Friday, May 20, 2022
HomeArtikelBahasa Melayu Tunjang Perpaduan Kaum Di Malaysia

Bahasa Melayu Tunjang Perpaduan Kaum Di Malaysia

Bahasa Melayu yang juga dikenali sebagai Bahasa Malaysia telah menjadi bahasa rasmi bagi Negara Malaysia sejak dari tahun 1967. Yang di-Pertuan Agong Sultan Ismail Nasiruddin Shah telah mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pada 1 September 1967 setelah Parlimen bertindak meluluskan Rang Undang-Undang bahasa Kebangsaan dalam persidangannya yang telah diadakan pada bulan Mac 1967.

Pengisytiharan ini telah menegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi telah melengkapkan lagi makna merdeka buat Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan lagi peranan dan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan mengikut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Apabila semua warga negara yang berbilang kaum saling bekerjasama atau dengan kata lain berganding bahu bagi membina sesebuah negara yang makmur dan damai, maka wujudlah perpaduan antara rakyat yang pelbagai di negara tersebut.

Perpaduan ini mampu diwujudkan dengan berbagai-bagai cara antaranya, penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa komunikasi dalam kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat yang majmuk di Malaysia.  Nilai Bahasa Melayu ini amat penting dalam semua aspek kehidupan masyarakat kerana fungsinya yang berkait rapat dengan perpaduan masyarakat.

Penggunaan Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan dalam komunikasi, malah turut digunakan dalam segala surat-menyurat rasmi pentadbiran, minit mesyuarat dan juga di acara-acara rasmi dan sebagainya. Peranan Bahasa Melayu sebagai tunjang dalam perpaduan kaum dapat dibahaskan melalui beberapa cara antaranya dengan melalui pendidikan, masyarakat dan juga media massa.

“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”.  

Akta pendidikan 1996, Perkara 17 ini telah menunjukkan bahawa peranan Bahasa Melayu itu amatlah penting untuk dijadikan sebagai bahasa pengantar terutamanya di setiap peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi awam.

Hal ini adalah untuk menekankan bahawasanya perpaduan antara kaum perlulah bermula dari peringkat awal iaitu dari kalangan pelajar yang kemudiannya akan berkembang ke dalam komuniti sebagaimana pepatah Melayu yang berbunyi melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Pemerkasaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan hendaklah diberi penekanan bagi membina sebuah negara bangsa terutamanya dalam era globalisasi ini yang membolehkan peraturan secara tidak terkawal dan pantas yang bukan sahaja dari segi maklumat dan manusia tetapi juga budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara yang lain.

Oleh itu, bagi membina negara bangsa yang diimpikan oleh rakyat Malaysia, semua pihak dari sektor Pendidikan terutamanya hendaklah menggiatkan lagi aktiviti-aktiviti kesusasteraan, pengkaryaan dan juga membangunkan bahan bahasa dan sastera agar bahasa Melayu itu dapat diangkat martabatnya oleh generasi muda supaya bahasa Melayu ini dapat dikekalkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang melambangkan negara Malaysia.

Setiap tenaga pengajar perlulah menerapkan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam pembelajaran dan pengajaran.

Dengan itu, para pelajar dapat bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan secara tidak langsung akan memudahkan mereka untuk berkomunikasi dengan rakan-rakan dari kaum yang lain dan akan mewujudkan hubungan yang baik dan harmoni antara para pelajar.

Begitu juga dengan silaturrahim antara pihak sekolah dengan pelajar dan ibu bapa pelajar dapat dieratkan kerana mudahnya untuk berkomunikasi antara mereka lebih-lebih lagi ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru, PIBG diadakan.

Konklusinya, kesemua itu mampu melahirkan masyarakat yang sentiasa bersatu padu pada masa akan datang kerana perpaduan itu sudah diterapkan sejak dari bangku sekolah lagi dan akan diamalkan sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi.      

Peranan bahasa Melayu tidak dapat disangkal lagi kerana mudah difahami oleh setiap lapisan masyarakat tidak kira umur, bangsa mahupun agama. Bahasa Melayu telah menjadi teras utama dalam menjana perhubungan serta persefahaman antara satu kaum dengan kaum yang lain..

