Apa Itu Pencemaran Kepada Masyarakat?

0
122
Apa Itu Pencemaran Kepada Masyarakat

Dalam kehidupan seharian, aspek penting dalam menjalani kehidupan yang sihat dan berpanjangan adalah menjaga persekitaran di sekeliling kita daripada bahan kimia, gas dan sisa berbahaya yang kita gunakan setiap hari. Alam sekitar adalah segala benda hidup dan bukan hidup yang wujud secara semula jadi di permukaan bumi, atau sebahagian daripadanya.

Alam sekitar kepada manusia adalah sangat penting dan amat sukar untuk menyatakan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan manusia tidak bergantung sepenuhnya kepada kemampanan alam sekitar. Hal ini kerana alam sekitar yang terjaga dan bersih dapat memberikan pelbagai faedah dan kebaikan kepada manusia, termasuklah persekitaran yang menjamin kesejahteraan kesihatan manusia sekeliling.

Namun, alam sekitar kini mula merosot disebabkan pencemaran yang berlaku dan tidak terkawal. Pencemaran adalah pencampuran beberapa bahan berbahaya atau beracun ke dalam sumber semula jadi yang terdapat di bumi yang dapat memberi kesan buruk kepada masyarakat dan alam sekitar. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh beberapa jenis pencemaran alam sekitar yang tidak terjaga dan menjejaskan komuniti persekitaran. Pencemaran mempengaruhi kehidupan seharian yang dapat mengganggu kitaran hidup semula jadi.

Menurut Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974 menyatakan tentang pencemaran adalah perubahan yang berlaku secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, biologi atau bahagian alam sekeliling yang melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan berfaedah yang menimbulkan sesuatu keadaan yang mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam manusia atau organisma-organisma lain seperti tumbuhan dan haiwan.

Pencemaran berlaku dalam pelbagai jenis iaitu pencemaran bunyi, pencemaran udara, pencemaran tanah dan pencemaran air. Secara khususnya, pencemaran-pencemaran ini boleh mengakibatkan kesan yang buruk seperti membahayakan kesihatan masyarakat, mengancam sumber alam sekitar dan ekosistem tambahan lagi mengganggu ameniti alam sekitar.

Pencemaran yang perlu ditekankan terhadap alam sekitar kepada kesannya adalah pencemaran udara dan pencemaran air. Setiap makhluk hidup bergantung pada udara dan air. Apabila dua perkara ini tercemar, semua organisma akan berisiko dan terjejas. Pencemaran ini berlaku disebabkan oleh punca-punca yang berlaku daripada sikap remeh masyarakat terhadap alam sekitar.

Namun, kita sebagai masyarakat yang bertanggungjawab mestilah mengenal pasti akan punca supaya kesan ini dapat dibendung daripada meluas dengan mencari jalan untuk mengatasi perkara ini menjejaskan ekosistem dan alam sekitar.

Salah satu bencana terbesar di era kita adalah pencemaran udara, bukan sahaja kesannya terhadap perubahan iklim tetapi juga kesannya terhadap kesihatan awam dan individu kerana peningkatan tahap kematian dan kematian. Terdapat banyak bahan pencemar yang menjadi faktor utama penyakit pada manusia. Antaranya, Particulate Matter (PM), diameter zarah berubah kepada saiz yang sangat kecil, ia mampu menembusi sistem pernafasan menyebabkan kesukaran pernafasan dan kardiovaskular, masalah sistem saraf pusa, dan barah.

Karbon monoksida daripada asap ekzos yang keluar daripada kenderaan turut boleh memberikan tidak balas kepada salur pernafasan apabila disedut secara dekat. Hal ini kerana karbon monoksida akan meresap ke dalam sel darah merah badan kita dua kali ganda lagi cepat berbanding oksigen.

Logam berat seperti plumbum, apabila memasuki ke dalam tubuh manusia, boleh menyebabkan keracunan langsung atau keracunan kronik, yang  bergantung kepada pendedahan. Penyakit yang berlaku dari bahan-bahan yang disebutkan di atas merangkumi masalah pernafasan seperti penyakit pulmonari obstruktif kronik, asma, bronkiolitis, dan juga barah paru-paru, kejadian kardiovaskular, masalah sistem saraf pusat, dan penyakit kulit.

Menurut kajian kohort Sweden, diabetes boleh terjadi disebabkan pendedahan pencemaran udara jangka panjang. Keadaan ini menunjukkan pencemaran udara memberikan kesan negatif yang serius kepada kesihatan awal manusia.

