Friday, September 29, 2023
HomeArtikelBahasa Badan: Bagaimanakah Ia Menggambarkan Diri Anda?

Bahasa Badan: Bagaimanakah Ia Menggambarkan Diri Anda?

Bahasa Badan: Bagaimanakah Ia Menggambarkan Diri Anda? | Manusia cenderung untuk cepat melakukan keputusan atau penilaian ke atas orang lain pada pertemuan pertama kali meskipun tanggapan itu bermungkinan mempunyai kesilapan. Pemerhatian terhadap sikap seseorang dari segi gaya komunikasi, pengawalan situasi dan peluang untuk menjadi akrab timbul tanpa disedari.   

Tanpa disedari juga, segala hal ini berkait rapat dengan bahasa yang tidak dituturkan tapi diperlihatkan melalui pergerakan badan kita. Perkataan yang dituturkan ketika perbualan mungkin digunakan untuk menyampaikan maklumat, namun isyarat badan memberi gambaran tentang isi hati dan sikap interpersonal seseorang.

Bahasa badan adalah pantulan terhadap luaran seseorang yang berkait rapat dengan emosi seseorang. Jika seseorang merasa takut  atau  tergugat, mereka memeluk tubuh mereka dengan menyilangkan tangan ke dada.

Dengan mempelajari bahasa badan, anda mempunyai kelebihan untuk mengatur strategi serta memberi panduan  untuk  anda mendekati seseorang yang tidak  dikenali  atau mengelakkan  situasi yang janggal.

Seorang manusia mempunyai pelbagai anggota badan yang mampu memberi isyarat. Untuk kali ini, kita akan membahaskan tentang bahasa badan melalui kaki. Mungkin ramai yang menyangka hal ini remeh kerana anggota tersebut dianggap tidak penting, namun adakah anda tahu bahawa kakilah yang banyak membawa petunjuk terhadap seseorang. Pelbagai faktor dan informasi dapat dirungkai daripada hanya melihat ke arah kaki.

Semakin jauh kedudukan sesuatu bahagian badan daripada otak, semakin kurang kesedaran terhadap perkara yang dilakukan oleh anggota badan tersebut.

Kebanyakan orang menyangka mereka sudah cukup arif dalam menyembunyikan ekspresi muka dan riak wajah ketika berdepan dengan situasi. Bahagian lengan dan dada juga masih mampu dikawal dengan baik. Namun, kita semakin kurang menyedari tentang isyarat yang dipamerkan oleh bahagian kaki.

Menurut buku “The Definitve Book of Body Language” edisi kemas kini karya Allan dan Barbara Pease edisi tahun 2004, bahagian kaki dapat memperlihatkan situasi atau keadaan seseorang tidak kira ketika berdiri atau duduk.

Ketika berdiri, seseorang boleh melakukan pelbagai posisi sebagaimana berikut;

1.  Gaya pertama adalah dalam keadaan bersedia. Kedudukan ini merupakan posisi badan yang dilihat untuk  menunjukkan  keadaan  neutral  sama ada  untuk  meninggalkan  situasi  atau  kekal  bersama. Sebagai contoh, dalam pertemuan antara lelaki dan perempuan, posisi ini sering dilihat oleh wanita-wanita kerana dapat mengekalkan gaya kaki mereka untuk berdiri  dengan memberi isyarat “tidak kisah” atau “tiada komen”. Sebagai contoh, murid sekolah menggunakan posisi ini ketika bercakap dengan guru atau pekerja bawahan yang sedang berkomunikasi dengan pegawai atasan.

2.  Gaya kedua adalah kaki yang dibuka. Majoriti pengguna gaya ini adalah lelaki dan sering dilihat dalam filem yang bertemakan koboi. Gaya ini mengisyaratkan bahawa seseorang itu teguh berdiri dan tidak mempunyai niat untuk meninggalkan tempat itu. Ia juga bersifat dominan dan menyerlahkan lagi sifat maskulin pada diri mereka menampakkan mereka tegap dan segak. Posisi ini digunakan oleh pasukan lelaki ketika dalam acara sukan sebagai tanda kesepekatan mereka sebagai satu pasukan. 

3. Gaya ketiga adalah kaki maju ke hadapan. Gaya ini memberi isyarat seolah pelaku sedang berfikir untuk menghala keluar mengikut arah kaki yang dihala. Posisi ini juga dikatakan memperlihatkan pelaku lebih menarik dan dan cantik ataupun kacak.

