Thursday, February 13, 2025
HomeArtikelAdakah Kita Telah Membantu Negara Dalam Menghadapi Ancaman Covid-19?

Adakah Kita Telah Membantu Negara Dalam Menghadapi Ancaman Covid-19?

Pada penghujung tahun 2019  dan awal tahun 2021, kita telah mula mendengar serangan virus corona dan kemudian dikenali dengan Covid-19  di sebuah daerah di Negara China yang di kenali dengan nama Wuhan.

Pada ketika itu ramai yang tidak menjangka impak yang sangat besar bakal melanda dunia. Saya masih ingat  media mengaitkan kejadian itu berpunca dari tabiat orang di daerah tersebut yang gemar memakan daging binatang liar dan di nyatakan virus ini berasal dari kelawar. Selepas itu di beri khabar pula yang virus ini sengaja di cipta oleh saintis China dan sama ada sengaja atau tidak  telah tersebar keluar dan menyerang manusia.

Malaysia melalui Perdana Menterinya Tan Sri Dato Haji Muhyiddin bin Mohd Yasin telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada 18 Mac 2020. Rakyat termasuk saya sendiri menjadi panik dan bermacam spekulasi di buat selepas pengumuman tersebut.

Rakyat dari pelbagai lapisan, dari bayi di nursery, kanak-kanak tadika, pelajar di sekolah, pekerja di  sektor awam mahupun swasta lebih-lebih lagi yang bekerja di kampung, peniaga kecil sama ada bos atau kuli sangat terkesan dalam  mengharungi suasana mencabar dan penuh tekanan.

Kerajaan telah sedaya upaya membantu rakyat dengan pelbagai cara namun semua itu belum memadai dan tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Di sudut lain pejuang barisan hadapan negara terus bergadai nyawa untuk memastikan angka korban dapat di minimumkan serendah yang boleh.

Persoalannya benarkah rakyat tidak menghulurkan bantuan di saat gendang perang di palu pada PKP pertama di isytihar sehingga kerajaan terpaksa mengistiharkan PKP 3.0  di seluruh negara pada 12 Mei 2021 berikutan jumlah kes jangkitan harian yang meningkat dan mengakibatkan kesesakan diseluruh hospital?

Secara peribadi saya bersetuju rakyat tidak berdiam diri dan berpeluk tubuh membiarkan negara di musnahkan oleh virus corona. Mereka yang terdiri dari individu dan perkumpulan merupakan pejuang-pejuang di belakang tabir menghulur bantuan berupa tenaga, masa, wang, makanan dan peralatan.

Beberapa kumpulan dan individu menjadi  terkenal kerana keprihatinan mereka dalam melaksanakan misi bantuan ke seluruh pelusuk tanah air. Saya begitu terharu melihat kalangan mereka dari kelompok OKU yang tidak mahu ketinggalan menyumbangkan bantuan dengan menyediakan  pakaian PPE frontliner.

Hasilnya PKP 1.0 di gantikan dengan PKPB dan PKPP berikutan jumlah jangkitan yang terus menunjukkan penurunan di samping usaha kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi Negara yang tenat kesan dari pelaksanaan PKP 1.0.

Sebenarnya perang belum berakhir. Namun kerajaan terpaksa membuka kembali beberapa sektor ekonomi yang di rasakan penting dan rakyat diberi beberapa kelonggaran umpama membenarkan aktiviti sosial seperti pendidikan dan pelancongan domestik untuk beroperasi.

Rakyat menjadi sangat teruja bagaikan baru terlepas dari gua dan ia dapat di lihat bagaimana sesaknya pusat tumpuan pelancongan dengan deretan kenderaan terutama semasa cuti hujung minggu.

Kita seperti meraikan kemenangan kerana berjaya melalui tempoh berkurung oleh kerajaan. Dan  kita  terlupa bahawa makhluk yang bernama virus Covid-19 belum kalah dan masih tidak dapat di kalahkan oleh mana-mana negara pun di dunia. Bahkan kini ia telah bermutasi dan menjadi lebih ganas dan kuat melalui variasi negara yang di jangkiti.