Pencemaran udara boleh dikenal pasti disebabkan oleh zarah pepejal dan cecair dan gas tertentu yang terampai di udara. Zarah dan gas yang terampai ini bermula dari ekzos kereta dan trak, asap kilang, dan pembakaran terbuka. Zarah pepejal dan cecair yang terampai di udara ini dipanggil aerosol.

Seterusnya lapisan ozon yang menipis boleh menyebabkan pencemaran udara. Lapisan ozon yang tebal di atmosfera adalah perkara yang baik kerana membantu menyekat tenaga berbahaya yang mudah bertindak balas dari Matahari iaitu radiasi. Tetapi, apabila lapisan ozon mula menipis, ia boleh memberi kesan buruk bagi kesihatan kita.

Ozon yang menipis, matahari akan bertindak balas dengan bahan kimia dari pembakaran bahan bakar fosil tidak terkawal, seperti kilang atau ekzos kereta. Apabila zarah-zarah di udara bergabung dengan ozon, mereka menghasilkan jerebu. Jerebu adalah sejenis pencemaran udara yang kelihatan seperti kabut berasap. Jerebu dapat menyukarkan sistem pernafasan manusia.

Berdasarkan kronologi, Malaysia pernah mengalami jerebu pada 2019, yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan. Keadaan tersebut menyebabkan hampir seluruh institusi pendidikan ditutup khususnya sekolah kebangsaan di serata Malaysia. Tambahan lagi bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan 150 dan ke atas.

Bagi mengatasi masalah pencemaran udara adalah mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya akan membantu mengurangkan pencemaran udara yang berlaku. Semakin banyak penggunaan kenderaan, semakin banyak gas berbahaya yang dilepaskan ke udara seperti hidrokarbon, nitrogen oksida, karbon monoksida, dan sulfur dioksida yang akan menyebabkan pencemaran udara yang serius.

Penggunaan kereta, lori dan motosikal harus dikurangkan secara drastik kerana gas yang dikeluarkan oleh kenderaan ini juga dapat menyumbang kepada kesan rumah hijau. Walau bagaimanapun, pencemaran ini dapat dikurangkan ketika masyarakat mempraktikkan penggunaan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, monorel dan banyak lagi.

Oleh itu, mengurangkan penggunaan kenderaan dengan pasti dapat mengurangkan pencemaran udara dan bunyi. Cara lain bagi mengatasi masalah pencemaran udara adalah mula menanam tumbuhan hijau atau memelihara hutan di Malaysia. Hal ini kerana tumbuhan hijau yang banyak dapat menghasilkan oksigen melalui proses fotosintesis sekali gus mengurangkan kadar pencemaran udara.

Selain itu, pencemaran yang diketengahkan adalah pencemaran air. Pencemaran air berlaku melalui banyak sumber seperti pertanian, perindustrian, tempat pembuangan sampah dan daripada aktiviti manusia yang lain. Pencemaran air daripada perindustrian berlaku daripada pihak yang tidak bertanggungjawab kilang membuang sisa toksik ke dalam sungai atau laut.

Sisa toksik yang dibuang menyebabkan habitat hidupan akuatik akan terjejas. Antara pencemaran air berlaku melalui aktiviti pertanian iaitu penerokaan tanah yang dijadikan kawasan pertanian menyebabkan hakisan tanah yang terus mengakibatkan mendakan berlaku. Mendakan ini akan mencetekkan sungai dan menjadikan air sungai menjadi keruh.

Kesan pencemaran air ini kepada masyarakat adalah mereka akan mudah dijangkiti penyakit dan menganggu sistem imunisasi manusia. Hal ini demikian kerana, air sungai yang tercemar oleh sampah sarap atau sisa buangan dari kilang yang dibuang ke dalam sungai. Sesetengah, individu tidak mampu menanggung kos kehidupan lalu terpaksa menggunakan air sungai sebagai sumber bekalan air yang utama terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Tambahan lagi, keadaan air yang tercemar turut akan menghasilkan bau di kawasan perairan.

Bagi mengatasi masalah pencemaran air terus memberi kesan buruk kepada kelompok masyarakat adalah kempen kesedaran melalui media sosial. Iklan-iklan yang ditayang dalam media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Instagram dapat membuka mata masyarakat tentang pencemaran air. Memberi kesedaran melalui radio turut memberi konsep dan gambaran yang lebih terus dan orang ramai akan lebih mudah memahami peranan mereka dan mula menanam sikap bertanggungjawab dalam diri sendiri terhadap pencemaran.

