Friday, January 24, 2025
HomeArtikelAmalan Mulia di Hari Raya Serlah Tanda Syukur Seorang Muslim

Amalan Mulia di Hari Raya Serlah Tanda Syukur Seorang Muslim

Tinggal hanya beberapa hari lagi umat Islam di seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan mereka, iaitu Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti. Ia menandakan berakhirnya Ramadan, bulan yang sangat penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah SWT.

Dalam keterujaan dan kemeriahan menyambut hari raya, sebagai seorang Muslim kita dianjurkan untuk melakukan perkara-perkara yang disukai oleh Allah SWT sebagai tanda syukur dan pengabdian kepada-Nya.

Berikut adalah beberapa amalan yang sangat dianjurkan untuk dilakukan oleh seorang Muslim ketika menyambut kedatangan 1 Syawal nanti;

Menghidupkan Malam 1 Syawal

Dikala kita sibuk menyediakan persiapan akhir untuk menyambut Hari Raya, jangan dilupa bahawa di malam 1 Syawal itu juga ada kelebihannya. Antara amalan-amalan yang sangat dituntut adalah bertakbir, mendirikan solat sunat (Qiamullail), membaca al-Quran, berzikir, bertasbih dan memperbanyakkan istighfar memohon keampuanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati” (H.R Ibnu Majah). Jelas di sini, adalah satu kerugian jika kita membiarkan malam 1 Syawal itu berlalu tanpa meraih kelebihannya.

Menunaikan Solat Sunat Aidilfitri

Salah satu ibadah utama yang sangat dituntut pada Hari Raya Aidilfitri adalah menunaikan solat sunat Aidilfitri, yang biasanya diadakan secara berjemaah di masjid dan surau. Hikmah solat sunat Aidilfitri adalah untuk mengagungkan kebesaran Allah, menzahirkan rasa syukur ke atas nikmat yang Allah berikan, mengeratkan silaturahim dan mewujudkan perpaduan di kalangan umat Islam.

Disunatkan juga untuk mandi sunat Hari Raya dan menjamah sedikit makanan dahulu sebelum ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri. Anas bin Malik r.a berkata: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (HR Bukhari).

Mengeluarkan Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah wajib untuk semua umat Islam. Walaupun umat Islam boleh mula mengeluarkan zakat fitrah bermula dari 1 Ramadhan, namun waktu yang paling afdal adalah pada pagi 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.

Antara hikmah mengeluarkan zakat fitrah ini adalah meluputkan sifat bakhil dan keji di dalam diri, mengukuhkan institusi masyarakat dan memupuk sifat mengambil berat dan berkasih sayang sesama umat Islam. Kita juga dianjurkan untuk mengeluarkan zakat fitrah dengan kadar zakat mengikut jenis beras yang kebiasaannya dimakan.

Berpakaian Sederhana, Kemas dan Bersih

Pada hari raya, umat Islam digalakkan memakai pakaian yang terbaik, sebaik-baiknya yang baru jika mampu. Ia juga penting untuk memastikan bahawa pilihan pakaian adalah sederhana dan menghormati prinsip Islam.

Jangan kerana terlalu ghairah berfesyen mengikut trend semasa menyebabkan kita lupa batas-batas berpakaian dalam Islam terutamanya bagi wanita. Selain dari berpakaian kemas dan bersih, kita juga disunatkan memakai wangi-wangian terutamanya bagi kaum lelaki.

Menziarahi Keluarga, Jiran Tetangga dan Rakan-rakan

Hari Raya adalah masa untuk mengeratkan hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan. Sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk mengunjungi rumah sanak-saudara, berkongsi juadah, dan menghabiskan masa berkualiti bersama.

Kebanyakan daripada kita merantau untuk mencari rezeki. Ada juga yang sedang menuntut ilmu jauh dari keluarga dan sanak saudara dan amat jarang sekali dapat berkumpul bersama.  Jadi pada Hari Raya, ambil peluang yang ada untuk merapatkan kembali silaturahim.

Bermaaf-maafan

Hari Raya Aidilfitri juga merupakan masa untuk bermaaf-maafan dan berdamai. Umat ​​Islam digalakkan untuk berdamai dengan sesiapa sahaja. Lupakan konflik dan sengketa yang pernah terjadi dan mulakan hidup dengan episod yang baru. Ini adalah peluang untuk memulakan semula dan memupuk keharmonian dalam keluarga dan komuniti. Allah menjanjikan pahala yang besar bagi sesiapa yang sentiasa memohon maaf dan memaafkan.

Kesimpulannya, marilah kita mentransformasikan diri kita untuk menjadi individu muslim yang lebih baik selepas kita keluar dari bulan Ramadhan. Madrasah Ramadhan telah melatih kita untuk menjadi lebih sabar, bersyukur, dan sentiasa mengamalkan sifat-sifat yang terpuji. Oleh itu, bermula dari bulan Syawal dan hari-hari seterusnya, sentiasalah berdoa untuk kekal ‘istiqomah’ dengan amalan-amalan yang dapat membawa kita ke syurga. 

Penulis: Siti Azrina Binti Adanan, Penyarah Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka.
RELATED ARTICLES

Most Popular