Monday, September 26, 2022
HomeArtikelBahasa Melayu Simbol Penyatuan Kaum Di Malaysia

Bahasa Melayu Simbol Penyatuan Kaum Di Malaysia

Bahasa Melayu memainkan peranan yang amat penting khusus kepada rakyat Malaysia. Ini kerana negara ini merupakan masyarakat yang berbilang etnik dan amat memerlukan bahasa sebagai panduan untuk kehidupan seharian.

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah difahami oleh setiap kaum. Maka disebabkan itu, bahasa Melayu telah diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan dan juga bahasa rasmi negara Malaysia.  Dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai tunggak pembinaan negara.

Di samping itu, bahasa Melayu juga berfungsi sebagai bahasa perpaduan yang merupakan senjata yang paling efektif dalam mewujudkan konsep 1 Malaysia. Integrasi atau perpaduan mengacu kepada satu proses yang menyatupadukan masyarakat dan negara sehingga setiap anggota masyarakat dapat membentuk identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan bangga terhadap tanah air.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, perpaduan boleh didefinisikan sebagai penggabungan, peleburan, penyesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu. Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan ialah bahasa yang melambangkan penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan dan berkomunikasi dalam sesebuah kelompok masyarakat dan kaum sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum. Persoalannya, bagaimanakah bahasa Melayu boleh menyatupadukan kaum?

Perpaduan kaum melalui bahasa Melayu dapat dibuktikan melalui sistem pendidikan. Bahawasanya, pendidikan di Malaysia pada hari ini telah memainkan tanggungjawab yang penting dalam menunaikan hasrat negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Oleh yang demikian, perpaduan dan integrasi dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan bangsa.

Selain itu, di sekolah para murid bukan sahaja perlu menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi, malah mereka juga perlu memahami sistem bahasa Melayu yang mampu menguasai pelbagai bidang ilmu dan kegiatan harian yang fungsinya sebagai bahasa perpaduan dan perhubungan antara masyarakat, bangsa dan kaum.

Ordinan Pelajaran 1957 menyatakan bahawa semua jenis sekolah diwajibkan untuk menggunakan cara pembelajaran yang sama, dan bahasa Melayu juga digunakan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah, terutama untuk membantu integrasi etnik dan menjadi alat komunikasi yang efektif antara kelompok etnik dan masyarakat dalam berbagai dialek atau bahasa.

Bahasa Melayu tidak hanya mampu menyampaikan berbagai ilmu pengetahuan, tetapi juga memiliki tanggungjawab sebagai bahasa persatuan dan kesatuan masyarakat di Malaysia. Hal ini sudah terbukti sejak lama melalui penggabungan dan pemahaman yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan sosial juga telah stabil serta menemukan kembali sektor ekonomi negara. Telah terbukti iaitu hasil bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini sejak awal tahun 70-an.

Sedia maklum bahawa bahasa Melayu dahulu memainkan peranan sebagai ‘Lingua Franca’dan bahasa kedua. Namun sekarang ia sudah menjadi bahasa pengantar, bahasa berkomunikasi, bahasa pendidikan, bahasa perundangan dan juga menjadi bahasa rasmi negara Malaysia.

Berlandaskan posisi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka tidaklah menjadi kejanggalan jika anak-anak muda berbicara dengan temannya di sekolah dengan menggunakan bahasa Melayu.

Hal ini kerana, ianya dapat memupuk semangat perpaduan pada peringkat awal iaitu semasa mereka di bangku sekolah lagi dan akan diamalkan sehingga mereka menjadi masyarakat yang mempunyai semangat perpaduan yang tinggi.  Bak kata peribahasa melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Selain itu, para majikan berkomunikasi dengan pekerjanya dan juga urusan jual beli di pasar sering berkomunikasi dalam bahasa Melayu.  Situasi ini merupakan bukti proses perpaduan yang dicipta oleh masyarakat, kaum dan bangsa di Malaysia. Bahasa Melayu tidak hanya berlaku untuk orang Melayu, tetapi juga untuk semua orang Malaysia, maka sewajarnya semua rakyat yang mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia harus memastikan kelangsungan pelaksanaan bahasa Melayu dalam negara kita yang tercinta ini.

