Pernahkah anda mempunyai pengalaman di mana anda tidak menyedari apa yang dikatakan oleh guru di dalam kelas selama sepuluh minit terakhir. Atau mungkin anda menghabiskan masa dengan hanya melihat jam daripada melihat apa yang diajar oleh guru di hadapan kelas ataupun buku yang dibuka di atas meja anda. Atau yang paling teruk, anda mendapati diri anda tertidur di dalam kelas.
Setiap orang belajar dengan cara yang berbeza. Mungkin perkara tersebut terjadi disebabkan beberapa faktor seperti tidak minat terhadap subjek tersebut ataupun suasana pembelajaran yang membosankan.
Fokus atau memberi perhatian di dalam kelas memerlukan kerja yang keras daripada seseorang pelajar. Walaupun anda begitu minat dengan sesuatu subjek tersebut, akan tetapi apabila dihadapi dengan suasana kelas yang begitu hangat, ditambah lagi dengan mengalami tidak cukup tidur, ia akan merubah menjadi suatu cabaran.
Tambahan pula, apabila tidak dapat memberi perhatian di dalam kelas, ia juga bakal memberi kesan apabila di dalam dewan peperiksaan kerana tidak memahami apa yang diajar oleh guru. Oleh itu, di bawah merupakan petua utama untuk memastikan anda kekal fokus atau kekal memberi perhatian di dalam kelas seterusnya berjaya di dalam pelajaran anda.
1. Pastikan Anda Terhidrasi Dan Banyakkan Berehat
Kaedah terbaik untuk kekal fokus di dalam kelas ialah dengan memastikan diri anda kekal terhidrasi dan juga banyakkan berehat. Walaupun kaedah ini tiada kaitan dengan keadaan di dalam kelas, akan tetapi ia merupakan kaedah terbaik untuk anda mempunyai tenaga untuk fokus di dalam kelas.
Kaedah ini mengenai apa yang anda lakukan sebelum pergi ke kelas, iaitu kekal terhidrasi dan banyakkan berehat. Anda haruslah mendapatkan air yang mencukupi sehingga anda tidak merasa terhidrasi.
Sebagai contoh, anda boleh membawa sebotol air ke dalam kelas sebagai langkah berjaga-jaga apabila anda berasa dahaga. Setiap kali anda berasa dahaga anda boleh minum air tersebut dan seterusnya boleh mengekalkan tahap terhidrasi anda.
Kajian telah mengatakan bahawa air merupakan bahan kedua terpenting dalam tubuh badan manusia selepas oksigen. Malah, lebih 60 peratus daripada tubuh manusia terdiri daripada air.
Selain itu, tidur sangat penting untuk tetap fokus semasa anda berada di kelas. Sekiranya anda terlalu kurang tidur atau jika anda tidur dengan cara yang tidak sepatutnya, ia akan memberi kesan kepada anda untuk terus hilang fokus pada waktu siang.
Perhatikan jadual tidur anda dengan teliti dan lihat apakah ada perubahan yang boleh anda buat. Tidur malam yang mencukupi boleh membuatkan anda merasa lebih segar, lebih peka dan gembira untuk menghadapi hari seterusnya.
Hal ini boleh mengelakkan anda dari merasa letih ketika berada di dalam kelas. Selain dapat mengembalikan tenaga badan anda, terdapat banyak juga kebaikan dengan mendapatkan tidur yang cukup.
2. Mengelakkan Dari Gangguan
Apabila anda hilang fokus di dalam kelas, apakah yang anda lakukan ? Adakah anda membuka telefon bimbit untuk melihat isu semasa di media sosial ? Adakah anda mengajak rakan di sebelah anda untuk berbual? Adakah anda melihat sesuatu atau termenung di luar tingkap ?
Apa pun tindakan yang dilakukan, ia merupakan satu gangguan untuk anda, dan anda perlulah berusaha mengelakkannya. Anda mesti mencari jalan untuk kekal memberi perhatian semasa di dalam kelas.
Tarik diri bersama dan paksa diri anda untuk berfikir kembali dalam pelajaran. Ia akan menjadi kebiasaan dan anda akan belajar untuk kurang termenung atau bermimpi di dalam kelas. Sebagai contoh anda boleh mengambil tempat duduk di hadapan kelas untuk mengurangkan kebarangkalian anda bermain telefon bimbit kerana berdekatan dengan guru ataupun pensyarah.
Jika ia masih mengganggu, anda boleh meletakkan telefon anda pada zon senyap ataupun mematikannya. Duduk bersebelahan dengan rakan yang rajin juga dapat memberi kesan yang baik untuk kekal fokus jika dibandingkan dengan rakan yang suka berbual dan mudah untuk mengalihkan perhatian anda.
Malah, anda juga perlu mengambil tempat yang jauh dengan tingkap, hal ini memudahkan anda dari diganggu dengan perkara-perkara yang menarik di luar kelas.
Walaupun begitu, anda perlulah juga menitikberatkan berkenaan udara segar. Jangan duduk terlalu jauh dengan tingkap kerana udara segar juga dapat memberikan anda kesegaran untuk kekal memberi perhatian di dalam kelas.
3. Membuat Nota Dengan Terperinci
Membuat nota dari apa yang dikatakan oleh guru dapat membuatkan anda sentiasa memberi perhatian. Hal ini kerana, otak anda sedang mencuba untuk mengetahui apa yang akan dikatakan oleh guru anda untuk ditafsirkan ke dalam tulisan.
Sekiranya anda sudah mengetahui sesuatu topik tersebut, ataupun topik tersebut sudah ditulis di dalam buku anda, anda mungkin sudah merasa bahawa tidak perlu untuk menulis nota berkenaan topik tersebut. Akan tetapi, apabila anda tidak membuat nota, ia akan membuatkan anda susah untuk memberi perhatian kerana anda hanya mendengar secara pasif berkenaan apa yang dikatakan tanpa melakukan apa-apa.
