Bahagia Daripada Perspektif Individu, Sains Dan Islam

0
151
Bahagia Dari Perspektif Individu, Sains Dan Islam

Definisi kebahagiaan

“Kebahagiaan” merupakan satu perkataan yang ringkas, namun begitu ia mempunyai makna yang sangat mendalam bagi setiap individu. Kebahagiaan adalah satu perasaan di mana seseorang berasa tenang atau gembira.

Perkataan yang penuh makna ini menjadi carian yang sering dilayari di laman sesawang seperti Google dan media sosial. Adakah ini bermaksud mereka tidak tahu tentang maksud kebahagiaan? Setentunya tidak. Mereka bukanlah mengkaji maksud krosa kata “kebahagiaan”, akan tetapi ingin mengetahui sesuatu yang membawa kepada kebahagiaan. Contoh carian yang sering dilayari di internet ialah “Cara untuk bahagia”, “tips untuk kekal bahagia” dan “kata- kata hikmah berkenaan kebahagiaan”.

Pencarian yang melimpah di laman sesawang ini secara langsung mengilustrasikan bahawa ramai yang menjalani kehidupan tanpa mengenal erti bahagia, malahan ada juga yang ingin kekal positif selepas mengalami hari yang buruk. Adakah carian ini memberi jawapan kepada persoalan mereka?  

Hakikatnya, kebahagiaan adalah subjektif bagi setiap individu. Carian laman sesawang seperti di blog, video, dokumentari menyimpulkan kebahagiaan dari perspektif masing- masing. Jika seseorang ditanyakan tentang sesuatu yang membuatkan mereka bahagia, sudah tentu sesetengah dari mereka mengatakan tentang sesuatu yang materialistik.

Keluarga, harta, populariti, kekayaan dan pangkat adalah antara jawapannya. Jikalau perkara- perkara ini menjamin kebahgiaan hidup, namun mengapa masih ada yang berasa kurang dan tidak bahagia dalam hidupnya?

Kebahagiaan Daripada Sudut Saintifik

Pertama sekali, apabila berbicara tentang faktor emosi seseorang dalam keadaan positif ataupun negatif, dari sudut saintifiknya kita boleh kaitkan dengan sistem kawalan bagi tubuh badan manusia, iaitu otak. Otak memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan keadaan emosi seseorang pada waktu tersebut.

Hal ini demikian kerana dari perspektif sains, otak ialah sumber kegembiraan dan kebahagiaan yang dirasakan oleh manusia. Namun bagaimana otak boleh memberi kebahagiaan kepada seseorang?

Sudah tentu pernah didengari di serata dunia, jikalau seorang wanita dalam keadaan ‘moody’, mesti dikatakan wanita tersebut mempunyai hormon yang tidak stabil. Otak manusia berhubung dengan anggota-anggota yang lain menerusi rembesan hormon yang dihantar ke seluruh badan. Hormon-hormon yang spesifik ini mampu untuk memberi kesan terhadap tahap kecerdasan, penyimpanan lemak dalam badan dan kesuburan seseorang.

Kesenangan, kelegaan dan kegembiraan sering berkait rapat dengan hormon dopamin. Hormon dopamin ini bukan sahaja mampu memotivasikan diri untuk bekerja, malah boleh mengakibatkan seseorang menjadi berat tulang.

Antara faktor peningkatan rembesan hormon dopamin dalam badan adalah mencapai kejayaan seperti mendapat keputusan peperiksaan dengan cemerlang atau melengkapkan kerja yang sangat banyak. Apabila kejayaan dicapai, hormon dopamin dalam badan meningkat membuatkan seseorang berasa lega, gemira dan bahagia yang bersangatan.

Oleh itu, dengan adanya teknologi sains, penghasilan hormon dopamin boleh dirangsang menggunakan bahan-bahan kimia seperti kafein, alkohol dan dadah. Akan tetapi adakah ini merupakan kebahagiaan yang dicari?

Apabila sistem dalam badan kita mula menggunakan perangsang hormon dopamin, sistem dalam badan mula bergantung kepada perangsang tersebut sehingga menjadi ketagihan. Pada akhirnya, kebahagiaan dan keseronokan yang dirasa cumalah sementara dan boleh membawa kepada penyakit berbahaya.

Kebahagiaan Daripada Pandangan Islam

Dari persperktif Islam, kebahagiaan bukan bermaksud merasa gembira yang sementara, akan tetapi ia merupakan satu proses yang berpanjangan untuk mencapai ketenangan jiwa, minda dan kepuasan hidup di dunia dan kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.  Ramai dari mereka berusaha untuk mencapai kebahagiaan dengan mengunakan jalan yang kompleks, tetapi gagal untuk melihat jalan yang lebih mudah iaitu Islam.

Secara anologi, seorang saintis yang mencipta robot dengan teknologi “Artificial Intelligence (AI)” sudah tentu tahu tentang prosedur robot untuk beroperasi dengan baik. Oleh kerana robot tersebut dicipta dengan kebijaksanaan (AI), maka robot tersebut perlu mengikut arahan.

Hal ini demikian juga dengan manusia yang diciptakan oleh Sang Pencipta. Dia menyediakan hidup kita dengan jalan menuju kebahagiaan hakiki. Untuk mengaitkan dengan anologi sebelumnya, sebagai makhluk ciptaan Tuhan, hanya terdapat satu jalan atau cara hidup yang sebenar dengan firman-Nya, “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam” (3:19). Islam teguh dalam diri individu apabila al-Quran dan Sunnah menjadi pegangan.