4.  Gaya keempat adalah kaki yang disilangkan. Gaya ini membawa banyak maksud serta berbeza mengikut jantina. Sebagai contoh, di dalam satu pertemuan atau majlis keramaian, kita dapat melihat ada yang menyilangkan kaki serta lengan mereka dan berdiri pada jarak yang agak jauh dari jarak yang biasa dilihat. Golongan ini akan lebih mudah untuk dikenalpasti jika mereka menunjukkan ciri-ciri yang lebih pasif seperti membutangkan kot atau jaket. Mereka pasti akan menunjukkan perasaan tidak selesa jika berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali. Golongan yang mempunyai posisi kaki yang terbuka cenderung untuk terbuka dan dominan manakala yang mempunyai posisi kaki bersilang menunjukkan mereka lebih tertutup, pasif dan defensif daripada perkara yang asing. Bagi wanita, gaya berdiri seolah-oah gaya gunting membawa makna bahawa wanita itu ingin kekal dalam majlis itu dan tidak berniat untuk meninggalkannya. Kadang kala wanita juga menggunakan gaya ini untuk menunjukkan sikap defensif mereka.

Kaki yang terbuka lebih menunjukkan sikap maskulin bagi lelaki serta keyakinan diri mereka yang tinggi manakala kaki yang tertutup bermaksud mereka menyembunyikan sikap maskulin mereka dan menunjukkan kedinginan.

Jika lelaki itu bersama dengan seorang lelaki yang lebih rendah atau merasa lebih kacak berbanding lelaki lain, mereka akan melakukan gaya kaki yang dibuka untuk menunjukkan lagi keterampilan mereka.

Namun,  apabila  mereka  berdepan  dengan  lelaki  yang  lebih  hebat  dan  segak berbanding mereka, mereka akan mula memperlihatkan sikap defensif dan mula melakukan gaya kaki yang bersilang.

Sekiranya sekumpulan orang berdiri dengan tidak menyilangkan tangan, tapak tangan yang boleh dilihat, kot yang tidak dibutangkan serta berkelakuan tenang dan menggunakan gaya kaki maju ke hadapan atau gaya bersandar pada satu kaki manakala satu lagi kaki dihala ke arah kumpulan itu, kita dapat merumuskan bahawa kelompok itu mengenal antara satu sama lain serta bersikap terbuka sesama sendiri. 

Namun, jika ada di antara mereka yang menyilang tangan atau kaki, ia merupakan isyarat bahawa mereka kurang selesa sama ada dengan seseorang di dalam kelompok atau topik yang sedang dibicarakan.

Namun, tidak semua yang menyilangkan kaki akan terus menyilang kaki sehingga akhir perbualan.  Boleh jadi setelah beberapa minit perbualan, mereka semakin kenal dan mula merasa aman untuk bersikap lebih terbuka dan mula menerima antara satu sama lain. 

Hal ini kerana mereka sudah mula membiasakan diri dan tidak lagi bersikap terlalu defensif. Mungkin tangan yang bersilang dileraikan, tapak tangan yang disembunyikan mula diperlihatkan dan kaki yang tertutup mula dibuka. Minda manusia berubah dari masa ke semasa dan ini berlaku dalam pelbagai jenis situasi.

Sepasang kaki kita mampu memberitahu seluruh manusia tentang apa yang kita fikirkan. Sama ada tentang perasaan terhadap situasi seperti selesa atau berasa cemas, ingin kekal dalam sesuatu pertemuan atau ingin segera meninggalkan perbualan sehinggalah kita merasa terbuka terhadap seseorang atau merasa janggal  dengan  seseorang.  

Bahasa  badan  adalah  satu  bahasa  yang  digunakan  tanpa  sedar  dan  amat mempengaruhi diri kita. Perubahan dalam lingguk badan juga membawa maksud perubahan persepsi dan penerimaan seseorang.

Peka dan bijak meneliti adalah salah satu kelebihan dalam menguasai bahasa badan. Antara waktu yang penting untuk kita menguasai bahasa badan adalah ketika menghadiri temuduga. 

Panel pemeriksa amat peka dengan sebarang perubahan ketika proses temubual. Sama ada sebagai pemeriksa atau peserta, penguasaan bahasa badan pasti memberi kelebihan terhadap seseorang.

Selain itu, perkara ini turut digunakan dalam bidang perbankan dan perniagaan bagi memudahkan jurujual dan pegawai untuk meyakinkan para pengguna.

Kesimpulannya, sepasang kaki mungkin dilihat remeh namun ia mampu memberi petunjuk yang berharga untuk mereka yang memahami dan mendalami bahasa badan. Tanpa sebarang perkataan, ia mampu menonjolkan fikiran anda.

Penulis; Nurul Aqilah Binti Zulkepli, pelajar Tahun 2, Fakulti Perubatan dan Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
RELATED ARTICLES

Most Popular