Oleh sebab itu, membuat nota dengan terperinci memaksa anda untuk menumpukan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh guru di dalam kelas, memprosesnya dan kemudian menulisnya dalam bentuk tulisan.
Bukan sahaja dapat melihat nota tersebut, malah ia juga dapat membuat anda mengingati isi nota tersebut. Rasanya seperti membuang masa mencatat sesuatu yang telah anda ketahui, akan tetapi adakah anda ingin terus tidak memberi perhatian di dalam kelas. Adakah duduk menulis nota lebih membuang masa daripada termenung melihat ke luar tingkap atau berbual bersama rakan ?
4. Cari Sumber Motivasi
Ada kalanya anda sukar untuk memberi perhatian di dalam kelas yang sememangnya anda tidak minat dan seterusnya anda memutuskan bahawa kelas tersebut tidak penting. Mungkin subjek tersebut merupakan subjek yang susah ataupun subjek tersebut tiada kaitan dalam kerjaya yang anda pilih untuk masa hadapan.
Oleh itu, anda perlulah mencari motivasi untuk meneruskan memberi perhatian kepada subjek tersebut. Walaupun ianya tiada kaitan dengan kerjaya anda, akan tetapi ia boleh digunakan untuk memperluaskan ilmu pengetahuan anda.
Antara contoh motivasi yang anda boleh lakukan ialah dengan menyogok diri sendiri dengan hadiah. Diri sendiri akan terdorong untuk belajar dan memberi perhatian bila ada hadiah. Hadiahkan diri anda dengan perkara yang anda suka, sebagai contoh “Jika subjek ini aku mendapat A, aku akan beli sepasang jam tangan untuk diri sendiri”. Cara yang mudah dan mungkin akan berkesan dan secara langsungnya anda akan fokus dan beri perhatian di dalam kelas.
Selain itu, sentiasalah mengingatkan diri anda dengan perkara yang positif. Sentiasa mengingatkan bahawa belajar itu penting walaupun ada sesetengah subjek yang anda tidak minati. Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa banyak perkara baik boleh dicapai dengan belajar, seperti apabila anda fokus di dalam kelas, anda dapat menjawab soalan di dalam peperiksaan.
Tidak lupa juga, anda boleh mengambil petikan ayat motivasi dari tokoh-tokoh terkenal untuk terus membuatkan anda bersemangat di dalam kelas. Sebagai contoh, “Action is the foundational key to all success”.
Apabila anda membaca kata motivasi tersebut, ia akan membuatkan anda lebih bersemangat untuk berjaya secara tidak langsungnya tahap kefokusan anda akan meningkat di dalam kelas terhadap semua subjek.
5. Bersedia Sebelum Kelas Dan Mengambil Bahagian
Kadang-kadang anda hanya perlu berada dalam fikiran atau mindset yang betul sebelum dapat memberi perhatian. Sebelum kelas bermula, cuba perhatikan kerja rumah anda, baca dari buku kuliah anda, atau lihat nota hari sebelumnya.
Ini dapat membuat otak anda masuk ke “mod kelas”, sehingga anda dapat lebih mudah fokus. Mempersiapkan diri dengan mendapatkan semua yang anda perlukan dan mengatur meja anda juga dapat membantu anda memberi tumpuan. Ini akan mengurangkan gangguan, seperti melukis dengan menggunakan pen ketika dalam kelas.
Mengambil bahagian di dalam kelas juga dapat membantu anda memberi tumpuan. Penyertaan anda di dalam kelas membuat minda anda terlibat dan fokus pada pelajaran kerana anda tidak boleh termenung atau memikirkan sesuatu yang lain.
Apa sahaja yang boleh anda lakukan untuk mengambil bahagian, dari mengemukakan soalan hingga masuk ke projek kumpulan atau perbincangan, dapat sangat membantu anda. Kaedah yang baik untuk menyertai kelas adalah dengan bertanya soalan.
Apabila anda mempunyai soalan mengenai sesuatu yang anda tidak faham atau guru mengatakan sesuatu dan anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya, angkat tangan dan bertanya. Dengan soalan anda tersebut, ia boleh membuatkan anda fokus terhadap jawapan yang diberikan oleh guru seterusnya menjawab persoalan yang anda tidak faham.
6. Lakukan Penyelidikan Tambahan
Kadang kala anda kehilangan tumpuan di dalam kelas kerana anda tidak dapat memahami apa yang dikatakan oleh guru anda. Ini adalah perkara biasa dan difahami. Sekiranya anda membuat kajian tambahan agar anda dapat memahami pelajaran anda dengan lebih baik, anda mungkin lebih senang untuk memahaminya.
Anda boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai hampir semua subjek di pelbagai tempat dalam internet. Apabila anda tidak memahami, terus gunakan telefon bimbit anda untuk mencari berkaitan hal tersebut. Jangan pula mengambil kesempatan untuk membuka media sosial.
Anda juga boleh mendapatkan bantuan subjek dari wikiHow. Sebagai contoh, jika anda mengalami kesukaran untuk memahami subjek matematik, anda boleh pergi ke Math is Fun atau Wolfram Alpha untuk mendapatkan lebih banyak bantuan berkenaan matematik. Dengan melakukan penyelidikan tambahan, secara tidak langsung akan membuatkan anda tidak tersasar jauh dan masih boleh mengikuti apa yang diajar oleh guru anda.
Penulis; Muhammad Asriq Ikhwan Bin Jamaluddin, pelajar tahun 3 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.