  • Bersyukur

Seseorang mencari kebahagiaan kerana mereka tidak bahagia dengan kehidupannya. Mereka sering melihat kepada apa yang mereka tiada dan kurang berbanding apa yang telah ada. Mereka lupa untuk bersyukur sedangkan Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat ke-7 yang bermaksud “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat”.

Firman Allah jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya bersyukur bahkan Allah akan melipat gandakan nikmat jika kita mensyukurinya. Mengapa syukur dikaitkan dengan kebahagiaan? Kerana, bahagia itu tidak bergantung kepada banyaknya harta, tetapi tenangnya jiwa.

Jiwa yang tenang dapat dipupuk dengan sifat-sifat terpuji antaranya adalah sifat syukur. Kita tidak perlu menunggu kebahagian untuk bersyukur, sebaliknya, bersyukurlah untuk bahagia. Selain itu, membanding-bandingkan kehidupan kita dengan orang lain juga boleh meranapkan kebahagian melalui hilang rasa syukur dengan kehidupan yang kita ada. Rasullulah bersabda yang bermaksud; “Lihatlah orang yang ada di bawahmu dan jangan melihat orang yang ada di atasmu, sebab itu lebih baik agar kalian tidak meremehkan nikmat Allah”. (Ahmad Tirmidzi, Ibnu Majah).

  • Bersangka Baik Dengan Allah

Namunpun begitu, hidup kita tidak terlepas dari ujian. Semua manusia diuji oleh Allah SWT berdasarkan kemampuan mereka. Tidaklah Allah menguji mereka lebih dari kapasitinya. “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” (Surah Baqarah 2:286).

Kendatipun begitu, tidak lari dari fitrah manusia, mereka yang diuji akan merasa sedih, kecewa ataupun amarah. Oleh itu, untuk mencapai ketenangan jiwa dan tetap merasa bahagia walaupun diuji, kita perlu bersangka baik kepada Allah SWT. Dalam masa yang sama, kita akan merasa Allah itu lebih dekat dengan kita dan secara automatik kita menjadi tenang dan bahagia. Dalam Hadith yang diriwiyatkan oleh Imam Muslim dan Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda “Janganlah seseorang pun di antara kalian yang mati kecuali dalam keadaan bersangka baik kepada Allah”.

  • Memaafkan

Kemaafan merupakan salah satu sifat yang terpuji. Dengan memaafkan, hati kita akan bebas dari sebarang firasat dan amarah. Percayalah, kemaafan merupakan satu kunci untuk hati menjadi tenang, bukan hanya pada kita bahkan kepada si pesalah. Islam merupakan agama yang mementingkan kedamaian dan amat menuntut untuk memberi dan meminta kemaafan.

Jika ditelusuri, terdapat banyak kisah Rasulullah SAW yang bersifat memaafkan. Rasulullah SAW dihalau oleh penduduk Makkah ketika peristiwa pembukaan kota Makkah, namun baginda tetap meaafkan penduduk Makkah tersebut. Dan sabda Rasulullah saw: “Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah, dan Allah tidak menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah yang akan mengangkat darjaatnya” (Riwayat Muslim).

Kemaafan memberi ruang yang lebih luas di dalam hati untuk lebih bahagia. Dendam dan amarah dilenyapkan dengan kemaafan. Kuasa kemaafan tidak dapat dinafikan dan hanya dapat dirasai oleh seorang yang berjiwa besar yang sanggup memaafkan.

  • Ikhlas

“Jikalau mereka sungguh- sungguh ridha dengan apa yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, dan berkata “cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan Sebagian dari kurniaNya daan demikian pula Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang- orang yang berharap kepada Allah” (tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka” (At-Taubah: 59)

Sifat ikhlas dapat memberi kebahagiaan melalui rasa cukuplah Allah di dalam hidupnya dan menyerahkan apa sahaja ikhtiar yang kita lakukan kepada Allah. Ikhlas melahirkan ketenangan jiwa, melapangkan dada dan hati. Mereka menjadikan Allah sebagai tujuan utama, bukanlah pandangan makhluk dan untuk mendapat sanjungan atau pujian. Dengan keikhlasan sebegini lah dapat mewujudkan ketenangan dan menambahkan kekayaan jiwa serta menjadikan hidup lebih bahagia.

  • Kebahagiaan yang hakiki

Setiap Muslim percaya bahawa kehidupan di dunia adalah sementara dan akhirat kekal selamanya. Begitulah juga dengan kebahagiaan dunia. Mempunyai harta yang melimpah ruah atau pangkat dan jawatan yang gah tidak dapat memberi kita kebahagiaan di akhirat kelak.

Benarlah firman Allah taala yang bermaksud “Apa yang ada di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan” (An-Nahl:96).

Firman Allah ini bukan bermaksud manusia tidak perlu mencari kebahagiaan dunia, akan tetapi untuk memberi peringatan kepada manusia agar tidak alpa mengejar nikmat duniawi. Dunia ini ibarat ladang akhirat. Di dunia kita perlu membuat kebaikan agar kebaikan tersebut dapat membantu kita di akhirat kelak.

Firman Allah dalam surah Al-Qasas ayat ke-77; “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang  melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang- orang yang berbuat kerosakan”.

Ini menggambarkan bahawa Allah memerintah hambaNya menggunakan nikmat di dunia untuk mencari kebahagiaan di akhirat. Contohnya, nikmat harta, kesihatan, ilmu dan lain-lain boleh digunakan sebagai jaminan kebahagiaan akhirat. Kerana mereka yang bahagia di akhirat kelak adalah mereka yang tidak mensia-siakan kehidupan di dunia dan membuat kebaikan di dunia.

Penulis, Siti Aisyah Binti Hassan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.