Anak Anda di Buli di Sekolah? Apa Perlu Buat? Ikuti Nasihat Guru Ini.

0
1118

Kes murid minta duit kawan, ambil makanan, minum air kawan, ambil pensel dan barang gini banyak berlaku terutamanya murid tahap 1.

Bagaimana nak atasi masalah seperti ini?

Pertama sekali, mesti laporkan pada guru kelas. Wajib laporkan agar guru tahu. Kadangkala cikgu tak tahu hal ini berlaku.

Ibubapa pula tak nak report risau guru akan kata mereka ni terlampau manjakan anak atau segelintir ibubapa rasa benda ni biasa.

“Biasalah, budak-budak.”

Tak tuan-tuan, hal ini bukan biasa. Hal ini mesti dimaklumkan pada guru agar guru boleh ambil tindakan. Murid yang suka meminta itu perlu dinasihatkan. Malah mungkin akan ada amaran jika berterusan.

Guru pula perlu ambil perhatian tentang aduan sebegini. Sekali imbas nampak remeh, namun kesannya besar pada murid yang dibuli dan pembuli akan terus membuli.

Ya, hal seperti ini sebenarnya sejenis buli juga.

Langkah kedua, kena pesan pada anak-anak agar bertegas pada tempatnya.

“Tak boleh, ini duit saya!”

“Jangan ambil makanan saya lagi.”

“Jangan ambil pensel saya!”

Kata pada anak, biarlah hilang kawan yang suka ambil kesempatan. Carilah kawan lain yang lebih baik dari itu. Tidak rugi hilang kawan yang suka ambil kesempatan ini.

Kanak-kanak ni cukup kalah dengan ayat,

“Kau tak beri aku tak nak kawan.”

Mereka ini begitu takut kehilangan kawan. Ayat begitu sangat banyak dijadikan senjata oleh pembuli cilik. Sayangkan hubungan itu, maka anak kita terus diambil kesempatan.

Dah sampai masa kita didik anak memilih kawan yang betul. Dah sampai masa kita ajar anak menolak dan menjaga hak mereka. Dah sampai masa kita ajar anak kita tidak lagi boleh diperguna.

Dan langkah terakhir adalah langkah paling murni dan terpuji.

Bersedekah.

Buat bekal makanan lebih, bagitahu anak,

“Nanti adik kongsi dengan kawan yang selalu ambil makanan adik tu ya. Mungkin keluarga dia miskin. Ni mama buatkan lebih dah. Bagi kat kawan satu, adik satu.”

Kalau rajin, cuba siasat kawan anak kita tu. Mungkin dia anak yatim. Mungkin keluarga dia miskin. Sesekali kirim duit lebih pada anak suruh belanja kawan itu jika mereka benar-benar tidak mampu.

Itulah yang paling terpuji dan murni.

Namun jika kawan anak itu memang anak orang berada, tapi memang sikap dia yang suka meminta-minta, laporkan pada cikgu.

Lapor sekali tak jalan, lapor dua kali. Dah lapor dua kali anak kita masih dibuli, masih diambil makanan dan duit, lapor pula tiga kali.

Lapor dan terus lapor sehingga tindakan yang sepatutnya diambil guru.

Aku pernah handle kes begini. Budak yang membuli itu tidak makan saman.

Aku bagi nasihat dengan lembut tak jalan. Aku bagi amaran pun tak jalan. Suruh ganti duit sampai ke sudah tak ganti walau pembuli tu bawa duit RM4 sehari. Sehingga lebih RM30 hutang tak berbayar.

Akhirnya aku hubungi ibubapa pembuli dan maklumkan sikap anak mereka. Ibubapa murid tersebut mengganti duit kawan anaknya dan meminta maaf.

Mereka didik pula anak mereka di rumah dan selepas itu kejadian ini tidak lagi berulang.

Sebab itu lapor pada guru penting. Jangan ambil tindakan terus hubungi mak ayah pembuli dan maklumkan sendiri.

Akan jadi pergaduhan antara ibubapa pula nanti. Akan jadi bermasam muka.

Jika guru yang laporkan, InsyaAllah ibubapa boleh terima.

Semoga sedikit perkongsian aku kali ini memberi manfaat kepada ibubapa yang sering dalam dilema bila kes ini berlaku pada anak-anak mereka.

Sekian, terima kasih.

Sumber: Mohd Fadli Salleh
.