Selesai PRU negeri Sabah, negara bagaikan melalui episod duka dengan menyaksikan jangkitan harian yang terus meningkat hingga ke angka ribuan seterusnya  mengakibatkan kewujudan puluhan kluster. Kelalaian mengamalkan SOP dan memandang rendah pada ancaman virus Covid-19 membuatkan kita semua terhukum hingga ke saat ini dan tiada petunjuk yang kita akan berjaya menamatkannya dalam tempoh terdekat.

Sudah sampai masanya  kita  bantu pertahankan negara yang dicintai ini.  Pertamamanya ialah tanam dalam fikiran masing-masing bahawa kita mesti menang dalam perang menewaskan Covid-19. Kita hendaklah mengamalkan budaya tak boleh salam bukan sebab tak beradab, kita tak boleh sentuh bersentuhan bukan sebab sombong, kita tak boleh solat rapat-rapat bukan saja-saja nak langgar sunnah Rasulullah SAW. Kita menjarakkan diri bukan sebab tak mesra tapi semua tu sebab kita sedang berperang . Musuh telah berada di mana-mana dan tidak dapat dilihat fizikalnya. Itu yang dapat kita bantu untuk minimumkan angka korban. Bila kita ingatkan diri yang kita dalam perang kita akan sangat berhati-hati dalam setiap langkah dan tindakan dan sedar atau tidak itu yang berlaku semasa kita lalui PKP 1.0 yang lalu. Sampai ada kalangan kita yang sembur ikan dan sayur dengan sabun yang di bawa balik dari pasar.    

Kedua, berhenti menyalahkan orang dan elakkan bersangka buruk sebaliknya amalkan sikap bertenang  dan bersangka baik.  Kita mungkin tidak dapat mengulangi zaman dan suasana sebelum Covid-19, tetapi kita mungkin lebih bernasib baik berbanding dengan manusia di sesetengah tempat di dunia kerana kita masih berpeluang hidup dengan ibubapa dan ahli keluarga, masih berada di tempat yang sama dan di kelilingi jiran yang sama.

Manakala kerajaan pula walaupun sering dikecam sampai saat ini masih mampu mengawal keadaan dan pada pengamatan saya kerajaan terus berusaha mencari jalan bagi meminimumkan kesan peperangan ini kepada rakyat dan negara.  

Kita boleh memberi idea dan teguran untuk membaiki tetapi bukan dengan cercaan dan maki hamun sampai lupa adab dan hilang pekerti. Ingatlah kita masih dalam perang.  Ketenangan emosi penting agar dapat berfikir dengan waras dan seterusnya beroleh akal cerdik dan tindakan yang tepat untuk menghadapi bencana yang bakal terjadi bila-bila saja. Kerana itu sangat penting bagi setiap orang untuk mengawal emosi.

Ketiga, amalkan kebersihan dalam rutin harian. Bersih di sini bukan bererti baru. Bersih di sini lebih dekat kepada rajin. Maknanya kena rajin untuk memastikan tubuh, pakaian dan tempat tinggal sentiasa bersih. Bila KKM sarankan kerap cuci tangan itu adalah isyarat kena bersih, kena rajin dan paling minimum kalau tak sempat mandi cucilah tangan lebih kerap.

Nak tempat yang bersih pula mesti lah rajin cuci, sapu dan buang kekotoran selalu. Kita mungkin rasa saranan ini remeh tetapi jika semua orang menjaga kebersihan, katil-katil dalam wad hospital bagi pesakit denggi, malaria, taun, demam kolera dan keracunan makanan  tentu dapat di kosongkan. Beban petugas kesihatan akan lebih ringan dan tumpuan untuk merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit Covid-19 lebih berkesan. 

