Wednesday, September 27, 2023
HomeTipsBagaimana Memilih Kerusi Roda Yang Sesuai: Tips dan Panduan

Bagaimana Memilih Kerusi Roda Yang Sesuai: Tips dan Panduan

Panduan dan tips ini akan menerangkan bagaimana memilih kerusi roda yang betul dan sesuai. 

Ini kerana, bilangan kerusi roda yang terdapat di pasaran menjadikan anda agak keliru mana satu pilihan kerusi roda yang terbaik untuk dipilih. 

Adakala anda terpesona dengan design dan bentuknya yang cantik dan harga yang murah, tetapi kita tak tahu tujuan kegunaannya. 

Ini akan menyebabkan anda menyesal dan rugi membeli kerusi roda tersebut tanpa mengetahui fungsi-fungsinya yang berbeza. 

Sebelum anda membeli atau memilih kerusi roda, anda perlu tahu apa tujuan penggunaan kerusi roda. Siapa yang akan guna? Berapa lama dia nak guna? Nak guna pergi mana? 

Mungkin anda beranggapan semua kerusi roda adalah sama sahaja seperti yang terdapat di hospital atau klinik. Ini tidak betul sebenarnya. 

Di pasaran kini, terdapat pelbagai jenis kerusi roda. Ia direka berdasarkan orang  yang menggunakannya adalah berbeza-beza. 

Jika anda lihat di hospital, kerusi roda tersebut adalah jenis yang standard. Saiznya agak besar dan agak berat. 

Jika anda pernah melihat seorang atlet OKU bermain tenis berkerusi roda. Bentuknya agak berlainan pula kerusi roda jenis hospital. 

Sekiranya pula anda melihat ada yang menggunakan kerusi roda elektrik, itu juga antara jenis-jenis kerusi roda yang akan diterangkan dalam artikel ini. 

Untuk maklumat lanjut mengenai jenis-jenis kerusi roda, anda boleh baca artikel yang bertajuk:

“Jenis-jenis Kerusi Roda dan Tujuan Penggunaannya”. 

Dalam ruangan ini, kami ingin memberi tips, panduan dan juga info bagaimana kerusi roda yang sesuai untuk dibeli di pasaran. 

Sebelum itu, kita kena faham fungsi utama orang menggunakan kerusi roda. Ia bertujuan menggantikan keadaan fizikal diri yang berhadapan dengan kesukaran untuk bergerak. 

Hal ini disebabkan oleh penyakit, keadaan uzur, kecederaan, orang yang mengalami kurang upaya fizikal (OKU) dan sebagainya. 

Ada beberapa perkara juga yang perlu dipertimbangkan dalam memilih kerusi roda yang sesuai. 

  1. Jangka masa penggunaan kerusi roda – sama ada jangka panjang atau pendek.
  2. Tujuan penggunaan kerusi roda itu sendiri samaada untuk aktiviti biasa atau aktiviti sukan.
  3. Pertimbangan dari sudut pengurusannya iaitu samaada mudah di bawa masuk dan keluar dari kenderaan pengguna.
  4. Kerusi roda yang dikendalikan oleh pengguna sendiri atau yang memerlukan bantuan orang lain.

Kerusi Roda Standard 

Kerusi roda hospital (Standard)

Jenis kerusi roda standard juga dikenali sebagai kerusi roda hospital atau kerusi roda orthopedic. 

Jika anda ingin menggunakan  untuk tempoh yang sementara, anda boleh memilih kerusi roda ini. 

Harganya agak murah dan mudah didapati di pasaran samaada farmasi, kedai rehab dan sebagainya. Bahkan senang untuk pembelian secara online. 

Saiz kerusi roda hospital agak besar dan berat. Ia tidak menyokong postur badan pesakit sekiranya mahu digunakan untuk tempoh yang panjang. 

Dengan buatan material yang berat, agak sukar untuk dikendalikan secara sendirian.  Perlu ada orang menolaknya. 

Ia juga memerlukan ruang yang besar sekiranya anda ingin membawa kerusi roda ini dalam kereta. 

Harganya sekitar RM300 – RM500. bahkan lebih murah dari ini sekiranya anda pandai survey di online. Boleh tengok di shopee, lazada, murah.my dan lain-lain lagi. 

Kerusi Roda Untuk Travel

Kerusi roda untuk travel

Kerusi roda jenis ini biasanya simple sahaja. Design tayarnya di hadapan dan belakang berbentuk kecil. Kebanyakannya boleh dilipat. 

Ia sesuai untuk mereka yang mengalami pergerakan yang terhad. Tapi masih boleh berjalan. 

Kerusi roda ini sesuai untuk ibu bapa yang tak larat berjalan untuk jarak yang jauh. Sesuai digunakan untuk di bawa ke pasaraya, taman rekreasi, masjid, surau dan sebagainya. 

Tambahan pula kerusi roda ini jenis yang ringan dan mudah dilipat. Beratnya antara 10kg – 15kg. Ada juga lebih ringan daripada ini. Mungkin harganya sedikit mahal. 