Mantan Perdana Menteri Malaysia dan juga Bapa Pemodenan malaysia, Tun Dr Mahathir Muhamad telah menyatakan bahawa kecintaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan salah satu asas kecintaan terhadap negara yang perlu dipupuk dan diperkembangkan dengan dijadikan ‘amalan’ dalam ucapan beliau pada majlis Perasmian Gerakan Cintailah Bahasa Kita pada 11 Disember 1987 yang telah dianjurkan di Kuala Lumpur.

Dengan amalan itulah akan menjadi bukti bagi menyemaikan peranan cinta supaya rakyat terus mencintaibahasa kebangsaan . Jika masyarakat Malaysia sendiri tidak mengamalkan bahasa Melayu dalam pertuturan mereka maka keistimewaan bahasa ini sebagai bahasa kebangsaan akan dipijak oleh bahasa-bahasa yang lain dan bukan itu sahaja malah salah satu lambang jati diri rakyat negara Malaysia akan lenyap dan hilang begitu sahaja oleh kerana ketidakbertanggungjawaban masyarakat Malaysia dalam memperkasakan  bahasa kebangsaan ini.

Selain itu, di kalangan pengguna media pula, kerajaan telah memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam media cetak seperti surat khabar, buku dan majalah serta dalam media elektronik seperti televisyen dan radio.

Pengaruh televisyen dalam memperkasakan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan amatlah besar kerana bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa utama dalam isi kandungan rancangan seperti berita, soal jawab dan juga temu bual. Rancangan seperti Soal Jawab di saluran TV3 dan Bual Bicara di saluran TV1 merupakan antara contoh rancangan yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Rancangan-rancangan ini mampu membuat para penonton mendengar dan memahami penggunaan bahasa Melayu yang baik dan teratur. Hal ini dapat membuatkan masyarakat Melayu terutamanya memperbaiki penggunaan bahasa Melayu dan masyarakat bangsa lain pula dapat mempelajari penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

Dengan ini, setiap masyarakat dapat menggunakan bahasa kebangsaan ini dalam pertuturan seharian mereka walaupun berlainan bangsa yang kemudiannya akan mewujudkan permuafakatan antara masyarakat.

Oleh itu, media massa amat berperanan untuk memantapkan bahasa Melayu dalam era globalisasi ini bagi memupuk perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai etnik.

Sejarah juga telah membuktikan bagaimana media massa khususnya surat khabar yang berbahasa Melayu dapat membina semangat patriotisme dalam diri rakyat sehingga berupaya untuk menghalau penjajah dari negara ini.

Kesimpulannya, bahasa kebangsaan yang menjadi kebanggaan bagi warganegara Malaysia ini berperanan dalam mewujudkan perpaduan dan keharmonian serta kesejahteraan kepada masyarakat yang berbilang kaum. Hanya dengan memahami dan menguasai bahasa Melayu oleh semua kaum, perpaduan dapat dicapai dengan mudah. sekali kerana setiap rakyat dapat berkomunikasi dengan baik.

Ungkapan yang sering disebut-sebut oleh pejuang bahasa kebangsaan di negara ini iaitu ‘bahasa jiwa bangsa’ ada kebenarannya. Apabila seseorang itu fasih berbahasa kebangsaan di negaranya sedikit sebanyak dapat merapatkan perpaduan.

Oleh itu, masyarakat perlulah menghargai bahasa Melayu ini dan memperteguh kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan supaya jati diri rakyat negara Malaysia dapat dikekalkan dan perpaduan dapat dieratkan.

Penulis; Nur Syamiela Farhana Binti Shahfame, Pelajar Tahun 1 Kelab Integrasi Komuniti, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Rujukan:

http://cikgu-rozali.blogspot.com/2012/06/peranan-bahasa-melayu-dalam-pembentukan.html

https://www.sinarharian.com.my/article/45872/BERITA/Nasional/Bahasa-kebangsaan-satukan-pelbagai-kaum

https://ejournal.upsi.edu.my/index.php/PENDETA/article/view/1114

RELATED ARTICLES

Most Popular