Justeru, rancangan televisyen, iklan, cerita pendek yang memfokuskan konsep perpaduan harus diberikan lebih perhatian. Usaha dan matlamat rakyat untuk menjaga perpaduan dan juga untuk menyatupadukan kaum patut dipuji bersama dan tidak patut dipandang remeh.

Apabila wujudnya perpaduan antara kaum ini, maka terbinalah keharmonian negara. Dengan wujudnya keharmonian dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat, keamanan negara dan kestabilan politik akan terpelihara.

Namun begitu, kita tidak menghalang masyarakat berbilang kaum untuk menggunakan bahasa ibunda mereka dalam amalan agama, budaya dan adat resam, sebaliknya mengutamakan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu demi kepentingan kemerdekaan dan perpaduan adalah dialu-alukan.

Dasar bahasa di Malaysia terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, etnik bumiputera dari negeri Sabah dan Sarawak serta etnik minoriti yang lain. Gerakan “Cintailah Bahasa Kita” telah dilancarkan pada 11 Disember 2017 dan majlis ini telah membuktikan bahawa kerajaan Malaysia amat mementingkan dan menitikberatkan tentang penggunaan bahasa Melayu yang menjadi salah satu asbab perpaduan negara kita menjadi utuh.

Di samping itu juga, dengan amalan penggunaan bahasa Melayu inilah menjadi bukti bagi memekarkan peranan cinta akan bahasa kebangsaan justeru menjadi rakyat yang cinta akan negaranya.

Selain itu, tanpa kita sedari, penggunaan bahasa Melayu amat jelas digunakan ketika musim perayaan. Sewaktu musim perayaan, masyarakat kita akan mengamalkan amalan tradisi kunjung mengunjung antara jiran tetangga tanpa mengira kaum dan bangsa. Bukan itu sahaja, amalan bergotong royong juga menjadi bukti di mana perpaduan kaum tercipta dengan berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi teguran semasa Majlis Perasmian Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Pidato Menteri 2021 kepada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan atau dikenali sebagai GLC dan syarikat swasta di negara ini kerana lebih menggunakan bahasa Inggeris dalam mesyuarat mahupun majlis-majlis rasmi.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru kepada semua rakyat Malaysia khusus kepada penganjur majlis atau acara rasmi untuk menggunakan bahasa Melayu dalam semua acara atau majlis-majlis yang dianjurkan dengan meluas selepas ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata bahawa pihak kerajaan sangat bertanggungjawab dalam memastikan dasar undang-undang yang digubal membantu menyokong dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) menyatakan bahawa bahasa kebangsaan haruslah diguna pakai dalam urusan rasmi.

Jelaslah bahawa, bahasa Melayu amatlah penting dan harus diberi keutamaan ketika majlis atau urusan rasmi. Tambahan lagi, menurut Perdana Menteri, pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang diguna pakai di dunia ini, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang diiktiraf menjadi bahasa rasmi. Di antara 20 bahasa yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi itu, salah satunya terdiri daripada bahasa Melayu.

Maka, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah berbangga dengan bahasa Melayu yang juga telah berada di tangga yang ke-10 bahasa paling popular di dunia. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berpesan kepada semua rakyat Malaysia untuk berasa bangga kerana kita merupakan tuan rumah kepada bahasa ibunda ini. Menurut beliau lagi, dalam penguasaan penggunaan bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap mekar di persada dunia dan sering mencorak ritma

Akhir kata, bahasa Melayu amatlah penting dalam menyatupadukan rakyat yang berbilang etnik di Malaysia ini. Oleh hal yang demikian, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah menghormati dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian kita agar perpaduan negara yang terbina ini menjadi kukuh dan menjadikan negara Malaysia ini sebagai negara yang harmoni meskipun mempunyai berbilang etnik.

Penulis; Noor Hiedayah Binti Adnan, Pelajar Tahun 1 Jurusan Sarjana Muda Fiqh Dan Fatwa, Fakulti Syariah Dan Undang-Undang, USIM.
RELATED ARTICLES

Most Popular