Ke empat ialah disiplin. Kejayaan dalam apa-apa perkara  berkait dengan disiplin. Disiplin perang dengan Covid-19 ialah tiga perkara utama iaitu mesti pakai pelitup muka,  mengamalkan penjarakkan fizikal dan kerap basuh tangan menggunakan sanitizer atau air dan sabun.

Malangnya kita, umumnya rakyat Malaysia masih gagal mengamalkan etika pasca pandemik ini. Kita masih dengar pengumuman pelanggaran SOP,  walaupun hukuman dan kompaun telah dikuat kuasakan. Bahkan sering kelihatan orang ramai yang baru nak kelam kabut pakai pelitup muka bila dah ternampak kelibat polis dan penguatkuasa.

Orang masih tak tahu bersabar suka nak bersesak-sesak di tempat tumpuan awam seperti kedai dan pasar.  Saya perhatikan hanya sebilangan kecil yang bawa sanitizer dan cuci tangan mereka sebelum masuk semula ke dalam kenderaan.   Kita abaikan ‘pendinding diri’ ini dan sudahnya bermula dari seorang , jangkitan terus merebak dan mewujudkan kluster lalu melumpuhkan komuniti  di situ.

Akhir sekali jangan lupa gunakan kuasa doa. Persiapkan diri untuk memiliki kuasa doa yang mustajab. Ertinya melalui sisa usia yang masih ada ini perbaikilah diri dan amalan. Berhenti lah berbuat maksiat dan keburukan.

Entah sempat atau tidak kita lihat sinar kemenangan itu yang pasti kita tidak mahu generasi yang kita tinggalkan mewarisi penderitaan dan kepayahan yang kita lalui ini. Berdoa lah supaya Allah yang mentadbir seluruh alam ini mengabulkan permintaan kita.

Sesungguhnya segala yang berlaku ini telah tertulis dalam ketetapan Allah sebagai ujian kepada manusia dan kemenangan itu hanya kepada orang yang beriman dan orang-orang yang sabar.

Firman Allah yang bermaksud;

“ Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Surah al Baqarah ayat 155.

Kita masih ada harapan untuk menang. Kata kuncinya sedarkan diri masing-masing yang kita hidup dalam suasana perang pandemik yang sangat getir. Ini bukan masanya untuk kita pentingkan diri dan keseronokan.

Sebagai rakyat, kita perlu simulasikan sifat seorang anak yang taat kepada ibu ayahnya.  Patuhi segala arahan untuk membantu pejuang yang berada di barisan hadapan. Itulah yang mereka laungkan dan diharapkan dari kita. Kerana perjuangan melawan pandemik sangat berbeza.

Sedarlah musuh bukan di hadapan frontliner tetapi ia berada di atas, di bawah, di kiri dan di kanan kita. Ia telah berlegar di persekitaran tanpa dapat di sekat lagi. Angka jangkitan harian terus mencecah ribuan dan mangsa yang maut di korbankan oleh virus Covid-19 sehingga artikel ini di tulis ialah 1,866 orang.

Aktiviti hidup perlu di teruskan dengan disiplin dan kesiapsiagaan yang tinggi sehingga ‘pendinding’ yang kita buat tak dapat di tembusi oleh virus yang kita perangi. Kita terus menerus doakan pejuang barisan hadapan, kuat dan tabah menjalankan peranan dan tanggung jawab dengan istiqomah dan ikhlas. Kita doakan pemimpin kita di beri semangat yang kuat untuk melindungi dan membela rakyat serta ilham dan petunjuk agar mencapai kemenangan dalam  perang pandemik ini dengan segera .

Kita turut mendoakan mereka yang terkorban akibat pandemik ini di beri rahmat dan mendapat kebahagiaan abadi di alam sana. Moga Malaysia terus cekal hadapi cabaran . Kita mesti dan pasti menang Insya-Allah.

Penulis, Intan Afifah Binti Baharom, pelajar Tahun 2, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
RELATED ARTICLES

Most Popular