Aturan Jodoh

0
16
Aturan Jodoh

Jodoh pertemuan pastinya terletak di tangan Yang Maha Mengetahui. Namun sebagai hambaNya kita boleh berusaha untuk mencari jodoh. Pelbagai rencam kisah jodoh. Ada yang bertemu jodoh pada saat pandangan pertama, ada yang jodohnya jiran sebelah rumah dan mungkin jodohnya berasal dari benua yang asing.

Saya pernah juga menjadi agen mengatur jodoh. Ada seorang sahabat saya, anak perempuan bongsu dalam keluarga. Abang-abang yang masing-masing sudah berkeluarga seolah buat tak tahu tentang masa depan si adik.

Sudahlah anak yatim piatu, tidak pernah ditanya adakah adik perempuan mereka sudah ada yang punya. Saya tak sampai hati melihat kesudahan sahabat ini. Saya bertanyakan ciri-ciri suami idamannya. Dia tersipu-sipu dan menjawab, “Jika orang itu boleh jadi imam, rasanya dah cukup”.

Saya pun berbincang dengan suami, adakah rakan-rakannya yang pernah mengaji pondok dan masih bujang, mahu dikenalkan dengan sahabat saya ini. Alhamdulillah setelah saya berikan nombor telefon, akhirnya mereka bersatu di jinjang pelamin. Sudah beranak empat termasuk sepasang kembar perempuan yang comel-comel.

Setelah menginjak usia, saya cuba menemukan bekas anak murid dengan anak perempuan seorang kawan. Masing-masing sudah bekerjaya sehingga terlupa untuk mencari jodoh agaknya. Mereka ini mungkin payah ditemui dalam kalangan generasi Gen Y.

Masihkah anak-anak zaman moden ini tiada pasangan? Atau pun mereka sudah beberapa kali patah hati? Saya pun membuka jalan dengan memberikan alamat IG, sayangnya sehingga kini belum ada bau nasi minyak lagi.

Begitulah cerita jodoh. Manusia sememangnya dicipta berpasang-pasang. Alangkah sunyinya hidup jika berseorangan. Setelah bertemu jodoh, suami dan isteri mestilah bekerjasama untuk membina sebuah rumah tangga yang bahagia. Pastilah proses ini menuntut kesabaran dan keimanan yang tinggi. Alam rumah tangga bukan indah belaka. Sedangkan lidah lagi tergigit.

Ada orang yang jodohnya tidak berkekalan atas pelbagai sebab. Janganlah serik untuk mencari jodoh lagi. Pasti anda akan temui seseorang yang boleh dijadikan teman sehidup semati. Seperti seorang sahabat yang sedang bahagia menghitung hari untuk bergelar raja sehari bagi kali ketiga. Moga kali ini jodohnya sampai syurga. Insya Allah.