Kerusi roda ini juga sesuai untuk dibawa travel ke luar negara. Ada yang gunakan untuk umrah dan melancong. 

Baca juga: Tips Umrah Berkerusi Roda Orang Yang Mengalami Kecederaan Saraf Tunjang

Ia senang untuk diuruskan. Tidak memerlukan ruang yang luas untuk diletakkan dalam kereta kerana ia boleh dilipat. 

Cuma, kerusi roda ini memerlukan seseorang untuk menolaknya. Kerana ia tidak ada “push rim” untuk ditolak sendiri. 

Harga di pasaran berbeza mengikut kualiti dan design. Namun anggaran sekitar RM 300 – RM500. Mungkin ada yang lebih murah daripada harga ini. 

Kerusi Roda Ringan 

Penjelasan untuk kerusi roda ini mungkin agak panjang sedikit. Ini kerana kerusi roda ini terdapat dalam pelbagai jenis dan kegunaan. 

Kegunaan Untuk OKU (Jenis Ringan)

Kerusi Roda Untuk OKU jenis ringan
Antara jenis-jenis kerusi roda untuk OKU jenis yang ringan yang berada di pasaran.

Sekiranya andan ingin memilih kerusi roda yang sesuai untuk Orang Kurang Upaya (OKU), kita kena tahu dulu kondisi OKU itu bagaimana? Adakah OKU yang lumpuh, amputee (kudung) atau sebagainya. 

Pemilihan ini penting untuk jangka masa kegunaannya yang panjang. Maka kerusi roda yang sesuai sudah tentu jenis yang ringan, berkualiti dan tahan lama. 

OKU Yang Menggunakan Kerusi Roda

Ada OKU yang boleh berdikari sendiri seperti Paraplegia, Celebral Palsy Tahap Rendah, Polio dan seumpamanya. Tangan mereka kuat untuk menggerakkan sendiri kerusi roda tersebut. Mereka juga ada yang memandu sendiri.

Boleh pastikan juga samada nak guna jenis yang boleh dilipat atau tidak. Masing-masing ada kekurangan dan kelebihan. 

Dalam sesetengah keadaan kerusi roda ini perlu ditempah khas  bagi mengimbangi postur badan. Ini kerana saiz bentuk badan mereka yang berlainan. Mereka perlu menggunakannya untuk urusan harian. Kegunaan pergi kerja, riadah, aktiviti luar dan sebagainya. 

Harganya boleh mencecah ribuan ringgit bahkan puluhan ribu ringgit untuk jenama tertentu. 

Ini kerana material yang digunakan boleh tahan lama bahkan bertahun-tahun dapat bertahan. 

Material Jenis Carbon fiber adalah yang paling mahal, kemudian titanium dan aluminium. 

Untuk kerusi roda jenis ringan, hanya material daripada aluminium saya yang dikira agak murah di pasaran. Tetapi dari segi ketahanan tidak boleh digunakan secara lasak. 

Jenis-jenis kerusi roda yang sesuai untuk OKU yang ingin menolak sendiri adalah;

  1. Aluminium
  2. Lightweight wheelchair 
  3. Ultra lightweight 

Perbandingan Jenis kerusi Roda OKU

Perbandingan antara material kerusi roda dari segi harga, ketahanan dan keringanan

MaterialMurahKetahananRingan
Besi
Aluminium
Titanium
Carbon Fiber

Kegunaan Untuk Ibubapa atau Warga Emas

Ibu bapa atau warga emas yang bergantung pada kerusi roda boleh  dicadangkan kerusi roda ringan jenis lightweight. Ini kerana ia lebih selesa berbanding kerusi roda biasa atau jenis travel. 

Lagi pula kerusi roda lightweight mudah diuruskan untuk bawa ke dalam kereta atau kegunaan di luar. Ia ringan dan fleksibel. 

Kerusi roda untuk Ibu bapa atau warga emas

Boleh juga dicadangkan kerusi roda yang dipanggil push wheelchair. Ia dari kategori kerusi roda ringan (lightweight) cuma dilengkapi beberapa aksesori tambahan seperti break pada tangan orang yang menolak. 

Harga mungkin agak mahal sedikit. Tetapi penggunaannya berbaloi. Di pasaran ada harga antara RM500 – RM3000 bergantung kepada rekabentuk dan jenama. 

Kerusi Roda Untuk Kanak-kanak 

Kerusi roda untuk kanak-kanak

Kerusi roda untuk kanak-kanak juga disebut sebagai Pediatric Wheelchair. Bagi Kerusi roda jenis ini, saiznya lebih kecil berbanding kerusi roda yang disebutkan sebelum ini.

Ini kerana ia dibentuk khas untuk kanak-kanak bagi menyokong postur bentuk badan mereka untuk jangka masa yang lama. 

Kebiasaannya kerusi roda jenis ini digunakan oleh  anak-anak Celebral Palsy, Spinal befida dan lain-lain. 

