Akhlak Dan Sifat-Sifat Yang Perlu Ada Pada Pemimpin

0
182
Akhlak Dan Sifat-Sifat Yang Perlu Ada Pada Pemimpin

Pemimpin atau orang yang bertanggungjawab dalam mana-mana kedudukan dianggap sebagai contoh kepada orang lain yang menggambarkan jamaah dalam semua perkara sama ada dari segi perkataan atau perbuatan. Kemudian orang ramai terutama musuh-musuh akan memandang pemimpin itu melalui “teropong pembesar”.

Oleh kerana pentingnya kerja berjamaah di dalam bidang dakwah serta pentingnya natijah kerja ini, maka akhlak dan sifat-sifat asasi yang baik mesti ada pada orang yang memegang teraju kepemimpinan atau bertanggungjawab dalam jamaah.

Justeru, pemimpin dan pemandu kita di jalan dakwah ialah Rasulullah SAW. Maka menjadi tanggungjawab ke atas setiap pemimpin atau yang bertanggungjawab untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh tertinggi baginya dengan mengikuti akhlaknya, sifat-sifatnya, cara pergaulannya, tindak-tanduknya dan urusan kepimpinan serta gerakan dakwah yang dipimpinnya.

Berikut adalah antara sifat-sifat dan akhlak yang mesti ada secara sempurna di sisi pemimpin dan orang yang bertanggungjawab.

  1. Pemimpin mestilah dari orang yang mengharapkan akhirat, ikhlas kepada Allah, mempunyai hati yang sejahtera dan sunyi dari penyakit-penyakit hati yang meruntuhkan amalan seperti riya’, tidak kasihkan pangkat dan jawatan, tidak berebut untuk jadi pemimpin, tidak sombong dan lain-lain lagi.
  2. Mempunyai akal yang waras, kebijaksanaan, pengalaman dan luas pemerhatian, berupaya menganalisa berbagai persoalan serta dapat memahami dan bertindak dengan baik terhadapnya. Ia mestilah bukan seorang yang kerap lupa (pelupa) atau tertutup pemikirannya menghadapi suasana tegang dan marah.

Pemimpin akan banyak menghadapi keadaan yang berubah-ubah dan masalah yang berbagai-bagai antaranya ialah perkara yang membangkitkan ketegangan. Jadi ia mestilah bertindak secara bijak dan waras terhadap setiap permasalahan atau suasana.

  1. Mesti bersifat dan berakhlak lemah-lembut, belas kasihan dan mudah berurusan. Orang yang bertanggungjawab akan terdedah kepada berbagai ragam manusia. Oleh itu hendaklah ia melapangkan untuk mereka semua dengan kelembutannya dan berusaha untuk menarik mereka, atau sekurang-kurangnya tidak bermusuhan dengan mereka. Firman Allah;

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ

(Surah Ali-Imran, ayat 159)

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu.

  1. Lemah lembut merupakan salah satu akhlak yang mesti ada bagi orang yang ingin menduduki kepimpinan. Ia berlawanan dengan sikap kasar. Terdapat hadis Rasulullah SAW mengenai sifat ini, antaranya yang terdapat dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim dari ‘Aisyah Radhiyallahu ‘anha, katanya: sabda Rasulullah SAW:

Sesungguhnya Allah itu lembut dan suka kepada sikap lembut dan memberikan ke atas sifat ini perkara yang tidak diberi ke atas sikap kasar dan perkara yang tidak diberi ke atas selainnya.

Dari ‘Aisyah juga dalam kitab Shahih Bukhari dan Muslim, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

Ya Allah, barangsiapa yang diberi tanggungjawab untuk menangani urusan umatku, lalu ia mempersulit mereka, maka persulitlah hidupnya. Dan barangsiapa yang diberi tanggungjawab untuk mengurusi umatku, lalu ia memudahkan urusan mereka, maka mudahkanlah hidupnya.

  1. Berani dan bermaruah dan tidak penakut atau membuta tuli. Alangkah bahayanya ke atas jamaah jika terdapat pemimpin yang penakut dan bertindak membuta tuli. Dasar keberanian ialah ketetapan hati dan kepercayaan terhadap Allah serta kosong hati dari sifat wahan, iaitu kasihkan dunia dan takut mati.

Sebaik-baik keberanian ialah berterus-terang dalam kebenaran, menyembunyikan rahsia dan mengakui kesalahan. Membuta tuli pula bererti terdorong atau bertindak tanpa mengkaji dan mengetahui atau menilai natijah terhadap perkara yang akan dilakukan. Lantaran pengikut mengambil panduan daripada kepimpinan mereka, kerana itulah ternyata kepentingan sifat ini kepada pemimpin.

  1. Bersikap benar adalah akhlak asasi yang lazim dan setiap anggota mesti sentiasa bersifat benar. Ini lebih dituntut dan dimestikan ke atas orang yang bertanggungjawab. Dengan sifat benar, pimpinan akan lebih sempurna dan dapat meningkatkan kepercayaan pengikut terhadapnya. Ini adalah satu perkara asas dalam kerja jamaah.

Dengan berbohong walaupun sedikit, akan mewujudkan keraguan, menggugat kepercayaan atau menghilangkannya. Alangkah bahayanya perkara ini ke atas kerja jamaah. Justeru, menjadi kewajipan ke atas pemimpin untuk menentukan secara pasti apa yang dipindahkan kepadanya dan jangan segera menyebut apa yang sampai kepadanya. Di dalam hadis sahih dari Abi Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Cukuplah bagi seseorang itu berdusta dengan menceritakan semua perkara yang didengarinya.

