-biasa namun kebanyakan daripadanya adalah pakar psikologi dan doktor yang mempunyai sijil yang diiktiraf. Jadi, info yang disampaikan tidaklah diragui dan disalahtafsirkan oleh orang ramai.
4. Menjana Pendapatan
Selain daripada memuat naik video yang menarik dan kelakar, aplikasi Tiktok juga menyediakan ruang bagi pengguna-penggunanya untuk menjana pendapatan. Aplikasi Tiktok akan membayar penggunanya yang diiktiraf dan mempunyai pengikut sekurang-kurangnya sepuluh ribu hingga satu juta dan jumlah tontonan video yang tinggi.
Aplikasi ini juga sudah sama taraf dengan aplikasi YouTube yang turut menyediakan perkhidmatan sama seperti itu. Namun, tontonan di YouTube bagi seorang ‘beginner’ untuk mencapai sekurang-kurangnya satu ribu tontonan sahaja amatlah susah jika dibandingkan dengan ‘beginner’ bagi seorang pengguna Tiktok.
Jika seseorang itu mendaftar masuk ke akaun Tiktoknya dan menggunakan tetapan umum bagi akaunnya, video yang dimuat naik olehnya hanya akan mengambil masa dalam kira-kira satu hari untuk viral dan trending jika isi videonya menarik dan unik. Videonya akan berlegar-legar di ruang ‘for your page’ atau lebih dikenali sebagai ‘fyp’ jika genre videonya menepati citarasa pengguna Tiktok yang lain.
Dengan cara ini, videonya dengan mudah akan mendapat tontonan yang tinggi dan sukaan yang tinggi. Remaja juga berkesempatan tinggi untuk menjana pendapatan dari aplikasi ini tanpa mengeluarkan modal yang besar.
5. Medan Berdakwah
Semenjak viralnya aplikasi Tiktok ini, ia sudah menjadi salah satu medan berdakwah bagi anak muda. Persepsi dulunya yang ada pada kebanyakan rakyat Malaysia yang ‘anti’ dengan aplikasi tersebut atau kita biasa mendengar perkataan mengecam yang telah ditarik balik oleh kebanyakan daripada mereka.
Hal ini demikian kerana, di Tiktoklah ramai anak muda dan remaja yang cuba untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat. Tiktok bukanlah sekadar tempat untuk bersuka ria dan berlagha sahaja malah ianya telah menjadi tumpuan pendakwah bagi melaksanakan tanggungjawab mereka,
Sudah banyak video yang terdapat di Tiktok yang diviralkan dengan isi kandungannya yang berasaskan dakwah Islamiah. Ramai remaja dan anak muda yang lebih tertarik untuk melihat video seperti ini di aplikasi tersebut kerana kebanyakan video yang dimuat naik adalah dari kalangan remaja dan anak muda itu sendiri.
Dakwah seperti inilah yang menjadikan ia lebih berkesan kerana mereka tidak menggunakan perkataan yang kasar dan kesat dalam menyampaikan dakwah. Malah dakwah mereka disampaikan dalam keadaan ikhlas dan dengan niat yang suci. Isi kandungan dalam video tersebut juga dengan mudahnya dapat dirasa dan dihayati oleh penonton itu sendiri.
6. Sumber Ilmu Pengetahuan
Selain daripada berdakwah, aplikasi Tiktok juga telah dijadikan sebagai salah satu tempat untuk menimba ilmu tidak kira dari segi akademik mahupun kemahiran dalam kehidupan seharian.
Sebagai contoh, telah ramai guru yang diiktiraf yang menggunakan aplikasi tersebut untuk menyampaikan ilmu lebih-lebih lagi pada musim PKP yang tidak digalakkan untuk pelajar ke sekolah. Ilmu yang disampaikan tidak terhad kepada pelajar sekolah sahaja malah ianya sesuai untuk pelbagai peringkat usia.
Disebabkan itu, telah wujudnya hashtag TiktokGuru bagi membantu sesiapa pun yang ingin mencari video yang berkaitan dengan ilmu penegtahuan. Hashtag tersebut sudah tular di bahagian ‘search’ apliaksi tersebut sejak sekian lama dan sampai kini hashtag tersebut masih ‘trending’. Ini menunjukkan bahawa aplikasi Tiktok juga dapat menjadikan salah satu sumber ilmu pengetahuan.
Video memasak yang berdurasi lebih kurang satu minit juga banyak dimuat naik di aplikasi tersebut bagi membantu sesiapa yang ingin mencuba masakan baru dengan mudah dan pantas. Malah terdapat juga video yang berasaskan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti mengubah suai bilik, membaiki laptop secara sendiri, tips-tips untuk berjumpa bakal mertua, mencipta resepi baharu dan macam-macam lagi. Tambahan pula aktiviti-aktiviti yang dicadangkan ini amat sesuai dilakukan di rumah di musim PKP.
Kesimpulannya, aplikasi Tiktok juga memberikan banyak faedah positif dan pelbagai ilmu pengetahuan kepada kita semua. Ianya bergantung kepada kita sendiri sama ada ingin mengambil sisi yang baik ataupun sisi yang buruk.
Aplikasi tersebut bukanlah hanya menyajikan hiburan semata-mata malah pelbagai informasi terkini dan menarik yang boleh dipelajari dan dijadikan pedoman.
Tidak hairanlah mengapa aplikasi ini kini menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia berbanding aplikasi media sosial yang lain. Pemikiran rakyat Malaysia juga mungkin boleh diubah sedikit demi sedikit untuk mencapai kehidupan yang harmoni.
Namun, diharapkan agar tiada pihak yang menyalahgunakan aplikasi tersebut bagi memanfaatkan diri sendiri. Gunakanlah ia secara bijak dan berhemah. Semoga aplikasi ini memberikan manfaat kepada semua.
Penulis; Athirah Fatini Zulaikha Binti Khairu Danial, Pelajar Tahun 2, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.