Ada yang perlu ditempah. Ada juga beberapa syarikat yang buat dalam bentuk standard kanak-kanak.

Bagi memastikan keperluan yang betul untuk kerusi roda kanak-kanak, ibu bapa dinasihatkan untuk berjumpa dengan Terapis Carakerja (Cccupational Therapist) bagi mendapat nasihat yang betul untuk kerusi roda jenis ini.

Kerusi Roda Untuk ke Tandas atau Mandi

Kerusi roda jenis ini juga disebut commode chair /wheelchair. Ia dilengkapi dengan aksesori tambahan iaitu mangkuk di bawah tempat duduk bagi memudahkan urusan buang air.

Sebelum anda membeli kerusi roda jenis ini, pastikan dulu keadaan pesakit atau orang yang menggunakannya. Sama ada pesakit masih boleh berjalan atau jenis yang terbaring. 

Ini kerana terdapat juga pelbagai jenis commode chair di pasaran. 

Untuk kegunaan yang masih boleh berjalan, seeloknya pilih yang jenis ringkas seperti gambar di bawah. 

Kerusi roda untuk ke tandas atau mandi

Bagi yang tidak dapat berjalan atau pesakit yang jenis terlantar anda boleh cuba jenis kerusi yang senang untuk ditolak.

Ia bagi memudahkan urusan pergerakan dari katil ke bilik air agar pesakit boleh diuruskan dengan lebih selesa. 

Ada juga jenis kerusi roda mandi yang boleh laras untuk sandar atau baring. Kerusi roda jenis ini sesuai untuk mereka yang tidak dapat berjalan sepenuhnya.


Kerusi roda tandas atau mandi jenis baring atau sandar
Kiri: Jenis kerusi roda mandi boleh baring. Kanan: Jenis kerusi roda mandi tidak boleh laras (baring)

Kerusi Roda Elektrik atau Scooter

Sekiranya anda memilih menggunakan kerusi roda elektrik atau motorised wheelchair, ada pelbagai jenis di pasaran.

Ada jenis kerusi roda yang boleh dilipat dan ada yang boleh dilaras ketinggiannya.

Ia menggunakan kuasa bateri untuk menggerakkannya. Baterinya boleh bertahan sehingga 30KM atau 8 jam bergantung kepada penggunaan.

Ini bergantung kepada jenis-jenis kerusi roda dan jenama. Ketahanan bateri mungkin berbeza antara satu sama lain.

Kebiasannya orang yang mengalami masalah mobiliti dan tangan yang tidak kuat memilih kerusi roda jenis ini.

Terdapat kerusi roda elektrik yang agak berat sehingga mencecah 50kg. Ada yang sederhana sekitar 25kg. Ada juga jenis yang boleh dipasang pada kerusi roda biasa (attachable).

Kerusi roda elektrik (motorized wheelchair)

Kalau jenis yang scooter pula mempunyai handle seperti motorsikal atau basikal. Ia dikawal dengan tangan dan mempunyai satu roda di hadapan. 

motorised scooter

Kerusi Roda Jenis Baring / Recliner 

Kerusi roda baring (recliner wheelchair )

Kerusi roda jenis baring ini juga dikenali sebagai tilt atau Recliner wheelchair. 

Ia merupakan jenis  kerusi roda yang boleh diubah suai pada “back rest” dan “footrest” yang membolehkan penggunanya baring ketika berada di atas kerusi roda ini. 

Kebiasaannya, pesakit stroke atau tetraplegia (lumpuh tahap yang tinggi) menggunakan kerusi roda jenis ini. 

Bagi menggerakkan kerusi roda ini, ia memerlukan bantuan orang lain. Harganya berbeza di pasaran berdasarkan kualitinya. Ada yang murah ada yang mahal. 



Sebagai kesimpulan, kerusi roda ada banyak jenis di pasaran. Penting untuk kita tahu mana satu yang sesuai dengan keadaan dan keperluan pengguna atau pesakit.

Diharapkan tips dan panduan ini dapat membantu anda memilih kerusi roda yang sesuai. 

Rujukan

Notakaki dan Tips:

  • Sebelum membeli kerusi roda, anda boleh dapatkan nasihat dan saranan daripada orang yang arif tentang kesesuaian jenis kerusi roda seperti Occupational Therapist atau doktor rehabilitasi. Ini bagi memastikan jenis kerusi roda yang sesuai untuk digunakan.
  • Bagi yang mencarum PERKESO/SOCSO anda boleh mohon bantuan kerusi roda sekiranya mendapat pengesahan doktor perubatan rehabilitasi. Sila hubungi pihak PERKESO untuk mengetahui maklumat lanjut dari segi kelayakan, prosedur dan sebagainya.

HANTAR ARTIKEL:

Sekiranya anda berminat untuk
menjadi penulis di laman web
ini, klik sini untuk maklumat
selanjutnya.


Jangan Lupa Like dan Follow Page The Inspirasi

RELATED ARTICLES

Most Popular