Anak Lelaki Di Dapur?

0
33
Anak Lelaki di Dapur?

Tempoh PKP nampaknya perlu dikira sendiri, tidak lagi menunggu pengumuman rasmi. Memandangkan kes positif COVID-19 semakin mencanak, saya kira kita masih lagi perlu duduk di rumah. Maka akan bertambahlah masa saya di dapur. Oleh sebab semua anak saya “hero”, selalunya saya lah yang berperanan menguruskan hal ehwal dapur.

Setelah hampir 20 tahun bergelar ibu kepada 4 orang anak teruna, memang saya telah biasakan mereka dapat melakukan perkara asas. Suami yang pernah bekerja dengan pasukan beruniform turut membantu dalam mendidik anak-anak untuk sekurang-kurangnya boleh membasuh baju sendiri, mencuci pinggan sendiri dan mengemas katil sendiri.

Abang dan Angah bertambah skil melakukan kerja  rumah setelah tinggal di asrama. Namun kerja-kerja dapur ini masih asing bagi mereka. Mungkin saya juga kurang percaya jika menyuruh mereka masuk ke dapur.

Jadi dengan panjangnya tempoh PKP, saya rasa sudah tiba masanya saya memberikan kepercayaan untuk Abang, Angah dan Acik untuk masuk ke dapur menyediakan sarapan pagi. Tetapi tentulah kebenaran ini ada syaratnya.

Pertama, jangan ubah susun atur barang-barang di dapur dan pastikan dapur bersih setelah digunakan. Sejak semalam saya sudah berbincang dengan mereka tentang hal ini. Abang pasrah sahaja sebab dia tidak begitu pandai memasak tetapi reaksi Angah nampak teruja.

Dia juga meletakkan syarat supaya saya tidak menganggu mereka ketika mereka menyediakan sarapan , “ibu jangan menyibuk yaa,”laser betul mulut Angah. Acik hanya mengikut sahaja.

Keesokan paginya sesudah Subuh, saya dengar suara riuh-rendah di dapur. Saya buat-buat tidak dengar dan terus duduk di atas sejadah. Dalam fikiran, saya rasa menu sarapan pagi yang akan Abang, Angah dan Acik  sediakan pastinya yang paing mudah iaitu sandwich telur. Saya menyuruh Adik, si bongsu menjadi pengintip di dapur. “Pergi masuk bilik Adik!”, saya tahu itu suara Angah. Beriya benar nak buat sarapan yaa.

Dan selepas beberapa lama, saya dan suami pun dipanggil ke meja makan. Amboi, air teh O seteko, nasi goreng dan telur mata. Boleh tahan juga, desis hati kecil saya. Kami sekeluarga menikmati sarapan pagi itu dengan ceria.

Abang mula bercerita yang dia terkena pisau ketika memotong bawang sambil menunjuk plaster yang membalut jarinya. Angah pula dengan bangga mengaku dialah chef nasi goreng perencah Adabi dan Acik pula menggoreng telur mata kerbau. Adik hanya menyuap nasi tanpa sebarang komen.

Rasanya kepercayaan untuk berada di dapur digunakan sebaiknya oleh anak-anak teruna ini. Air tangan anak lelaki tidak kurang enaknya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here