Antara kempen-kempen yang melindungi sungai dan laut yang biasa diadakan oleh badan berkuasa ialah kempen Cintailah Sungai Kita. Kempen Cintai Sungai Kita telah menjalankan banyak aktiviti untuk membersihkan kawasan sungai. Dalam kempen-kempen ini, peserta-peserta akan diajar tentang kepentingan menjaga sumber air dan cara-cara menguruskan sisa buangan supaya dapat mengurangkan tahap pencemaran air ke tahap yang paling minimum.

Selain itu, terdapat juga pencemaran lain yang merosakkan ekosistem hidupan dan alam sekitar. Antaranya adalah pencemaran bunyi dan tanah. Pencemaran tanah berlaku disebabkan oleh tumpahan atau kebocoran bahan kimia tidak sengaja kilang dan bahan kimia yang dilepaskan ke tanah berbahaya dan mencemarkan tanah. Kesannya tanah telah dicemari dan tidak sesuai lagi untuk dijalankan pertanian kerana bahan kimia akan membunuh tumbuhan yang ditanam.

Pembuangan sampah merata-rata juga merupakan penyumbang kepada pencemaran tanah. Kawasan sampah sarap yang bertaburan akan menarik perhatian serangga-serangga yang berbahaya seperti tikus dan lalat. Keadaan ini menjadikan Kawasan tersebut dapat mendatangkan penyakit kepada kawasan setempat dengannya sekali gus membahayakan kesihatan manusia.

Pencemaran bunyi pula berlaku daripada penghasilan bunyi yang kuat daripada kenderaan mahupun mesin yang mengganggu aktiviti manusia. Walaupun pencemaran bunyi kurang diberi perhatian oleh penguasa, pencemaran bunyi harus diambil serius kerana masalah ini sering berlaku di jalan raya daripada pembinaan di sekitar jalan raya. Pencemaran bunyi ini dibahagikan kepada empat bahagian yang menyebabkan masalah ini terus berlaku, iaitu kebisingan selang-seli, kebisingan selenjar, kebisingan fluktuasi dan bunyi lantunan.

Kebiasaannya pencemaran bunyi ini berlaku di kawasan bandar oleh kerana keadaan yang pesat dengan populasi yang tinggi sejurus peningkatan penggunaan kenderaan di jalan raya membawa kepada kesesakan jalan raya. Hal ini menyebabkan masyarakat akan hilang sabar dan membunyikan hon kereta. Kejadian ini menjadi kurang senang kepada masyarakat setempat yang lain.

Bunyi-bunyi jentera besar yang menjalankan pembinaan di kawasan perumahan turut dikawal bagi memelihara hidup kejiranan. Langkah atasi pencemaran bunyi yang dapat diambil adalah penggunaan halangan bunyi semasa menjalankan aktiviti pembinaan. Hal ini dapat mengurangkan bunyi jentera yang digunakan.

Mengehadkan kadar kelajuan kenderaan di jalan raya juga antara inisiatif bagi mengurangkan masalah pencemaran bunyi dengan bunyi kenderaan yang dibawa bergantung kepada kelajuan dipandu. Tambahan lagi, kerajaan turut boleh mencontohi Amerika Syarikat yang menubuhkan anti pencemaran bunyi, Amerika Bebas Bising (“Noise Free America”) di jalan raya bagi mengatasi masalah pencemaran ini.

Kesimpulannya, pencemaran-pencemaran ini memberi kesan yang serius kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Secara amnya, pencemaran ini mempengaruhi alam sekitar kita dan pencemaran ini tetap dapat diatasi dengan cara-cara di atas. Usaha yang kerajaan dapat terapkan kepada masyarakat bagi menghalang pencemaran ini adalah sentiasa memupuk kesedaran kepada masyarakat. Semuanya adalah untuk meningkatkan pengetahuan orang awam dan penyertaan orang ramai   bagi memelihara alam sekitar.

Oleh itu, masyarakat mestilah bertanggungjawab ke atas diri sendiri untuk bersama-sama berganding bahu bagai berat sama dipikul berat sama dijinjing bagi melestarikan alam yang aman dan harmoni supaya bebas dari sebarang pencemaran. Jadi, semoga segala inisiatif yang dilakukan ini bagi menjaga alam sekitar disokong rapi masyarakat dan mendapat perhatian sepenuhnya sehingga mengubah norma baharu yang lebih baik. Di samping itu negara kita dapat melahirkan generasi yang menghargai alam sekitar dengan progresif dalam mengembangkan potensi diri, masyarakat, negara dan manusia sejagat.

Penulis; Muhammad Aiman Syakiri Bin Mahmud, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.