Semua rakyat Malaysia mengetahui situasi bencana banjir yang melanda di beberapa negeri di Malaysia Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, dan Pahang. Ada yang menyatakan bahawa banjir kali ini adalah banjir yang terburuk yang pernah mereka alami.
Satu Malaysia merasakan kesedihan melihat video di media sosial ada yang meminta pertolongan, melihat rumah hancur dilanda badai dan ada juga hilang haiwan kesayangan dalam sekelip mata.
Sesungguhnya ini adalah ujian dari-Nya, Dia Maha Berkuasa dan Berkehendak ke atas sesuatu yang Dia mahukan. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 47 yang bermaksud ;
“Allah berfirman; “Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ‘, lalu menjadilah ia.”
Bagaimana bencana banjir ini dapat mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia? Hujan luar biasa pada 19 Disember 2021 dan berterusan beberapa hari ditambah dengan kejadian air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir.
Mengikut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan telah mencecah 380mm. Pada malam itu, kita boleh lihat rakyat Malaysia terutamanya di media sosial seperti di Facebook, Instagram dan Twitter dibanjiri dengan khabar berita mengenai banjir di Shah Alam.
Orang awam dan netizen menyebarkan berita tersebut kerana mahu menguar-uarkan kepada orang ramai terutamanya seperti bomba agar bantuan yang sepatutnya sampai dengan kadar segera kepada mangsa bagi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.
Selain itu, rakyat Malaysia yang berbilang kaum kita dapat melihat solidariti dengan membantu rakyat Malaysia yang ditimpa bencana alam ini dengan pelbagai cara. Sebagai contoh yang tular di media sosial, Sikh, Presiden Gurdwara Sahib PJ, En. Awatar Singh Terry menggunakan tenaga dengan menyediakan juadah makanan untuk mangsa banjir yang kehilangan segala-galanya. Dalam erti kata lain, kehidupan mereka tinggal sehelai sepinggang sahaja.
Dengan menyediakan makanan yang lazat sambil mengisi perut mereka, seterusnya mengurangkan lagi penderitaan mangsa banjir. Pastinya ibu bapa mangsa juga amat risau dengan keadaan anak-anak mereka terutama anak-anak yang kelaparan. Sikap beliau boleh dijadikan contoh kepada anak muda hari ini untuk saling membantu tanpa mengira bangsa dan agama.
Selain itu, di media sosial, terdapat video di aplikasi Tiktok, di mana kaum India menyumbangkan tenaga mereka melalui gotong royong membersihkan rumah ibadat umat Islam, masjid yang dilanda banjir dengan penuh keikhlasan.
Selain badan bukan kerajaan dan agensi sukarela yang tidak mengambil berat memberikan bantuan tenaga, kawasan perumahan mangsa banjir juga boleh dibersihkan bagi mengurangkan sedikit bebanan mereka. Terdapat juga IPTA seperti Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Universiti Sains Islam Malysia (USIM), Universiti Malaya (UM) dan lebih banyak lagi IPTA yang menggerakkan pelajarnya menyumbang tenaga, sebagai sukarelawan membersihkan rumah mangsa banjir secara sukarela.
Namun, ada juga yang akan memberikan bantuan, dan ada juga yang membuka akaun bank sendiri untuk memberi peluang kepada orang yang duduk jauh dan tidak mampu menghulurkan bantuan secara dekat, tetapi mereka menyumbang dari segi kewangan.
Kita boleh melihat contoh terdekat di mana beberapa selebriti yang turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa seperti Izzue Islam, Achey, Fad Bocey, Saharul Ridzwan dan ramai lagi.
Selain itu, kita juga boleh lihat melihat beberapa orang selebriti muda seperti Ismail Izzani, Ahmad Adly, Heliza Helmi dan ramai lagi yang turut sama membantu. Tidak kira pekerjaan, tidak kira umur, tidak kira pangkat yang mereka ada, mereka berhati waja menolong meringankan mangsa banjir.
Melabuh ke jurang seterusnya, rakyat biasa yang banyak menyumbang tenaga dan masa mereka menyelamatkan mangsa banjir dengan pelbagai cara. Antaranya mereka yang mempunyai kereta pacuan empat roda atau (4×4 atau 4WD) meminjamkan keretanya kepada sukarelawan untuk memudahkan mengisi barang bantuan seperti banal, tilam, selimut, baju dn sebagaianya.
Ada juga rakyat yang mempunyai bot turut memberikan bantuan tanpa sedikit bayaran, tanpa mengira jauh atau dekat. Seperti yang tular di media sosial, Abang Azwan dari Melaka yang sanggup memandu sejauh 156 kilometer membawa bot miliknya demi membantu mangsa banjir di Shah Alam.
Sudah terang lagi bersuluh, rakyat Malaysia mempunyai hati yang baik dan sekali gus mengukuhkan perpaduan antara rakyat Malaysia.
Tidak lupa juga kepada barisan hadapan yang tidak kenal erti penat, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak lupa juga kepada petugas kesihatan yang memantau kesihatan mangsa banjir di PPS.
Ketahuilah mereka ini tiada rehat sejak dari dunia terkesan dengan wabak Covid-19 sehinggalah sekarang. Tidak dinafikan itu memang tugas mereka, tetapi saya berharap rakyat Malaysia memahami dan menghormati setiap anggota yang sudah banyak berkorban untuk rakyat, bangsa mahupun negara. Ucaplah terima kasih kepada mereka agar penat lelah dapat diredakan dengan satu ucapan yang bermakna.
Kesimpulannya, setiap rakyat Malaysia memainkan peranan yang penting demi mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia terutamanya pemimpin. Bantulah sesama manusia tatkala ditimpa bencana atau tidak.
Penulis; A’uni Insyirah binti Ahmad Samsol, Pelajar Tahun 1 Sarjana Muda Fiqh Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang Undang di Universiti Sains Islam Malaysia.