  1. Tawadhu’ dan tidak meninggi diri ke atas orang lain. Dengan tawadhu’ akan menghimpunkan hati-hati di sekeliling pemimpin dan meninggi dari akan menjauhkan hati-hati darinya, sama seperti kesan sifat bermudah dalam urusan atau lemah lembut dan keras hati. Tawadhu’ adalah sifat Rasulullah SAW, pemimpin contoh yang telah dipilih untuk menjadi seorang hamba dan Nabi, bukan seorang Raja. Allah SWT telah berfirman;

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِيْنَ

dan rendahkanlah dirimu terhadap orang-orang yang mengikutimu, yaitu orang-orang yang beriman.

(Surah Asy-Syu’ara’, Ayat 215)

Di antara sifat orang beriman yang dikasihi oleh Allah serta mereka mengasihi Allah ialah:

وَيُحِبّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى المُؤمِنينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الكٰفِرينَ

Mereka bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir.

(Surah al-Maidah, Ayat 54)

Di tempat lain pula Allah SWT berfirman:

اَشِدَّاۤءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاۤءُ بَيْنَهُمْ

Keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.

(Surah Al-Fath, Ayat 29)

Di dalam hadis Syarif dari Iyad bin Hammar, katanya: sabda Rasulullah SAW:

Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku supaya menyatakan kepada kamu bertawadhu’lah kamu sehingga tidak ada seorang pun berbangga di atas seorang yang lain dan tidak ada seorang pun yang menzalimi seorang yang lain.

(Riwayat Muslim)

Dari Abi Hurairah Radhiyallahu ‘anhu katanya: bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Bersedekah tidak akan mengurangkan harta dan Allah menambah kemuliaan kepada seseorang kerana memberi kemaafan. Allah akan mengangkat darjat seseorang kerana sifat tawadhu’.

(Riwayat Muslim)

Tawadhu’ juga membawa maksud tunduk kepada kebenaran dan menyerah kepadanya. Dengan sikap tawadhu’, pemimpin akan menyempurnakan suasana kerjasama dan musyawarah dengan tidak menyusahkan atau menyekatnya dari perkara itu. Kita menarik pandangan kepada kemungkinan atau kadang-kadang boleh jadi termasuk ke dalam diri setengah oramg sedikit dari rasa megah ketika dicapai olehnya kebaikan atau kemenangan untuk dakwah, sedangkan pada dasar dalam keadaan-keadaan begini hendaklah ianya tawadhu’, bersyukur kepada Allah dan mengembalikan kelebihan kepadaNya.

Sebagai contoh, sewaktu Rasulullah SAW ketika memasuki Mekah di hari “Pembukaan Mekah” , ianya merupakan suatu yang memang dengan sifat tawadhu’ dan patut menjadi ikutan yang baik buat semua umat baginda.

  1. Menunaikan janji dan perjanjian. Akhlak ini adalah antara akhlak yang paling dituntut ke atas umat Islam secara umum dan bagi mereka yang bekerja dalam jamaah secara khusus. Akhlak ini dinisbahkan kepada mereka yang memikul sesuatu tanggungjawab. Akhlak ini akan mewujudkan suatu suasana kerja yang damai, penuh dengan kepercayaan, ketenangan dan kerjasama.

Berlainan dari kehilangan iltizam atau tidak menunaikan janji dan persetujuan terutamanya dalam kalangan yang bertanggungjawab akan membalikkan ketiadaan kepercayaan atau ragu dalam melaksanakan apa yang telah dipersetujui dalam apa sahaja perkara. Seterusnya akan tergelincir pekerjaan dan hasil pengeluaran dalam bidang dakwah.

Apabila telah luputnya semangat kesetiaan dan ketepatan janji terhadap kalangan anggota jamaah, akan membawa kepada ketiadaan iltizam dengan waktu-waktu perjumpaan atau bantuan yang telah ditetapkan untuk melaksanakan apa yang diserahkan kepada mereka yang bertanggungjawab melakukannya. Tidak perlu diterangkan lagi bahawa menunaikan janji adalah di antara sifat orang mukmin dan memungkiri janji adalah antara sifat munafiqin.

Boleh jadi rukun-rukun bai’ah adalah di antara perkara paling penting yang mesti ditunaikan oleh pihak pemimpin dan anggota kerana ianya bai’ah dengan nama Allah dan melanggar mana-mana rukun tersebut adalah pelanggaran kepada bai’ah itu sendiri. Maha benar Allah yang telah berfirman:

اِنَّ الَّذِيْنَ يُبَايِعُوْنَكَ اِنَّمَا يُبَايِعُوْنَ اللّٰهَ ۗيَدُ اللّٰهِ فَوْقَ اَيْدِيْهِمْ ۚ فَمَنْ نَّكَثَ فَاِنَّمَا يَنْكُثُ عَلٰى نَفْسِهٖۚ وَمَنْ اَوْفٰى بِمَا عٰهَدَ عَلَيْهُ اللّٰهَ فَسَيُؤْتِيْهِ اَجْرًا عَظِيْمًا

Bahawasanya orang-orang yang berjanji setia kepadamu (Muhammad), sesungguhnya mereka hanya berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa melanggar janji, maka sesungguhnya dia melanggar atas (janji) sendiri; dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Dia akan memberinya pahala yang besar.

(Surah Al-Fath, Ayat 10)

Allah SWT memuji orang-orang yang benar dalam perjanjian mereka menerusi firmanNya:

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا .  لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِنْ شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا.

Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun merubah (janjinya), supaya Allah memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu karena kebenarannya, dan menyiksa orang munafik jika dikehendaki-Nya, atau menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Surah Al-Ahzab, Ayat 23-24)

Penulis; Husna Nabilah Bt Hassan, pelajar Sarjana Muda Sains Aktuari & Pengurusan Risiko, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)